SETELAH membaca buku, dia menjadi Syiah. Buku itu dikarang oleh seorang novelis terkenal tanah air. Dia menyumpah-nyumpah, rasa menyesal membawa buku kejadah itu bersama ketika bercuti. Adalah susah menjadi penganut Syiah di negara ini.
Kemudian, setelah membaca Injil yang diletakkan di dalam laci meja sisi katil hotel, dia menjadi Kristian pula.
Jika menjadi Syiah itu susah, adalah lebih sukar lagi menjadi Syiah dan Kristian sekali gus. Maka, cepat-cepat dan sedikit cemas, dia pun segera membuka majalah Astro di meja, cekatan membaca tentang rancangan TV satelit hari itu dengan tangan terketar.
Setelah membaca, dia pun menjadi seorang watak dalam drama televisyen Melayu tempatan, tentang sebuah keluarga metropolitan yang kaya raya berpangkat Datuk dan anaknya yang cantik jelita tetapi sedikit liar, bercinta dengan seekor sotong.
Dia membawa watak sotong, tetapi dia rasa, rakyat Syiah Kristian tetapi dalam spesies moluska masih tidak boleh diterima di negara ini, meskipun dia seorang jutawan kaya raya yang berdarjat.
Selepas itu dia tidak pasti mahu membaca apa lagi. Bilik hotel itu tidak banyak bahan bacaan.
Tulisan Saharil Hasrin Sanin ini ada di dalam Cerpen-Cerpen Underground.