Pada hari Jumaat yang lalu, saya ke Jabatan Peguam Negara dan Pejabat Timbalan Pendakwaraya Selangor untuk menguruskan satu kes keganasan rumahtangga. Mangsa telah hadir meminta bantuan di pejabat saya bekerja.
Sewaktu kali pertama saya berjumpa dengan mangsa dan mendengar kisah beliau, dada saya seperti ingin meletup kerana saya sedaya upaya menahan perasaan dan menahan diri menangis. Air mata saya bergenang. Saya tak dapat bayangkan bagaimana seorang manusia lain yang dianugerahkan akal dan naluri perasaan yang sama seperti manusia lain boleh bertindak kejam terhadap orang lain. Saya juga tidak dapat membayangkan keadaan ketika mangsa dibelasah oleh suami beliau sehingga mengakibatkan mangsa kehilangan pendengaran di telinga sebelah kiri, retak rahang dan peti suara beliau mempunyai kerosakan sehingga menyebabkan suara beliau sedikit serak.
Setiap tahun, sering kali diadakan kempen kesedaran mengenai keganasan rumahtangga baik oleh kerajaan mahupun NGO yang memperjuangkan hak wanita. Namun kes keganasan rumahtangga ini masih meningkat saban hari. Kadang kala saya terfikir di mana silapnya. Kita adalah generasi yang hidup di zaman yang serba moden. Seharusnya perilaku seperti manusia tidak bertamadun ini tidak berlaku kerana rata-rata di antara kita mempunyai tahap pelajaran yang mencukupi untuk mengetahui bahawa keganasan itu, tidak kira di dalam rumahtangga ataupun di mana sahaja adalah salah.
Bukan ini sahaja yang dihadapi oleh kaum wanita pada masa kini. Kaum wanita masih lagi ditindas dan dianiaya terutamanya di tempat kerja. Komen-komen yang berbaur lucah dan seksis sering sahaja dilemparkan kepada mereka. Bukan itu sahaja, wanita juga turut menerima tekanan melalui komen mengenai penampilan mereka. Saya juga berulang kali menerima komen memedihkan mengenai rupa fizikal saya, yang secara tidak langsung sepertinya menafikan kualiti kerja saya.
Sampai bila agaknya kaum wanita harus menerima perkara sebegini sebagai asam garam kehidupan mereka. Paling menyedihkan walaupun kini kita sudah berada di abad ke 21, masyarakat kita segelintirnya masih lagi mengamalkan sistem patriarki yang secara terus menafikan hak kesamarataan antara wanita dan juga kaum lelaki. Kenapa masih lagi ada pemikiran yang menganggap bahawa wanita adalah kaum yang lemah dan tidak mampu menjalankan sesetengah kerja dengan baik.
Di Malaysia kita dapat lihat bagaimana seorang wanita di dalam kerajaan Pakatan Harapan berjaya menggalas tanggungjawab sebagai seorang menteri kepada kementerian yang mempunyai 3 portfolio yang besar dan berjaya menjalankan tugas beliau dengan cemerlang dan efisyen. Kita juga dapat melihat bagaimana seorang wanita berjaya mewujudkan satu akta dan undang-undang untuk melindungi kanak-kanak dari jenayah seksual yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada tahun 2017. Di mata dunia pula, beberapa orang wanita telah berjaya menempa nama sebagai Perdana Menteri negara, antaranya Jacinda Ardern yang baru-baru ini menang besar di pilihan raya New Zealand dan mengekalkan jawatan sebagai Perdana Menteri negara Kiwi tersebut. Kejayaan Jacinda pastinya dipengaruhi oleh polisi-polisi yang diperkenalkan oleh kerajaan beliau yang sudah tentunya memberikan manfaat dan kesan yang baik kepada rakyat negara itu.
Adakah ini tidak cukup untuk menjadi bukti bahawa wanita mampu untuk bersaing malah wanita mampu menjadi lebih baik dari lelaki.
Persoalannya kenapa wanita masih lagi ditindas dan diperlekehkan?
Pada tahun ini Hari Wanita Sedunia membawa tema #ChooseToChallenge , di mana ia menyeru seluruh wanita untuk memilih untuk mencabar stereotaip yang membelenggu kaum wanita. Tidak kira dari sektor apa, bidang apa dan apa jua keadaan, wanita harus berani mencabar stereotaip ini demi kebaikan generasi wanita yang akan datang. Wanita zaman kini perlu berani demi mempersiapkan dunia yang lebih baik buat generasi wanita akan datang. Saya suka memetik kata-kata Kamala Harris, Naib Presiden Amerika Syarikat, selepas beliau dipilih menyandang jawatan tersebut:
“I might be the first woman to hold this office, but won’t be the last”.
Kamala Harris telah berjaya memecahkan dominasi ahli politik lelaki dengan berjaya menjadi Naib Presiden Amerika Syarikat, dan beliau yakin dan percaya beliau bukan yang terakhir untuk melakukan sedemikian.
Oleh itu kaum wanita harus percaya bahawa kita boleh. Pepatah Melayu juga sudah mengatakan ia sejak dahulu lagi, “tangan yang menghayun buaian, mampu menggoncangkan dunia”.
Selamat Hari Wanita Sedunia. Dedikasi khas untuk wanita cekal yang membesarkan saya sendirian. Semoga saya dapat mewarisi semangat dan kegigihan beliau untuk menempuh dan menyediakan satu keadaan yang lebih baik buat generasi wanita akan datang.
Pernah berkhidmat sebagai pegawai khas parlimen dan dasar kini menceburi bidang korporat. Extrovert. Memasak adalah terapi dan masih single.