Talibanisasi PAS: Hari Ini Bon Odori, Esok Kaamatan?

Walaupun telah dianjurkan di Malaysia sejak tahun 1977 dan tidak pernah menjadi isu, tahun ini Bon Odori hangat diperbahaskan. Ini susulan peringatan atau mungkin amaran (?) dari Menteri Agama, Idris Ahmad agar rakyat Malaysia yang beragama Islam tidak menyertai acara Bon Odori yang akan dianjurkan di Shah Alam bulan Julai nanti kerana ianya mempunyai unsur keagamaan lain.

Sambutan Bon Odori tidak pernah menjadi isu kerana buat sekian lama, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak pernah berada di dalam kerajaan Persekutuan. Tetapi sejak Langkah Sheraton, PAS kini merupakan sebahagian dari kerajaan dan mereka juga memegang jawatan Menteri Agama.

Justeru peluang yang ada ini digunakan oleh PAS untuk memperkenalkan jenama Islam versi mereka yang selama ini telah lama diamalkan di Kelantan. Islam PAS ini mirip seperti proses Talibanisasi seperti yang kita lihat di Afghanistan. Ia konservatif, tidak terbuka dan tidak toleran kepada kemasyarakatan yang majmuk.

Sekian lama Talibanisasi PAS ini dijalankan di Kelantan, ianya tidak pernah menjadi isu. Tentulah kerana di Kelantan demografik kaum terdiri dari lebih 95% Melayu. Kelantan tidak mempunyai masyarakat majmuk seperti yang wujud di peringkat nasional.

Berbeza dengan demografik di peringkat nasional, ada pelbagai kaum dengan berbagai-bagai kepercayaan agama dan amalan budaya yang bercampur-baur. Di peringkat nasional juga kita dapati ada ramai golongan ekspatriat atau bangsa asing yang menetap dalam Malaysia atas sebab kerja, migrasi dan sebagainya. Ini termasuklah masyarakat Jepun yang mempunyai jumlah yang ramai di Selangor dan Kuala Lumpur, tetapi tidak di Kelantan.

Sambutan Bon Odori yang dimulakan sejak tahun 1977 asalnya adalah untuk menerapkan budaya Jepun di kalangan masyarakat Jepun di Malaysia. Namun lama kelamaan ia menjadi satu sambutan yang turut melibatkan kaum-kaum lain di Malaysia dan menjadi acara tahunan yang yang mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Jepun selain pentas untuk mempromosikan budaya dan negara Jepun itu sendiri.

Rasanya juga sepanjang penganjuran Bon Odori di Malaysia, belum ada lagi orang Islam Malaysia yang murtad dari Islam dan memeluk agama Shinto yakni agama utama masyarakat Jepun.

Begitulah juga sebenarnya dengan upacara Kaamatan yang menjadi sambutan tahunan di Sabah. Ia diraikan oleh semua etnik Sabah merentasi kepercayaan agama. Malahan sejak beberapa tahun yang lalu, Kaamatan turut menjadi acara tarikan pelancongan yang disertai oleh pelancong dari Malaya dan luar negara yang berlainan bangsa dan kepercayaan.

Kaamatan adalah satu perayaan budaya, tetapi ia juga turut mempunyai unsur-unsur keagamaan. Masyarakat Kadazan-Dusun meraikan Kaamatan iaitu pesta menuai padi sebagai tanda terima kasih dan syukur kepada Kinoingan (Tuhan) dan roh-roh atas hasil tuaian padi sambil berdoa untuk hasil tuaian yang lebih baik pada tahun akan datang.

Kepercayaan ini berakar umbi dengan agama Momolian yang merupakan kepercayaan tradisi Kadazan-Dusun. Seperti Bon Odori yang berkait dengan agama Shinto masyarakat Jepun, Kaamatan juga ada unsur keagamaan di dalamnya. Pada kemuncak sambutan Kaamatan, akan ada upacara Magavau di mana Bobohizan (dukun) akan memanggil pulang Bambaazon iaitu semangat padi yang hilang.

Namun di sebalik adanya unsur keagamaan Momolian itu, perayaan Kaamatan tetap disambut oleh semua etnik Sabah. Bahkan di kalangan masyarakat Kadazan-Dusun yang kini kebanyakannya beragama Kristian atau Islam, Kaamatan tetap disambut seperti biasa.

Hakikatnya, Kaamatan telah berevolusi dari satu upacara keagamaan menjadi satu perayaan budaya. Begitulah juga dengan Bon Odori dan tidak ketinggalan juga perayaan lain di Malaysia baik Aidilfitri, Tahun Baharu Cina atau Deepavali. Ada unsur agama di dalamnya tetapi ada juga ciri budaya yang turut diraikan.

Di kalangan masyarakat Sabah, malahan di dalam lingkungan keluarga penulis sendiri ada yang beragama Kristian dan ada yang beragama Islam. Pun begitu setiap kali bulan Mei tiba, kami sekeluarga tetap bersama meraikan Kaamatan tanpa sebarang isu. Walaupun asalnya ia satu upacara keagamaan, tetapi Kaamatan juga adalah satu upcara budaya dan ia boleh sahaja diraikan sebagai satu kebudayaan.

Pendekatan yang sama juga patut diambil dalam melihat isu sambutan Bon Odori. Tujuan utama ia diadakan adalah bagi menonjolkan satu ciri kebudayaan Jepun dan sebagai pentas mengeratkan hubungan rakyat kedua negara.

Malaysia adalah sebuah negara prograsif yang dibina atas rukun tersendiri. Malahan salah satu cita-cita di dalam Rukunegara kita menggariskan dengan jelas bahawasanya negara kita menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak. Justeru pendekatan negara ini dalam hal kebudayaan adalah dengan cara yang liberal. Bukannya dengan cara autokratik dan konservatif yang dibawa PAS dan lebih mirip kepada cara Taliban di Afghanistan.

Rakyat Malaysia perlu bersama menolak agenda Talibanisasi yang dibawa PAS. Insiden Bon Odori bukan kali pertama yang melibatkan PAS cuba menggugat kepelbagaian dan keharmonian budaya dan agama di Malaysia. Untuk kami masyarakat Sabah khususnya, memori kami masih kuat tentang insiden PAS cuba menghalang sambutan Krismas di Tawau pada tahun 2018 sedangkan sambutan tersebut telah dianjurkan sejak puluhan tahun lamanya.

Adalah tidak mustahil jika Krismas pernah dipertikaikan dan kini Bon Odori pula menjadi isu, mungkin esok Kaamatan pula akan cuba ‘diharamkan’ oleh PAS.

Komen