26 JUTA PELANCONG KUNJUNGI MALAYSIA

Seramai 26 juta pelancong telah direkodkan memasuki negara dari tempoh 1 Januari hingga 15 November 2023, berdasarkan statistik terkini dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Sebelum pandemik, pelancongan merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada KDNK negara, selepas sektor pembuatan dan komoditi.

Sumbangan pelancongan kepada KDNK pada tahun 2019 adalah 15.9%, namun ia merosot teruk ke 2.7% pada tahun 2022 susulan pandemik.

Dengan pandemik kini sudah meninggalkan kita semua, sektor pelancongan Malaysia perlu kembali dipacu bagi membawa pulangan ekonomi kepada negara.

Kemasukan 26 juta pelancong yang dicatatkan sehingga November tahun ini memberikan petanda positif bahawa sektor pelancongan kini dalam fasa pemulihan.

Mengikut statistik itu, pelancong Singapura adalah tertinggi iaitu sebanyak 12,645,364 orang diikuti Indonesia (3,166,295), Thailand (2,073,162), China (1,407,471), Brunei (904,841) dan India (780,532) manakala bakinya adalah lain-lain negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Dato’ Seri Tiong King Sing berharap jumlah pelancong dapat ditambah berikutan pelaksanaan pengecualian visa untuk rakyat China dan India selama 30 hari bermula 1 Disember lepas.

Pengecualian visa ini diharap dapat mempertingkatkan jumlah pelancong dalam bulan terakhir tahun 2023 ini yang juga merupakan bulan pilihan percutian kebanyakan pelancong sebelum bermulanya tahun baharu.

Kerajaan Perpaduan MADANI juga telah bersetuju untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM350 juta agar negara kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia.

Ia juga sebagai persiapan merancakkan sektor ini sebagai persediaan menjelang tahun 2026 yang telah ditetapkan sebagai Tahun Melawat Malaysia.

Komen