Dalam mendepani arus globalisasi yang serba pantas, transformasi digital kini menjadi nadi utama dalam sistem pendidikan negara. Pelbagai dasar diperkenalkan untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam persaingan global, terutamanya melalui pelaksanaan Pembelajaran Digital. Namun, di sebalik kemegahan infrastruktur 5G yang mula mewarnai landskap bandar-bandar besar, satu realiti pahit masih menyelubungi sebahagian besar pelajar di kawasan pedalaman. Fenomena ini dikenali sebagai kemiskinan digital sebagai sebuah jurang yang memisahkan antara mereka yang memiliki akses dengan mereka yang terpinggir daripada arus perdana teknologi.
Dari pandangan lensa sosiologi, jurang digital bukan sekadar isu teknikal mengenai ketiadaan peranti atau kelajuan internet semata-mata. Ia merupakan manifestasi daripada ketidaksamaan struktur sosial yang sedia ada. Menurut data primer yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan tahun 2022, perbezaan pemilikan komputer antara penduduk bandar dan luar bandar adalah sangat ketara. Pemilikan komputer di kawasan bandar mencapai kadar 80.2 peratus, manakala di kawasan luar bandar hanya mencatatkan 54.1 peratus. Jurang sebanyak 26.1 peratus ini menunjukkan wujudnya diskriminasi geografi yang secara langsung menjejaskan kualiti pendidikan anak-anak di desa.
Laporan Penang Institute (2025) menekankan bahawa belanjawan pendidikan digital tidak mencukupi untuk sekolah luar bandar, dengan hanya 35% sekolah menggunakan cloud-based learning akibat latihan guru kurang. Tinjauan sistematik Hashim (2024) mengesahkan faktor sosioekonomi, infrastruktur, dan kemahiran digital sebagai penyumbang utama jurang tahap pertama dan kedua, selaras dengan data DOSM.
Ketidaksamaan ini dapat dijelaskan bagaimana seorang pelajar di bandar secara umumnya memiliki peluang pendidikan yang tinggi iaitu akses kepada komputer riba, tablet, dan sambungan internet jalur lebar berkelajuan tinggi. Kelebihan ini membolehkan mereka memanfaatkan sepenuhnya sumber pembelajaran digital. Sebaliknya, pelajar di luar bandar sering kali terpaksa bergantung kepada telefon pintar yang mempunyai fungsi terhad. Ketidakmampuan ekonomi keluarga di luar bandar, terutamanya golongan B40, menyebabkan pelaburan dalam peranti pendidikan dianggap sebagai bebanan kewangan yang berat berbanding keperluan asas harian.
Selain itu, ketersambungan internet di kawasan pedalaman yang sering kali tidak stabil turut menyumbang kepada marginalisasi digital. Walaupun kerajaan melalui projek Jendela Digital Negara (JENDELA) telah berusaha meluaskan liputan, namun keberkesanannya di peringkat akar umbi masih belum konsisten. Di sesetengah kawasan terpencil, penduduk hanya mempunyai akses kepada operator tunggal dengan memiliki rangkaian yang lemah, terutamanya ketika cuaca buruk. Apabila sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) atau pembelajaran dalam talian dilaksanakan, pelajar di kawasan ini terputus hubungan daripada guru dan rakan sebaya. Keadaan ini bukan sahaja mengganggu proses kognitif mereka, malah menimbulkan rasa rendah diri dan pengasingan sosial secara tidak langsung.
Walaupun pelbagai dasar diperkenal bagi mengukuhkan jaringan pencapain internet seperti Dasar Pendidikan Digital 2023 dan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), pelaksanaannya masih menghadapi cabaran infrastruktur, terutama di kawasan sekolah luar bandar yang mengalami kekurangan internet yang laju dan peranti. Justeru, projek 1BestariNet gagal sepenuhnya, kerana meliputi internet yang lemah dan masalah kekurangan guru-guru yang menyebabkan jurang digital masih berterusan berlaku walaupun pelaburan yang diberikan adalah jumlah yang besar. Melalui inisiatif DELIMa dan Sistem NILAM Bersepadu Lanjutan (AINS) turut terhalang kerana kekangan masa guru, infrastruktur tidak mencukupi dan kesediaan rendah bagi pelajar luar bandar.
Implikasi politik juga tidak kurang pentingnya. Kegagalan merapatkan jurang ini akan menyebabkan lahirnya warganegara digital kelas kedua. Sekiranya jurang digital ini tidak dibendung, hasrat kerajaan untuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke 4 iaitu pendidikan berkualiti untuk semua, akan menjadi halusinasi semata-mata. Ketidakadilan dalam pengagihan modal digital akan terus mengekalkan hierarki kelas sosial di mana mobiliti sosial pelajar luar bandar akan terhalang akibat kekurangan literasi dan akses teknologi.
Oleh itu, satu intervensi holistik perlu dilaksanakan segera. Pihak kerajaan dan swasta perlu bekerjasama bukan sahaja dalam membina menara telekomunikasi, tetapi juga dalam menyediakan subsidi peranti yang lebih bersasar bagi pelajar luar bandar. Pembangunan modal insan melalui pendidikan digital tidak boleh bersifat selektif. Kita perlu memastikan setiap anak bangsa, tidak kira di mana mereka berada, mempunyai hak yang sama untuk mengakses ilmu tanpa sempadan. Isu ini tidak boleh diketengahkan lagi, malah perlu diberikan penekanan bagi memenuhi hak keadilan semua pihak dalam konteks pendidikan digital.
Sebagai kesimpulan, jurang digital adalah satu cabaran besar dalam keadilan sosial di Malaysia. Merapatkan jurang ini bermakna kita sedang membina jambatan untuk masa depan yang lebih inklusif. Jangan biarkan anak-anak kita di luar bandar terus terpinggir daripada arus kemodenan hanya disebabkan kekangan geografi dan ekonomi. Sudah tiba masanya kedaulatan digital dinikmati oleh semua, demi Malaysia yang harmoni dan sejahtera.
(Artikel ini ditulis oleh saudari Shahidah Aliyah Abdul Kadir, Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan bimbingan oleh Penyelaras kursus Sosiologi Desa, FSSK, UKM, Prof Madya Dr Velan Kunjuraman)

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.









