BERPUSU-PUSU orang ramai menuju ke arah tabung sumbangan yang disediakan oleh Pertubuhan Cinta Pahala di hadapan Surau Kapiris untuk mengisi tabung tersebut dengan wang kertas bewarna merah, hijau, biru muda, biru tua dan pelbagai warna dengan nilai yang berbeza. Walaupun tabung sumbangan tersebut diperbuat daripada tin, tetapi tidak kedengaran bunyi duit syiling menghentam dinding tabung itu. Hebat. Orang Kampung Malayu memang kaya-raya.
Deraman Takbur tersenyum melihat situasi itu. Dia mengangguk-angguk sambil memorinya teringat akan kata-kata Tok Lebai Sabah.
“Deraman, jangan lupa taruk muka Ana besar-besar pada tabung sumbangan esok hari. Dengan cara itu, kita dapat perbanyakkan lagi sumbangan. Insya-Allah. Anta pun tak suka tunggu lama kan.”
Ternyata cara tersebut berjaya. Dengan meletakkan gambar Tok Lebai Sabah di tabung sumbangan dapat menarik kemurahan orang ramai untuk menderma. Sebelum ini, Deraman Takbur pernah bekerja sebagai assistant kepada seorang rapper. Bukan sebagai assistant dalam hal menguruskan lagu-lagu. Tetapi assistant menguruskan kerja-kerja kemanusiaan yang Rapper Itu gerakkan. Kerja tersebut diletakkan dibawah Jabatan Publisiti, kerana kerja-kerja kemanusiaan itu merupakan praktikal yang diperlukan oleh Rapper Itu untuk mendapat perhatian orang ramai. Lagu Rapper Itu tidak sedap, tapi kerana banyak menyumbang kepada kerja-kerja kemanusiaan, jadi laku lah juga album beliau.
Tapi, apakah punca Deraman Takbur berhenti menjadi assistant kepada Rapper Itu? Deraman Takbur berhenti menjadi assistant kepada Rapper Itu kerana pada satu hari Syarikat Perniagaan peribadi milik Rapper Itu, iaitu Syarikat Jual Kemanusiaan, sedang berhadapan dengan penurunan jualan. Tidak ada lagi orang yang sudi membeli album beliau yang bertajuk “Orang Miskin Susah Mari Tolong” itu kerana masyarakat di Kampung Malayu semakin sibuk ke tempat ibadah kerana takut mendengar ura-ura bahawa hujung tahun nanti akan kiamat.
Ketika berlaku masalah tersebut, Deraman Takbur menasihati Rapper Itu agar menunggang agama. Kata Deraman Takbur,
“Tuan Rapper boleh dapat keuntungan dengan memasukkan unsur agama dalam album Tuan. Sekarang, orang Kampung Malayu takut akan hari kiamat yang akan berlaku hujung tahun nanti. Jadi mereka nak minta ampun sebab dosa mereka, mereka sibukkan diri beribadah. Tak pergi sekolah, bodoh, dan tak cerdik tidak apa, asalkan mereka beribadah. Itu falsafah hidup mereka sekarang. Jadi, jika kita tunggang agama, album Tuan pasti dapat sambutan!”
Namun, Rapper Itu tidak mahu mengikut dan menurut cadangan Deraman Takbur. Dia tidak biasa menyebut kalimat bahasa Arab. Dari kecil, dia hanya menguasai tiga bahasa saja. Pertama, bahasa rapper yang digunakan untuk mencari makan. Kedua, bahasa memaki yang merupakan bahasa yang sering digunakan oleh penduduk Kampung Malayu. Ketiga, bahasa Inggeris yang digunakan untuk berkomunikasi bersama sahabat artis ketika makan-makan di Hotel Shaiton.
Bercakap atau rapping dalam bahasa lain agak susah bagi Rapper Itu, lagi-lagi bahasa Arab. Dia menolak cadangan Deraman Takbur. Apabila Deraman Takbur bertanya sebab, dia tidak mahu memberi jawapan kerana malu akan kekurangan itu. Rapper Itu hanya mengatakan dia tidak bersetuju.
