Bila aku tengok parlimen bersidang tempoh hari, aku segera ke media sosial iaitu Twitter untuk lihat warganet memberi komen atas ‘kezaliman’ politikus terhadap perbahasan. Ketika perbahasan, ada yang mengejek orang muda, ejek fizikal gelap pakai bedak dan macam-macam.
Itulah kezaliman yang nyata. Rakyat nak dengar perbahasan kerana ia bersangkut-paut dengan hal ehwal rakyat. Isu tak puas hati politikus sesama politikus, itu bukan hal yang rakyat perlu kisahkan. Rakyat cuma nak tahu, apa yang YB-YB ini bincangkan yang boleh menambah baik kehidupan rakyat. Sebaliknya, apa yang rakyat dapat kelmarin?
Rakyat dapat dengar YB-YB ini mengejek sesama sendiri. Merendahkan sesama sendiri. Mengutuk. Mengherdik. Menyampuk orang tengah berbahas. Bukan menyampuk perkara yang perlu, namun perkara yang bodoh seperti “YB bila dah jadi pembangkang nampak cerdik pula, dulu tak cerdik”. Benda-benda begini yang rakyat dapat.
Aku tertanya-tanyalah juga, ketika kod moral ini dilanggar sekian YB kelmarin, mana ‘agamawan politik’ yang dulunya kata nak perjuangkan Islam? Bukankah Islam itu juga termasuk hal ehwal moral?
Ketika YDP dewan dilantik tanpa sebab yang munasabah, mana pejuang keadilan ‘Islam’? Ketidakadilan itu berlaku depan mata, mengapakah mereka begitu senyap? Adakah kita nak biarkan saja semua ini berlaku asalkan ‘Melayu-Islam’ yang mentadbir negara? Sekadar itu, maka cukuplah? ‘Melayu-Islam’ tengah tadbir negara sekarang ini pun, jadi kita akan teruskan begini sajalah? Apa-apa kod moral yang dilanggar, tak perlu endahlah kerana asalkan ‘Melayu-Islam’ yang jadi kerajaan?
Aku yang Melayu-Islam pun malu. Malunya aku bukan kepalang. Sangat-sangat malu. Malu dengan status quo hari ini. Status quo politik kita. Semuanya taksub dalamannya, tapi luarannya begitu Sunnah. Ada mengenakan pakaian Sunnah Nabi, tapi apakah suaranya kedengaran untuk melawan ketidakadilan ketika mana hak-hak perbahasan di parlimen dicabul dengan begitu dahsyat.
Kenapa aku cakap dahsyat? Ya, aku tekankan. Memang dahsyat. Apa saja perbahasan yang signifikan di parlimen tempoh hari? Yang trending di Youtube sekarang ini pun, bab ‘keluar dewan’, ‘gelap pakai bedak’ dan lain-lain. Bukannya hal rakyat. Bukannya kemaslahatan rakyat. Bukan. Tapi, yang trendingnya sekarang ialah isu main peribadi. Main kulit. Menyampuk orang berbahas. Maki hamun. Jerit-jerit.
Mana maruah mereka sebagai pemimpin? YB-YB ini adalah refleksi kepada pengundi-pengundinya. Kalau begitulah standardnya, maka itulah yang menggambarkan pengundi-pengundinya juga.
Yang kelakarnya aku lihat di media sosial orang menyembang, ramai pula yang menyokong ketidakadilan meskipun alasan mereka menyokong itu sangat tidak munasabah. Kita kalau sayang pemimpin pun, janganlah sampai menipu. Janganlah sampai taksub sangat sampai kebenaran pun dikaburkan sendiri. Sendiri sedar, tapi sendiri kaburkan. Saja nak menolak kebenaran depan mata. Sayang pemimpin punya fasal, tak apa, sokong juga.
Jawablah soalan aku, apa saja yang rakyat boleh dapat manfaat sekarang ini? Rakyat perlu berubah. Perlu lebih banyak belajar dan belajar. Pendidikan dapat menyelamatkan semua ini. Percayalah cakap aku. Pendidikan yang dapat membuatkan beramai-ramai rakyat sedar diri dan menolak kepimpinan yang zalim meskipun imejnya Islamik. Pendidikan sajalah.
Sebabkan ramai rakyat Tanah Melayu makin bijak, maka wujudlah semangat anti penjajah. Kalau tidak, sampai sekaranglah kita dijajah (fizikal). Bukan sebab orang Tanah Melayu makin moden, tidak. Zaman itu, mana ada orang kita tiba-tiba maju teknologi. Tapi orang kita maju dalam pemikiran. Sebab itu orang kita memberontak sehingga kita mencapai kemerdekaan. Hanya kerana pendidikan. Rakyat makin bijak pandai.
Begitu jugalah yang kita harus lakukan terhadap politik kini. Kita harus mendidik sesama kita. Makin bijak rakyat, makin bergoncanglah politik gaya ‘gangster’ dan biadap begini. Sama-sama kita jatuhkan status quo yang tidak perlu. Kita perlukan Malaysia yang lebih harmoni dan bijak.
Kalau bijak saja (ada PhD bagai-bagai), tapi tidak ada usaha untuk mengharmonikan rakyat, tak guna juga. Kena dikombinasikan kedua-dua nilai tersebut. Barulah Malaysia akan maju bersama wawasan baharu.
Aku harap, kita berubah. Berubahnya kita, ke arah yang lebih bijak pandai. Rakyat bijak, pemimpin juga bijak. Pemimpin bijak, maka lebih aman damailah negara ini.
Malaysia yang lebih baik.
Artikel ini adalah tulisan saudara Sadiq Salihoddin dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.








