Tarikh 4 Mei merupakan Hari Bomba Sedunia. Ia bermula dengan desakan untuk menghargai pengorbanan lima ahli bomba Australia yang gugur ketika memadamkan kebakaran hutan di Australia pada 2 Disember 1998. Susulan peristiwa tragis tersebut, satu emel telah disebarkan ke seluruh dunia pada 4 Januari 1999 untuk menjadikan tarikh 4 Mei sebagai Hari Bomba Sedunia bagi mengenang jasa dan pengorbanan anggota bomba dalam menyelamatkan nyawa.
Di Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat juga pernah melalui peristiwa tragis dan insiden yang meragut nyawa anggota di bawahnya. Tuntutan menjalankan tugas demi negara dan menyelamatkan nyawa insan lain meletakkan ahli bomba berisiko tinggi ketika melakukan tugas hakiki mereka. Terbakar, lemas atau kemalangan lainnya adalah kemungkinan yang akan berlaku untuk setiap ahli bomba apabila mereka turun ke lapangan. Ia sudah dijangka, tetapi ada kala ancaman tetap datang dalam bentuk yang tidak diduga.
Apabila bercakap tentang gugurnya ahli bomba dalam menjalankan tugas akibat ancaman yang tidak diduga, kita pasti tidak akan lupa terhadap insiden yang pernah menimpa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim. Arwah gugur di medan tugasan bukan kerana disambar api, lemas dalam air deras atau keracunan toksik. Tetapi Muhammad Adib gugur kerana dipukul dan dipijak oleh kumpulan manusia yang hendak dibantu olehnya.
Pada 26 November 2018, berlaku kebakaran di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Selangor yang dikatakan berpunca dari perbuatan khianat. Segerombolan manusia telah menceroboh masuk kawasan kuil, memecahkan harta benda awam dan kemudiannya menyalakan api di bangunan dalam premis kuil tersebut.
Bertindak dari situasi cemas ini, arwah bersama lapan responden lain menyahut panggilan kecemasan dan bergegas ke tempat kejadian. Pada saat ini, insiden pencerobohan tadi telah bertukar menjadi insiden rusuhan apabila penganut agama Hindu datang untuk mempertahankan kawasan ibadat mereka. Keadaan menjadi tegang dan dengan kumpulan pelaku sudah melarikan diri, kemarahan yang menyala kini membuak untuk dilepaskan kepada sesiapa sahaja.
Hilang sabar dan kekeliruan adalah apa yang boleh ditafsirkan pada malam keparat tersebut. Arwah Adib dan rakan setugasnya yang datang dari Balai Bomba Subang Jaya tiba tetapi disambut dengan balingan objek dan maki hamun dari kumpulan perusuh di kuil. Dalam kekalutan yang berlaku, arwah yang telah keluar dari kenderaan bomba telah dikepung dan menjadi belasahan perusuh yang ada.
Tidak banyak yang diketahui dengan pasti apa yang berlaku ketika itu. Tetapi dakwaan oleh tuan punya badan sendiri ialah dirinya dipukul dan dipijak kumpulan perusuh walaupun jelas ketika itu dengan seragam yang dikenakan, arwah adalah seorang ahli bomba dan petugas kecemasan. Mujur sekumpulan individu waras lain tampil menyelamatkan arwah dan membawanya keluar dari kawasan tersebut.
Arwah Adib dikejarkan ke Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby atas kecederaan yang dialaminya. Apabila keadaannya bertambah buruk, arwah terpaksa dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan yang lebih rapi.
Selama 21 hari arwah menerima rawatan di hospital. Walaupun pada pertengahannya ada perkembangan positif, namun keadaan berubah menjadi kritikal pada 15 Disember apabila paru-parunya mengeras. Dan kemuncaknya ialah pada 17 Disember apabila arwah Muhammad Adib Mohd Kassim akhirnya menghembuskan nafas terakhir tepat jam 9.41 malam.
Apa yang menyedihkan, kematian arwah berlaku tiga hari sebelum tarikh pertunangan dan empat hari sebelum tarikh pernikahan yang dirancang arwah bersama teman wanitanya. Ajal terlebih dahulu menjemput arwah Adib dan kematiannya mungkin yang pertama di Malaysia melibatkan ahli bomba dipukul oleh perusuh.
Jika kematian Muhammad Adib itu tragis dan menyedihkan, maka apa yang berlaku selepas itu pula sangat mengecewakan. Dalam masyarakat menuntut pembelaan adil buat arwah, perjuangan demi keadilan itu telah dirampas oleh sekelompok manusia atas nama perkauman, keagamaan, politik dan kuasa.
Insiden Adib mewujudkan polarisasi mendadak di kalangan rakyat Malaysia. Ia pantas menjadi isu kaum dan agama, kemudian dijadikan pula modal politik oleh pihak tertentu demi kuasa yang mereka dambakan. Perjuangan membela arwah yang pada awalnya suci dan ikhlas bertukar menjadi perjuangan kepentingan pihak tertentu.
Selama hampir dua tahun ia dijadikan modal politik. Biar pun kerajaan pada ketika itu tetap menjalankan siasatan dan inkues seperti yang dituntut, ia masih tidak mencukupi hingga ada tuntutan tidak masuk akal disuarakan seperti mendesak menteri letak jawatan, menangkap peguam negara atas alasan salah guna kuasa bahkan sehingga kepada menuntut pembubaran kerajaan sedia ada. Latar belakang arwah Adib iaitu bangsa dan agamnya dijadikan modal untuk meraih sokongan kumpulan tertentu dan mewujudkan persepsi bahawa Melayu dan Islam ditindas di negara sendiri.
Tetapi, apa yang terjadi selepas dua tahun?
Detik runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan dan diganti dengan Perikatan Nasional juga adalah detik hilangnya suara-suara yang kononnya menuntut keadilan buat arwah Adib selama ini. Pada kesudahannya, tiada tangkapan atau salah guna kuasa, tiada lagi desakan bertali arus konon mencari pembunuh arwah sehingga ke lubang cacing. Yang terpekik terlolong selama ini semuanya diam sepi tanpa bicara.
Adakah sudah tiada jalan keadilan buat Muhammad Adib?
Ada. Tetapi suara yang menuntutnya makin berkurangan.
Yang beramai-ramai dulu terpekik terlolong sama ada sudah terlupa atau mungkin barangkali sebenarnya tidak pernah pun ikhlas mahu mencari keadilan. Sebaliknya yang mereka cari ialah kuasa.
Dan kini pabila kuasa itu sudah digendongan mereka, modal politik yang lama sudah basi dan tidak diperlukan lagi.
Kita, yang tahu perjuangan buat Adib ialah demi keadilan dan bukan demi bangsa, agama atau politik; tahu ia masih belum sudah.
Semoga ada sinar keadilan buat arwah di hari muka.
Tenanglah dikau di sana, perwira negara.
Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.