Pada tahun 2018, mendiang Martin Khor pernah menulis tentang masalah jaminan keselamatan makanan yang membabitkan masalah petani kecil. Bagi yang tidak mengenali siapakah mendiang Martin Khor, beliau merupakan seorang bekas Pengarah Eksekutif South Centre dan aktivis kepenggunaan global kelahiran Pulau Pinang.
Mendian menjadi antara anak Malaysia yang berkhidmat sebagai think tank dalam urusan berkaitan negara membangun berkaitan hal seputar pembangunan mampan, kesihatan, ubat-ubatan, perubahan iklim, keselamatan makanan, polisi membabitkan pelaburan, teknologi dan inovasi. Sebagai ekonomis lulusan Universiti Cambridge dan Universiti Sains Malaysia, beliau mengambil berat akan hal yang sebutkan di atas kerana beranggapan beliau mempunyai tugas moral untuk membersihkan cabang bidang tersebut daripada disalah guna. Sumbangan terbesar mendiang adalah pernah menjadi setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam gerak kerja berkaitan pembangunan dan alam sekitar.
Tulisan beliau mudah dan menggunakan data kadar kecukupan makanan 2017 daripada statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Penunjuk Pertanian Terpilih 2018. Statistik ini menggariskan dengan jelas bahawa Malaysia hanya mampu menawarkan 11 peratus daging kambing dan 26 peratus daging lembu kepada pasaran.
Antara sebab mengapa kekurangan ini berlaku kerana kerajaan mencadangkan duti import yang rendah dan menggalakkan barangan import daripada negara China, Vietnam, Thailand dan Australia. Hal ini sekaligus membunuh peluang petani kecil untuk bersaing.
Dua tahun kemudian, ketika sepatutnya seluruh negara merasakan nikmat kemajuan tahun 2020, kita dikejutkan dengan skandal korupsi membabitkan daging import. Bukan hal setahun dua, malah telah terjadi lebih 40 tahun lamanya.
Sebelum isu daging import berlaku, beberapa bulan kebelakangan ini juga, Malaysia telah menjadi mangsa kepada harga pasaran bawang yang meningkat tinggi disebabkan masalah kemarau yang panjang di India. Sedangkan jika kita mengambil kira persoalan yang pernah dibangkitkan oleh mendiang Martin Khor, isu keselamatan makanan tidak akan berlaku.
Merenung kembali masalah ketidak cukupan sumber daging di negara ini dan kebergantungan terhadap produk pasaran import yang berlebihan sehingga mewujudkan dominasi adalah kerana berpunca antaranya dari pelan National Feedlot Corppration (NFC) yang gagal.
NFC sepatutnya menjadi pemacu lokal pasaran daging dan sepatutnya juga menjadi sandaran pada penternak-penternak kecil yang mahu memulakan aktiviti penternakan bagi memenuhi perintaan pasaran tempatan.
Mengapa penternak kecil mempercayai pelan NFC tanpa ragu adalah disebabkan penternak kecil tiada akses kepada tanah dan tidak mempunyai modal yang cukup. Datangnya NFC, kononnya untuk menyelesaikan masalah tersebut seterusnya melonjakkan hasil daging tempatan bagi menolak monopoli daging import.
Di atas kertas, ia menunjukkan pelan ini adalah penyelamat kepada kemelut kemiskinan penternak, kekangan dana pembiakan baka dan modal kawasan penternakan.
Malangnya, pada tahun 2012, skandal terbesar waktu itu adalah salahguna kuasa, korupsi dan pecah amanah sebanyak RM250 juta telah berlaku membabitkan NFC. Harapan tinggal harapan. Segalanya pecah dan berkecai. Penternak yang sebelum ini menganggap sedang menghampiri cahaya terang akhirnya diselubungi kegelapan.
Akhirnya, masalah penawaran daging lembu meruncing, memburuk dan menyesakkan hingga memaksa pengguna kembali kepada alternatif daging import yang lebih murah dan mudah didapati di pasaran.
Permintaan daging tempatan bukan sahaja untuk membantu penternak kecil bahkan menjadi solusi kepada industri makanan halal di Malaysia. Bermacam skandal melibatkan makanan halal telah berlaku sejak atau sebelum jabatan halal JAKIM terwujud. Ironi kepada permasalahan ini adalah, Malaysia yang mengaku sebagai negara Islam gagal memastikan sumber makanan bagi majoriti penduduk di negara ini datang daripada sumber yang bersih dan terjamin.
Industri daging pula menjadi medan tempur kepada segolongan pemain pasaran daging sehingga kita nampak berlaku masalah tidak sudah apabila menghampiri perayaan seperti Hari Raya Korban. Sebanyak 11 peratus dan 26 peratus pemain industri daging kambing dan lembu berlumba-lumba menaikkan harga ternakan mereka kerana tahu tetap ada permintaan bagi menunaikan ibadah tersebut. Timbul pula masalah baru apabila pemain industri daging tempatan prejudis kepada pengguna yang memilih untuk membuat korban di luar negara dek kerana tidak mampu untuk mempersiapkan dengan harga seperti mahu meminang anak dara jika ingin membuat korban di dalam negara.
Lantas dari isu korupsi dan ketidakcukupan, Malaysia tidak mempunyai alasan untuk mewujudkan kuasa pembeli kerana kita sedang ditekan di segenap arah tanpa ada solusi tuntas. Sekali lagi rakyat dibebani dengan hal yang tak sepatutnya difikirkan oleh mereka.
Jelaslah, apa yang pernah ditulis oleh mendiang Martin Khor ada asasnya. Persoalan terbesar, adakah 11 peratus dan 26 peratus sumber daging yang dihasilkan di Malaysia dibiarkan sedemikian kerana ingin memberi ruang kepada tangan-tangan ghaib di sebalik krisis rasuah kartel daging yang terjadi sejak puluhan tahun lagi atau ada pihak yang tidak serius kerana terlalu lama menikmati hasil rompakan terang benderang daripada rakyat dan pengguna?
Shakila Zen adalah seorang Aktivis Alam di pertubuhan NGO bernama KUASA dan terlibat dengan pemerkasaan komuniti rentan. Manis yang melawan.