Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu, banyak yang sudah kita terlihat di media sosial tentang mereka yang hilang pekerjaan.
Ada kisah satu keluarga terpaksa bermotorsikal dari Lembah Klang untuk pulang ke kampung di Langkawi. Sebabnya kerana si ketua keluarga sudah hilang pekerjaan, tiada apa lagi yang boleh dimakan di rumah yang sewanya juga sudah tidak mampu dibayar. Lantaran jalan penyelesaian untuk keluarga ini ialah pulang ke kampung.
Ada juga kisah seorang individu yang berjalan kaki dari Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung di Kelantan. Juga kisah seorang pekerja asing mengutip beras yang berterabur di atas jalan untuk dijadikan stok makanan. Di media sosial, pelbagai kisah tentang rakyat dan warga asing yang sama ada hilang kerja atau tidak dibayar gaji mengingatkan kita bahawa selain COVID-19, ada ancaman lain yang tidak kurang hebatnya melanda kita semua. Tidak cukup dengan itu, muncul pula kisah peniaga kecil yang ditindas dan dinafikan peluang mencari rezeki. Peniaga tembikai yang dihalang berniaga di tanah sendiri atau penjual murtabak yang disekat berniaga di laman rumahnya.
Rata-rata, ramai yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dan PKP yang menghadkan segala bentuk pekerjaan atau perniagaan. Kehilangan pendapatan bermakna tiada duit untuk makan dan minum atau membayar sewa tempat berteduh dan tidur. Dan impak ini lebih jelas terasa di kalangan mereka yang datang dari kelompok B40 atau pekerja asing, kumpulan yang sebelum PKP memang sudah bergaji rendah dan dibayar upah harian, atau pun berniaga kecil-kecilan dengan bergantung pada jualan harian. Dengan tiadanya kerja yang boleh dibuat atau peluang berniaga, pendapatan harian pun terhenti lantas dapur juga tidak lagi berasap.
Tetapi bukankah kerajaan telah menyediakan pakej yang sepatutnya bagi mengelakkan berlakunya kehilangan pekerjaan berskala besar?
Pada masa ini, bantuan pihak kerajaan untuk majikan mengekalkan pekerja mereka adalah terhad kepada subsidi upah selama 3 bulan kepada pekerja tempatan bergaji sehingga RM4,000 sebulan dengan ketentuan berikut:
- RM1,200 subsidi upah sebulan bagi perusahaan mikro dan kecil (kurang dari 75 pekerja)
- RM800 subsidi upah sebulan bagi syarikat sederhana (75 hingga 200 pekerja)
- RM600 subsidi upah sebulan bagi syarikat besar (lebih dari 200 pekerja)
Manakala bantuan untuk peniaga kecil seperti di pasar malam atau penjaja pula datang dalam bentuk geran khas bernilai RM3,000.
Adakah subsidi upah dan geran khas ini mencukupi demi memastikan rakyat tidak kehilangan pekerjaan?
Nilai keseluruhan subsidi upah yang ditawarkan kerajaan adalah berjumlah RM13.8 bilion manakala geran khas pula berjumlah RM2.1 bilion. Ditambah keduanya, maka nilai keseluruhan berjumlah RM15.9 bilion.
RM15.9 bilion adalah satu nilai yang besar, tetapi tidak jika kita memilih untuk bandingkan ia dengan nilai keseluruhan RM250 bilion yang pernah digebangkan ketika ucapan Mak Cik Kiah sebelum ini (dan sebenarnya tidaklah benar-benar berjumlah RM250 bilion pun). Malahan, jumlah tersebut tidak lari jauh dari nilai RM10 bilion yang merupakan jumlah keseluruhan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) atau bantuan tunai yang diumumkan oleh kerajaan.
Salahkah memberikan bantuan tunai kepada rakyat tetapi pada masa yang sama memberikan subsidi upah kepeada pekerja?
Tidak ada salahnya. Malahan kedua langkah tersebut perlu dilihat sebagai melengkapkan satu sama lain. Namun, adalah penting untuk kita ingat bahawa ketika bantuan tunai dilihat sebagai jaring keselamatan, subsidi upah pula merupakan “barisan pertahanan pertama” melindungi rakyat. Dengan subsidi upah, golongan pekerja atau rakyat akan terjamin pekerjaan mereka sekaligus mengelakkan pengangguran. Kerana pengangguran akan mencetuskan keperluan untuk kerajaan memberikan bantuan tunai pula kepada rakyat yang hilang pekerjaan.
