Tetapi berapa banyak dari sepuluh janji tersebut yang telah ditunaikan?
Dan berapa banyak pula yang belum ditunaikan?
Bila rakyat desak tuntut manifesto, kerajaan beri alasan “ekonomi tak stabil”.
Aku partially agree dengan statement ini. Tidak masuk akal kalau kita menafikan puluhan bilion ketirisan pada zaman Barisan Nasional.
Tapi dalam manifesto Pakatan Harapan, ada janji-janji yang tiada kaitan langsung dengan ekonomi. Mari kita lihat apakah janji-janji tersebut:
1. Janji 12: Kuasa Perdana Menteri. Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain. Apa yang dilakukan? Tun Mahathir Mohamad memangku jawatan Menteri Pendidikan. Memangku atau tidak, masih tetap pegang portfolio. Kenapa perkara mudah sebegini tidak boleh dibuat? Apa kaitan dengan rompakan Barisan Nasional?
2. Janji 15: Memisahkan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwaraya dan Peguam Negara akan dilantik dalam kalangan ahli parlimen. Apa yang telah dilakukan? Tiada pemisahan untuk dua kuasa ini dan Peguam Negara bukan di kalangan ahli parlimen seperti yang dijanjikan.
3. Janji 19: Pelantikan Ketua Hakim Negara melalui Jawatankuasa Terpilih Parlimen. Apa yang dilakukan? Pelantikan tidak melalui proses yang dijanjikan.
4. Janji 22: Pelantikan ahli Lembaga Pengarah GLC dari kalangan professional bukannya ahli politik. Apa yang telah dilakukan? Berapa banyak senarai GLC yang masih dipegang ahli politik? Tidaklah salah, tapi lantiklah mereka yang ada merit, bukannya dilantik tanpa merit.
5. Janji 27: Hapuskan akta yang zalim. Apa yang dilakukan? Akta Hasutan masih wujud.
6. Janji 50: Kembalikan wibawa universiti dengan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Apa yang telah dilakukan? AUKU masih wujud.
Namun dalam masa yang sama, kita perlu berlaku adil. Dan berikut antara janji manifesto yang telah ditunaikan oleh Pakatan Harapan.
1. Janji 16: Jawatankuasa khas parlimen akan dibentuk. Apa yang dilakukan? Memang jawatankuasa khas ini telah diwujudkan selepas Pakatan Harapan menang.
2. Janji 17: Menjamin ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Apa yang telah dilakukan? Yang ini kita boleh akui. Belum nampak lagi pihak pembangkang mengadu tentang SPR. Malah selepas PH menang, SPR siap buat live counting di Facebook lagi.
3. Janji 28: Anak muda yang bebas. Apa yang dilakukan? Penghapusan program doktrin Biro Tata Negara (BTN) dan kita kena akui, mahasiswa zaman PH kini jauh lebih bebas berbanding di zaman BN.
4. Janji 40: Kembalikan status Sabah dan Sarawak. Apa yang telah dilakukan? Usul telah dibawa ke parlimen tetapi ianya ditolak oleh Ahli Parlimen BN dan PAS.
Secara keseluruhan, ada 10 dari 60 janji PH yang tidak perlu bergantung pada ekonomi. Yang sedihnya, hanya empat dari 10 yang ditunaikan. Kenapa enam lagi janji tidak tertunai? Kalau alasannya “ekonomi”, enam janji ini tidak bergantung pada ekonomi. Tunaikan enam janji ini dahulu, kemudian fokus pada yang berkaitan ekonomi.
Dalam janji yang melibatkan ekonomi ini juga, perlu ada timeframe. Normal lah bila kerajaan berubah, ekonomi tidak stabil. Tapi maklumkan pada rakyat berapa lama proses untuk menguatkan semula ekonomi negara. Bila tak maklum, rakyat akan fikir, “kalau undi PH lagi, macam ni je ke ekonomi? Baik undi BN.”
Macam kau pergi kedai makanlah. Kau order. Dah sejam, kau tanya pelayan, dia jawab “saya pun tak tahu bila boleh siap”. Memang kau angkat kakilah.
Kalau dia jawab “Chef tengah masak utk meja sebelah ni. Lepas ni awak”. Kau tunggu lama pun tak kisah sebab kau dah tahu timeline.
Samalah dalam kes PH ini. Siapkan dulu “makanan” meja sebelah. Sepuluh janji yang tadi. Kemudian, siapkan “makanan” yang lain. Lima puluh janji lain within the timeframe.
Masalahnya, yang PH sibuk “masak” sekarang? Kereta terbang, jadual bayaran wajib PTPTN, cadangan naikkan eksais duti kereta CKD dan sebagainya.
Itu yang rakyat marah. Order “manifesto” dulu, yang dapat “idea badut”. Priority.
Akhir kata.
1) Kalau dah janji, usahalah untuk tunaikan. Beriya laung #youthpower pun tak guna juga kalau diam sahaja bila bos tak hormat manifesto.
2) BN jangan seronok sangat. Sekurangnya, kami gesa PH tunaikan manifesto. Zaman anda dulu, manifesto ke laut juga dan anda diam je.
(Tulisan ini diambil dan diubah suai dari untaian asal di Twitter penulis)
Farhan Zulkefly merupakan staf di sebuah perusahaan milik kerajaan (GLC). Beliau juga pernah menghasilkan sebuah buku analisis politik berjudul “Sudahlah Politikus” pada 2015.