PADA tanggal 23 Jun 2022, rakyat Malaysia sekali lagi menyaksikan pelancaran satelit oleh MEASAT Satellite Systems Sdn. Bhd. (MEASAT). Satelit yang diberi nama Measat-3d ini dilancarkan antaranya bagi menyokong keperluan liputan Internet yang dijalankan di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh kerajaan serta meningkatkan aliran Internet jalur lebar di seluruh negara menjelang 2025. Satelit yang dianggarkan akan bertahan selama 18 tahun tersebut telah selamat ‘diroketkan’ oleh Ariane-5 di Guiana Perancis.
Malaysia bagaimanapun bukanlah suatu nama yang agak asing dalam gelanggang pembangunan angkasa lepas. Walaupun merupakan negara yang masih membangun dan secara fizikal geografinya adalah kecil, Malaysia dilihat aktif dalam aktiviti-aktiviti angkasa lepas sekitar tahun 1990-an sehingga tahun 2010, sehingga digelarkan sebagai “the mouse that roared”. Petrjalanan program-program angkasa lepas di Malaysia boleh dikatakan berada di kemuncaknya apabila Dr Mazlan Othman, ahli astrofizik Malaysia dilantik sebagai Pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hal Ehwal Angkasa Lepas (UNOOSA) di Vienna serta apabila Malaysia berjaya melahirkan angkasawan pertamanya, Dr. Sheikh Muszaphar pada tahun 2007.
Bagaimanapun menurut penulis, pembangunan satelit angkasa lepas yang dilaksanakan di Malaysia adalah lebih mengujakan untuk dikaji dan diteliti. Secara dasarnya Malaysia, sama ada melalui inisiatif kerajaan atau pihak persendirian telahpun berjaya melancarkan sebanyak 8 buah satelit ke angkasa lepas, dan ini termasuk Measat-3d.
TiungSAT-1 merupakan satelit mikro pertama dibina oleh Malaysia dan dilancarkan pada tahun 2000 dari Kosmodrom Baikonur, Kazakhstan. Satelit mikro yang digunakan untuk pengumpulan imej-imej untuk kegunaan alam sekitar dan kaji cuaca ini dihasilkan melalui usahasama diantara syarikat Surrey Technology Ltd. (SSTL) dari United Kingdom dan Astronautics Technology Sdn. Bhd. (ATSB) di bawah program latihan dan pemindahan teknologi yang dikepalai kerajaan.
Sebelumnya, pada tahun 1994, syarikat persendirian MEASAT (sebelumnya dikenali sebagai Binariang) telah menandatangani kontrak dengan syarikat Boeing untuk penghasilan satelit MEASAT-1 (selepasnya dikenali sebagai AFRICASAT-1), MEASAT-2, MEASAT-3 dan MEASAT-3a, dengan tiga daripadanya dibina oleh Hughes Space and Communications Company (HSBC). Pada tahun-tahun berikutnya, MEASAT masih aktif dalam melancarkan satelit-satelit ke angkasa lepas, termasuk MEASAT-3 (2006), MEASAT-3a (2009), MEASAT-3b (2014) dan MEASAT-3d (2022), dengan kesemua satelit-satelit ini berfungsi sebagai satelit komunikasi dan bertanggungjawab dalam menjaga kelancaran penyiaran secara langsung dan juga telekomunikasi.
Sepertimana yang tertera pada tajuk penulisan, penulis bagaimanapun akan memberikan fokus khas kepada pembangunan satelit RazakSAT-1. RazakSAT-1 merupakan satelit mikro dan penderiaan jauh (remote sensing) kedua setelah TiungSAT-1 dan ianya berjaya dilancarkan pada 2009 oleh syarikat Space-X dengan anggaran operasi dan misi selama 3 tahun. Satelit yang mengambil nama sempena Perdana Menteri ke-2 Malaysia ini difungsikan untuk melakukan kerja-kerja menangkap imej beresolusi tinggi dan pemprosean di sekitar kawasan orbit Bumi rendah (LEO) berhampiran Khatulistiwa (NEqO). Dibina dengan kerjasama di antara ATSB dan Satrec Intiative Co. Ltd. (SI) dari Korea, satelit ini bagaimanapun diisytiharkan hilang isyarat komunikasi, hanya selepas setahun dari tarikh pelancarannya.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang diterbitkan oleh Jabatan Audit Negara Malaysia, RazakSAT-1 bukan sahaja telah gagal berfungsi setelah 1 tahun 16 hari dilancarkan, bahkan ianya juga tidak dapat menjalankan cerapan imej yang menurut spesifikasi, serta tersasar dari lokasi yang dikehendaki. Sebagai sebuah projek yang menerima geran penyelidikan daripada kerajaan sebanyak RM141.78 juta, ianya sudah tentu menimbulkan tanda tanya dari pelbagai pihak. Ketidakmampuan untuk mencerap imej dengan baik adalah apabila kadar penggunaan kuasa elektrik di kedua-dua sistem On-Board Computer (OBC) melebihi tahap kemampuan yang dibina. ATSB bersama beberapa pakar antarabangsa telah menjalankan siasatan lanjutan bersama terhadap masalah yang dihadapi, dan berdasarkan daripada RazakSAT Onboard Computer Anomaly Report, kegagalan RazakSAT-1 untuk menjalankan fungsinya adalah apabila ianya telah dihentam partikel radiasi bertenaga tinggi luar biasa. Akhirnya pada Disember 2010, ATSB dan Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI) telah mencapai kesepakatan untuk menamatkan projek satelit ini, setelah penambahbaikan imej cerapan tidak dapat dilakukan.
Pembangunan satelit atau angkasa lepas secara amnya adalah amat penting untuk negara. Tidak hanya ianya menawarkan perolehan ekonomikal yang lumayan, ianya juga telahpun menjadi suatu kewajipan bagi sesebuah negara untuk menerokainya, seiring dengan perkembangan dan keperluan teknologi yang semakin melangit. Sudah tentu kadangkala, beberapa misi atau kajian akan menghasilkan dapatan yang gagal dan kurang menyenangkan ramai pihak, tetapi jika tidak dipecahkan ruyung, tiadalah sagunya.
(Artikel tulisan saudara Luqman Rosli ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.