Lantangnya suara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpidato soal Palestin pada malam 24 Oktober di Axiata Arena bukanlah sesuatu yang baharu.
Pantasnya PMX berkunjung ke tiga negara kuasa besar dunia Islam demi membicarakan soal Palestin juga bukanlah sesuatu yang baharu.
Bahkan tegasnya PMX membawa perjuangan Palestin di pentas Perhimpunan Agung PBB ke-78 tempoh hari juga bukanlah sesuatu yang baharu.
Perjuangan Palestin adalah isu yang dekat di hati beliau sejak dari dulu lagi, lama sebelum bergelar Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.
Pada tahun 1983, beliau telah dijemput menghadiri Konferens Palestine Liberation Organisation (PLO) di Algiers, Algeria dan telah dijulang di atas pentas oleh Almarhum Yasser Arafat, simbol dan personafikasi perjuangan Palestin.
PMX juga pernah menjadi menteri pengiring ketika lawatan sulung Almarhum Yasser Arafat ke Malaysia pada 1984 sekalipun pada ketika itu beliau adalah seorang Menteri Pertanian.
Dalam satu perhimpunan Palestin yang diadakan di Stadium Negara pada tahun 1990, PMX merupakan Pengerusi Jawatankuasa Sambutan yang menyambut ketibaan Almarhum Yasser Arafat dan merencanakan keseluruhan program.
Almarhum Yasser Arafat menghembuskan nafas terakhir beliau pada 11 November 2004 ketika perjuangan Palestin masih belum menemui titik noktahnya.
Walaupun almarhum telah tiada, perjuangan Palestin tetap dekat di hati PMX yang kini menjalin hubungan baik dengan pemimpin Palestin lain seperti Mahmoud Abbas dan Ismail Haniyeh.
Empat puluh tahun telah berlalu sejak dijulang oleh Yasser Arafat, PMX nampaknya masih belum lelah selagi kemanusiaan, keadilan dan kebebasan belum menjadi milik Palestin secara mutlak.