Syria Pasca Assad: Cabaran Dan Harapan

8 DISEMBER 2024, satu tarikh yang tidak dapat dilupakan oleh masyarakat dunia. Serangan pantas yang digerakkan oleh pasukan pejuang Hayat Tahrir al-Shams (HTS) sejak 10 hari lalu bermula dari kubu kuat mereka di Idlib, sebelum menawan kota-kota besar seperti Hama, Homs, Aleppo, dan kini hanya berada di pinggiran Kota Damsyik, kubu terakhir rejim Assad.

Bashar al-Assad, yang memegang jawatan Presiden Syria sejak tahun 2000, berada di persimpangan besar. Meskipun beliau masih yakin dapat menyekat kemaraan HTS, ketika pasukan itu sudah berada di pinggiran kota, Assad mengambil keputusan untuk melarikan diri ke Moscow bersama keluarganya atas nasihat sekutu rapatnya, Rusia.

Tindakan ini membolehkan HTS menawan Damsyik tanpa sebarang tentangan, sekaligus menamatkan pemerintahan keluarga Assad yang bertahan selama 53 tahun. Dilaporkan bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin, telah membenarkan Assad menerima suaka politik di Rusia.

Namun, pada 8 Disember itu, persoalan besar yang timbul adalah: di manakah sekutu rapatnya, Rusia dan Iran, ketika Assad memerlukan mereka untuk mempertahankan rejim yang terkenal dengan kebrutalan serta kezaliman terhadap rakyatnya sejak era Hafez al-Assad?

Ketidakhadiran Sekutu Utama

Logik paling mudah untuk difahami adalah Rusia dan Iran masing-masing menghadapi konflik dalaman yang memerlukan perhatian mereka. Rusia masih sibuk dengan perang di Ukraine yang kini memasuki tahun ketiga sejak meletus pada 2022, manakala Iran sedang bergelut dengan konflik di rantau ini, termasuk serangan balas dengan Israel. Ketiadaan sekutu utama Assad membuka peluang kepada HTS untuk melancarkan serangan pantas dan menguasai Syria dalam tempoh singkat.

Namun, implikasi terbesar daripada kejatuhan Assad mungkin dirasakan oleh Iran. Syria merupakan laluan strategik bagi Iran untuk membekalkan senjata kepada sekutu-sekutunya seperti Hezbollah di Lebanon, Hamas di Palestin, dan Houthi di Yaman melalui pakatan “Axis of Resistance” — satu pakatan yang bertujuan mengekang pengaruh Amerika Syarikat dan Israel di Timur Tengah.

Menurut James Jeffrey, mantan diplomat AS dan Timbalan Penasihat Keselamatan Negara, insiden di Syria dan Lebanon menunjukkan pakatan tersebut kini berada di ambang kehancuran. Jeffrey mendakwa bahawa Iran kini kehilangan sekutu strategiknya untuk melancarkan perang proksi di Timur Tengah. Militia pro-Iran di Iraq dan kumpulan Houthi di Yaman mungkin satu-satunya pihak yang tinggal untuk meneruskan perjuangan ini.

Cabaran Syria Pasca Assad

Persoalannya kini, apakah langkah seterusnya untuk Syria pasca kejatuhan Assad? Adakah kestabilan dapat dicapai dalam masa terdekat, atau lebih banyak konflik akan berlaku, baik di peringkat dalaman mahupun luaran? Yang pasti, kestabilan dan keamanan adalah prasyarat penting untuk membina semula negara. Jika tidak, Syria bakal menghadapi pelbagai rintangan dalam usaha menjadi negara yang bebas dan aman.

Pengalaman negara lain seperti Libya dan Mesir selepas Arab Spring pada 2011 boleh dijadikan pengajaran. Di Libya, kekosongan kuasa (‘power vacuum’) selepas kejatuhan Muammar Gaddafi membawa kepada perang saudara yang berpanjangan. Di Mesir pula, kestabilan tidak dicapai apabila Mohammad Morsi, yang dipilih melalui pilihan raya, digulingkan oleh tentera hanya selepas setahun memerintah. Keadaan ini menunjukkan bahawa menumbangkan rejim tidak semestinya membawa kepada keamanan jika struktur politik dan sosial tidak dibaik pulih.

Ketika HTS berjaya menduduki Damsyik, Israel pula telah menduduki Dataran Tinggi Golan dan memperluas kawasannya hingga ke zon penampan (‘buffer zone’) atas alasan menjaga kepentingannya. Walaupun dikecam masyarakat antarabangsa, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah demi memastikan keselamatan Israel.

Di peringkat domestik, kerajaan sementara Syria bakal berdepan cabaran menyatukan kumpulan-kumpulan pejuang lain yang turut menentang Assad. Selain HTS, terdapat kumpulan seperti Syria Democratic Force (SDF) yang menguasai bahagian utara Syria dengan sokongan Amerika Syarikat, dan Syria National Army (SNA) yang mendapat sokongan Turkiye. Keupayaan kerajaan sementara untuk mengurus hubungan dengan kumpulan-kumpulan ini, yang mempunyai agenda masing-masing, akan menjadi faktor penentu kestabilan Syria.

Harapan Untuk Syria

Perubahan tidak berlaku dalam masa yang singkat. Syria memerlukan tempoh panjang untuk pulih daripada kehancuran akibat perang saudara yang telah berlangsung selama bertahun-tahun. Penindasan rejim Assad, yang berlangsung selama 53 tahun, telah meninggalkan luka yang mendalam dalam masyarakat. Rakyat Syria kini berhak meraikan kebebasan kali kedua selepas merdeka daripada penjajahan Perancis pada 1946.

Masa depan Syria mungkin belum pasti, tetapi pintu perubahan telah terbuka. Inilah masanya untuk membina semula sebuah negara yang aman dan bermaruah. Dunia sedang memerhati, dan Syria kini berada di persimpangan sejarah.

(Artikel ini adalah tulisan saudara Naufal Durokhman dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Komen