Kerana tidak dapat meyakinkan dan membuatkan Rapper Itu menunggang agamalah Deraman Takbur telah berhenti kerja dibawah Rapper Itu. Tapi tidaklah lama Deraman Takbur menganggur kerana ada sebuah persatuan yang memerlukan khidmatnya. Ya, Pertubuhan Cinta Pahala yang dimiliki oleh Tok Lebai Sabah.
Dia bekerja di bawah Tok Lebai Sabah sebagai penasihat paling kanan sekanan-kanannya. Tugasnya adalah memberi nasihat kepada Tok Lebai Sabah yang menguruskan sebuah pertubuhan yang hampir ditutup kerana tidak mempunyai dana operasi. Kerana Tok Lebai Sabah belajar di Mesir, maka Tok Lebai Sabah pandai berbahasa Arab. Dia juga berpakaian seperti orang Arab. Jadi, dengan berpakaian seperti orang Arab, Tok Lebai Sabah kelihatan sangat Islamik.
Kelebihan itu digunakan oleh Deraman Takbur dengan sebaik-baiknya. Idea untuk menunggang agama Islam yang dicadangkan kepada Rapper Itu telah beliau ujarkan kepada Tok Lebai Sabah. Tok Lebai Sabah setuju serta-merta setelah Deraman Takbur memberi hujah-hujahnya seperti seorang kapitalis berjaya.
Dua tiga bulan berlalu, pejabat Pertubuhan Cinta Pahala yang dulunya kecil-sekecil Balai Raya Kampung Malayu kini telah berdiri tinggi seperti menara Cegah Holding yang dimiliki oleh Mustapha Kemal Attarturk, iaitu sebuah syarikat pembuat tudung mewah di Amerika Syarikat.
Pertubuhan Cinta Pahala merupakan pertubuhan yang melakukan aktiviti kemanusiaan. Mereka memberi duit kepada orang miskin, memberi rumah kepada orang miskin, memberi sumbangan makanan kepada orang miskin dan memberi, memberi, memberi dan memberi. Pernah Deraman Takbur bertanya kepada Tok Lebai Sabah,
“Tok Lebai Sabah, kenapa kita tidak ajar saja orang-orang miskin ini cara untuk mendapatkan wang sendiri? Kita boleh berikan mereka modal berniaga atau bertani. Jadi, kita tidak perlulah memberi-beri kepada mereka lagi.”
“Tak boleh begitu Deraman Takbur. Nanti, kalau kita buat mereka pandai berdikari, Pertubuhan Cinta Pahala tak dapat cari duit. Orang menyumbang kepada kita atas dua sebab. Pertama, sebab Ana Islamik. Ana selalu berzikir dan berjubah ke hulu dan ke hilir. Bermain takraw pun Ana berjubah. Jadi orang yang takut kiamat percaya untuk menyumbang kepada Ana. Mana ada orang berjubah menipu kan? Kedua, sebab Ana tolong orang miskin. Kalau tidak ada orang miskin, tidak ada alasan orang mahu menyumbang kepada kita. Mati kita Deraman Takbur kalau tidak ada orang miskin,” jelas Tok Lebai Sabah kritis kepada Deraman Takbur.
Terbeliak mata Deraman Takbur kerana terkejut dengar penjelasan cerdik Tok Lebai Sabah. Tidak sangka Deraman Takbur bahawa majikan barunya itu ada bijaknya. Tidak seperti majikan lamanya, hanya pandai rapping saja. Main drama air mata pun kayu. Dia bangga kerana Tok Lebai Sabah menjadi bijak kerana dirinya yang banyak menasihat.
