Ada satu tabiat politik yang pelik tetapi semakin kerap dibuat. Apabila tidak cukup modal untuk menyerang lawan, carilah dokumen. Kalau dokumen itu lengkap, pusingkan maknanya. Kalau dokumen itu teknikal, jadikan bahan ceramah. Kalau orang ramai tidak sempat baca, lebih baik lagi. Boleh dijadikan peluru kempen pula.
Begitulah lebih kurang nasib JS-SEZ apabila Datuk Onn Hafiz Ghazi cuba menjadikannya bahan politik PRN Johor. Projek ekonomi sebesar Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang melibatkan Putrajaya, Johor dan Singapura, tiba-tiba mahu dipersembahkan sebagai dongeng Johor dizalimi kerajaan Persekutuan. Seolah-olah JS-SEZ tidak bergerak langsung.
Padahal kalau ikut penjelasan Menteri Ekonomi, JS-SEZ bukan sahaja tidak tertangguh, malah sudah mencatat pelaburan besar. Tetapi dalam musim pilihan raya, fakta kadang-kadang dijadikan mangsa. Yang penting bukan benar atau tidak, tetapi nampak hero. Yang penting bukan dokumen itu difahami atau tidak, tetapi boleh dijadikan bahan bual di pentas ceramah.
Masalahnya, negara ini baru sahaja pening dengan satu lagi kisah terkait dokumen, kes tujuh pemain warisan FAM. Dalam kes itu, FIFA mengambil tindakan selepas mendapati wujud isu pemalsuan dokumen kelayakan pemain. PDRM pula menyiasat elemen penipuan dan pemalsuan dokumen dalam proses pendaftaran pemain kepada FIFA. Kes itu cukup memalukan negara kerana bola sepak yang sepatutnya menyatukan negara akhirnya terpalit dengan persoalan integriti dokumen.
Lebih menarik dalam cakap-cakap orang ramai, ada juga yang mengaitkan asal kes itu dengan “angin dari negeri selatan”. Betul atau tidak, biarlah pihak berkuasa siasat. Kita tidak mahu menjadikan gosip sebagai fakta. Tetapi dalam politik persepsi kadang-kadang lebih laju daripada laporan rasmi. Apabila orang sudah mula berbisik, “ini macam ada bau selatan juga,” maka pemimpin dari selatan sepatutnya lebih berhati-hati bila mahu bermain dengan dokumen.
Sebab itu tindakan Onn Hafiz menunggang dokumen JS-SEZ untuk kempen politik kelihatan sangat tidak manis. Baru sahaja negara belajar bahawa dokumen bukan benda main-main, tiba-tiba muncul pula pemimpin politik yang mahu menjadikan dokumen ekonomi rentas sempadan sebagai bahan kempen. Kalau silap baca, silap petik, atau sengaja pilih separuh cerita, ia bukan lagi keberanian. Ia hanya kecuaian yang boleh memberi kesan kepada negara.
JS-SEZ bukan projek kecil tepi jalan. Ia melibatkan keyakinan pelabur, hubungan antarabangsa Malaysia-Singapura, dasar Persekutuan, pentadbiran negeri dan masa depan ekonomi Johor. Kalau mahu kritik, kritiklah dengan fakta penuh. Kalau mahu bertanya, tanyalah dengan matang. Tetapi kalau dokumen dijadikan bahan politik untuk membina naratif bahawa Putrajaya menganiaya Johor, sedangkan angka pelaburan menunjukkan sebaliknya, itu bukan perjuangan demi negeri. Itu kempen tidak matang.
Akhirnya kita perlu kembali bertanya, tidak cukupkah negara dimalukan dengan cerita dokumen palsu dalam bola sepak? Mahukah kita tambah satu lagi episod dokumen rahsia yang didedahkan, kali ini dalam ekonomi dan politik Johor? Negeri selatan sepatutnya belajar bahawa dokumen bukan sewenangnya boleh disalah gunakan. Dokumen ada makna, ada konteks dan ada akibat.
Kalau Onn Hafiz mahu menjadi jaguh Johor, beliau tidak perlu menunggang untuk pendedahan dokumen JS-SEZ. Cukuplah bawa idea, data dan pentadbiran yang kemas. Kerana rakyat Johor bukan budak sekolah yang mudah terpesona dengan bahan ceramah di pentas. Mereka mahu masa depan ekonomi yang sebenar, bukan drama dokumen di musim PRN.

Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.