Kepincangan dalam Pakej Prihatin terlihat pada pemberian tunai berjumlah RM1.2 bilion kepada penjawat awam, yang sebenarnya tidaklah perlu mengambil kira bahawa penjawat awam adalah kelompok yang paling terjamin status pekerjaan mereka tanpa risiko dibuang kerja atau dipotong gaji. Nilai RM1.2 bilion itu mungkin lebih baik disalurkan dalam program subsidi upah bagi memenuhi keperluan ia sebagai “barisan pertahanan pertama”.
Pun begitu, sekiranya subsidi upah yang diharapkan dapat memastikan kita semua masih mempunyai pekerjaan berjumlah RM20 bilion sekali pun, masih ada isu lain yang memungkin ianya gagal mencapai matlamat yang diidamkan. Subsidi upah yang ditawarkan adalah untuk 3 bulan, dengan syarat majikan mengekalkan pekerja selama 6 bulan (3 bulan ketika tempoh subsidi dan 3 bulan lagi selepas itu). Apa yang menggusarkan, ada kemungkinan majikan memilih untuk melupakan sahaja subsidi upah kerana tempoh subsidi yang terlalu pendek dan tempoh komitmen yang dua kali ganda lebih lama.
Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian, adalah senario pekerja asing di Malaysia. Yang rata-ratanya bekerja dengan upah harian dan tanpa dokumentasi. Program subsidi upah adalah terhad kepada rakyat Malaysia dengan syarikat majikan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mencarum pada Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso). Syarat yang demikian bermakna pekerja asing tidak menerim faedah subsidi upah, dan dengan jumlah pekerja asing yang mencapai angka jutaan di Malaysia, bakal tercetus situasi lambakan pengangguran pekerja asing di Malaysia yang boleh menjerumus kepada perlakuan jenayah dan sebagainya.
Jadi apakah langkah ke hadapan yang perlu demi memastikan tiada rakyat (dan mungkin juga, pekerja asing) yang kehilangan pekerjaan?
Yang utama, memanjangkan tempoh subsidi upah dari 3 bulan kepada 6 bulan. Harus diingat pasaran buruh mudah terkesan dari sebarang impak ekonomi tetapi mengambil masa yang lama untuk kembali pulih. Ribuan boleh hilang pekerjaan dalam sekelip mata, tetapi untuk ribuan yang hilang pekerjaan ini dapat kembali ke dalam sektor pekerjaan ianya mungkin mengambil masa berbulan lamanya. Maka untuk mengelakkan berlakunya kehilangan pekerjaan pada skala besar, adalah penting untuk kerajaan mewujudkan satu kusyen yang tebal untuk menyerap hentakan pandemik COVID-19. Enam bulan adalah tempoh yang munsabah demi memberi ruang pasaran buruh kembali pulih dari kesan ekonomi yang berlaku. Kerajaan juga perlu membuka peluang kepada lebih ramai pekerja untuk layak menerima subsidi upah tersebut. Ini boleh dilakukan dengan meningkatkan had gaji dari RM4,000 kepada RM5,000. Pada masa yang sama, adalah penting juga memastikan subsidi upah yang diberikan adalah bersasar, dengan keutamaan diletakkan pada syarikat yang mencatatkan penurunan pendapatan antara 30% hingga 50% akibat COVID-19 dan PKP.
Berapakah nilai subsidi upah secara keseluruhan yang perlu disediakan?
Tanpa mengambil kira perubahan pada kadar subsidi untuk setiap pekerja, kita mungkin melihat pada nilai subsidi upah secara keseluruhan antara RM35 hingga RM40 bilion. Ia nilai yang besar pastinya, tetapi kita perlu ingat kembali bahawa menjamin pekerjaan melalui subsidi upah (selaku “barisan pertahanan pertama”) adalah jauh lebih penting dari menghulur bantuan tunai kepada mereka yang sudah pun hilang pekerjaan. Rakyat yang mempunyai pendapatan secara langsung akan menyumbang kembali kepada ekonomi yang perlukan banyak suntikan tunai untuk kembali “panas” selepas berakhirnya PKP dan COVID-19.
Ya, banyak yang perlu dikorbankan oleh kerajaan tetapi ia perlu demi menjamin pekerjaan untuk rakyat. Kerana apa yang lebih penting untuk Mak Cik Kiah yang berniaga pisang goreng atau Pak Salleh yang membuka kedai makan ialah pelanggan (para pekerja bergaji) yang punyai duit untuk membeli jualan mereka.
Selamat Hari Pekerja, semoga masih ada kerja buat anda.

Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.