Dulu Tok Lebai Sabah hanya ada Pertubuhan Cinta Pahala, tetapi sekarang Tok Lebai Sabah memiliki 22 cawangan kedai runcit Jolok Poket, Channel Youtube dengan pendapatan 200K sebulan, ladang unta dengan sewaan keluar bersiar-siar dengan harga kapitalis, dan banyak lagi syarikat milik Tok Lebai Sabah. Semuanya beliau perolehi setelah menunggang agama Islam seperti yang disarankan oleh Deraman Takbur.
Langit tak selalu cerah, kegiatan yang dilakukan oleh Tok Lebai Sabah mendapat perhatian umum. Banyak hal yang dibongkar oleh seorang sosok yang tidak asing pada Deraman Takbur. Ya, Rapper Itu telah membongkar kegiatan sebenar Tok Lebai Sabah. Dia membongkar kegiatan tersebut kerana Tok Lebai Sabah semakin terkenal sehingga beliau tidak dipandang langsung oleh masyarakat Kampung Malayu. Selain itu, Rapper Itu membongkarkan segala yang dicapai oleh Tok Lebai Sabah kerana rasa sakit hatinya kepada Deraman Takbur yang dianggapnya mengkhianat.
Tapi, Rapper Itu lupa. Tok Lebai Sabah seorang penunggang agama. Sejurus saja Tok Lebai Sabah dan Deraman Takbur membaca berita berkaitan pembongkaran Rapper Itu, mereka terus membuat sesi live di Facebook bertujuan untuk merespon tindakan Rapper Itu. Dua jam live tersebut dilangsungkan, Tok Lebai Sabah menangis, berzikir dan menangkis tuduhan Rapper Itu dengan mengatakan bahawa itu semua fitnah. Walaupun tidak menjawab segala soalan yang diajukan oleh netizen Kampung Malayu, tindakan itu berjaya. Tok Lebai Sabah dan Deraman Takbur berjaya mencuri sentimen “kasihan”, “semoga Tuhan menyebelahi saudara”, dan lain-lain.
Rapper Itu tewas sekali lagi. Kurangnya di mana? Kurangnya kerana Rapper Itu tidak menunggang agama.
“Sudah penuh Tuan Deraman Takbur!” jerit pekerja bawahan Deraman Takbur sambil menjunjung tabung sumbangan.
Deraman Takbur tersenyum lalu mengajak pekerjanya pulang.
“Tuan, kita tidak solat Asar dulu?” tanya pekerja Deraman Takbur.
Deraman Takbur menatap wajah pekerjanya lalu berkata, “Kita tidak boleh solat di sini. Ini surau orang miskin. Lagipun tidak ada tandas peribadi. Kita solat di ruang khas bangunan 77 tingkat kita saja.”
Sampai saja di bangunan 77 tingkat Pertubuhan Cinta Pahala, Deraman Takbur ternampak 7 buah kereta Mercedes Benz di hadapan pintu utama bangunan. Terlihat sosok Tok Lebai Sabah bersalaman dengan orang-orang yang berpakaian sepertinya tetapi dengan lilitan serban bewarna hijau dan putih. Setelah kereta-kereta mewah itu beransur pergi, Deraman Takbur bergegas ke arah Tok Lebai Sabah.
“Tok Lebai Sabah, siapa tu?” tanya Deraman Takbur.
“Orang politik. Dorang minta Ana untuk sokong mereka dalam Pilihan Raya Kampung Malayu nanti.”
“Wah! Hebat Tok Lebai Sabah. Entah-entah tahun depan Tok Lebai Sabah akan jadi Perdana Menteri!” balas Deraman Takbur teruja.
“Ana tak nak jadi Perdana Menteri. Takut nanti tak mampu tanggung kerja sampai tercirit,” Tok Lebai Sabah berseloroh.
Deraman Takbur dan pekerjanya ketawa terbahak-bahak seperti orang kaya.
“Jadi Tok Lebai Sabah terima permintaan mereka?” tanya Deraman Takbur lagi.
“Ana terima. Mercedes Benz, siapa taknak?”
(Artikel ini adalah tulisan saudara Izzat Dahelan dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.