Sesuatu Yang Dahsyat Sedang Dalam Perjalanan

Pengumuman oleh Muafakat Nasional untuk menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri pasca PRU akan datang telah menghantar satu gelombang kejutan kepada kumpulan pemerhati dan pengamat politik tanah air.

Sudah tentu, berita tersebut kemudiannya disambut dengan rentetan kenyataan yang bertentangan daripada Panglima Perang UMNO untuk menenangkan kembali rasa tidak puas hati di peringkat akar umbi.

Tengku Razaleigh dan Ibrahim Ali antara yang terawal lantang bersuara. Retak yang bermula halus kini makin jelas selepas Annuar Musa pula mengumumkan kerusi-kerusi tradisi UMNO akan terus kekal dipertahankan oleh UMNO.

Muhyiddin sebenarnya telah lama mengumumkan kepada Majlis Tertinggi Bersatu yang beliau telah dijanjikan dengan komitmen oleh UMNO dan PAS sebagai calon Perdana Menteri untuk PRU akan datang. Alasannya, beliau memiliki rating tahap kepuasan yang tinggi dari rakyat, selain UMNO dan PAS dikatakan tidak mempunyai calon yang berkaliber untuk diketengahkan.

Ini sebenarnya jelas bertentangan dengan pandangan umum PAS apabila Tuan Ibrahim Tuan Man tanpa segan silu dirujuk bahawa mereka mempunyai ‘ramai calon Perdana Menteri yang berkelayakan’. Apa keperluan mereka untuk terus menyokong ‘Kingmaker Minoriti’ yang menjadikan dirinya sebagai Perdana Menteri lantas menafikan Muafakat Nasional mahkota kuasa sebagai Perdana Menteri?

Walaubagaimanapun, tidaklah pelik untuk PAS berterusan menjadi pengikut yang hanya tunduk kepada UMNO; mereka, pada akhirnya – masih menikmati bulan madu di dalam kuasa atas budi UMNO. Namun untuk UMNO tunduk dan menerima Muhyiddin menidakkan logik DNA UMNO itu sendiri.

Adakah Muafakat Nasional telah meninggalkan hasrat rahsia terbuka mereka untuk menghapuskan BERSATU? Mengapa tidak menjarah apa sahaja sumber yang ada dan tinggalkan sahaja BERSATU? Mengapa tidak lengkapkan sahaja persediaan untuk pilihanraya mengejut dan mengembalikan mahkota kuasa kepada pemilik yang paling berhak, iaitu UMNO?

Yakinlah bahawa rancangan tersebut masih lagi berjalan. Namun bola lencong kononnya sokongan terhadap Muhyiddin ini hanyalah untuk memaparkan kesatuan dalam kalangan parti parti Melayu dan tidak lebih daripada ilusi untuk pengundi atas pagar Melayu, selain daripada jalan untuk memperdaya Muhyiddin semata-mata.

Ironinya, UMNO dilihat teragak-agak untuk kembali berkuasa secara terang-terangan sebenarnya tersekat dek naratif mereka sendiri untuk bersatu di bawah penyatuan tidak sah mereka iaitu Perikatan Nasional.
UMNO kini tidak lagi mahu dilihat sebagai parti yang menjadi asbab untuk memecahkan penyatuan parti-parti Melayu ini. Sekiranya UMNO terus menerus bergocoh dengan BERSATU, sudah tentu ini akan menyebabkan mereka dilihat sebagai antagonis di dalam penyatuan palsu ini.

Jadi, bagaimanakah Muafakat Nasional akan kembali membuat pusingan u, atau memutuskan hubungan dengan BERSATU tanpa menjadi antagonis terhadap sokongan golongan atas pagar yang sangat mereka perlukan untuk merebut Putrajaya?

Ketidakselesaan, dabik dada yang dilihat dari Puad Zarkasi, Tengku Razaleigh, Lokman Adam, Nazri Aziz, Mat Hassan dan ramai lagi Panglima UMNO ini adalah benih benih rasa tidak puas hati yang disemai awal, dan akhirnya akan dituai sebagai naratif pengkhianatan.

Ia akan membawa naratif BERSATU meminta lebih dari nilai mereka, kononnya BERSATU mendapat habuan yang lebih dan akhirnya naratif BERSATU telah mengkhianati perjuangan demi Agama, Bangsa dan Negara.

Keadaan ini kelak akan dilihat begitu tersusun rapi sebagai perbezaan polisi dan ideologi di antara Muafakat Nasional dan BERSATU yang muncul entah dari mana,yang akhirnya akan membawa kepada pengakhiran kepada penyatuan yang tidak lagi mampu dipertahankan.

Apabila kisah ini dicorak dengan keretakan antara Muafakat Nasional dan BERSATU, rasa tidak puas hati di peringkat akar umbi Melayu akan mencapai tahap didihnya, dan UMNO sudah pasti akan mengambil langkah untuk memutuskan penyatuan ini.

Mungkin mereka akan sedekah beberapa kerusi Parlimen untuk BERSATU, sebagai tanda belas kasihan namun ia tidaklah bermakna lagi. Atau, mereka akan menghulurkan talian hayat dalam bentuk jemputan untuk kembali menyertai UMNO; yang mana faktanya hal ini telahpun ditayangkan kepada khalayak secara terang-terangan.

Kita mungkin tertanya-tanya bagaimanakah Muafakat Nasional mahu menyampaikan propaganda mereka agar sampai kepada khalayak. Telah terbukti, Menteri Komunikasi dan Multimedia ‘serba boleh dan sesuai’ sebagai operator utama apabila kita berbicara tentang kesetiaan.

Beliau sudah pasti tiada masalah untuk memilih kembali ke dalam kancah kuasa ; sudah tentu sebagai galang ganti terhadap kerjasama ini malah terhadap ‘ketua’ beliau sendiri Azmin Ali – yang sudah pasti akan dihumban pada waktu tersebut.

Sama ada beliau tahu atau beliau menafikannya, atau sibuk menyusun strategi, atau beliau sudah mabuk dengan kuasa sehingga jelas tentang gempa yang sedang berlangsung, kesemuanya sekali, semuanya serba tidak kena buat Muhyiddin di Seri Perdana.

Yang pasti Tan Seri, sesuatu yang dahsyat sedang dalam perjalanan.

Komen