Segitiga Idealisme: Aktivis, Filantropis Dan Populis

Dari satu sisi, ada juga bagusnya perbalahan personaliti yang hangat berlaku sekarang; di antara Ebit Lew vs Nadir Al-Nuri featuring Caprice.

Sekurang-kurangnya lenyap seketika cerita pergeseran singa-singa politik di gunung kuasa. Yang ghairah tiada rasa malu bercakar sesama sendiri.

Sedangkan para marhaen kerdil nun jauh di lembah semakin lemas dilambung pandemik. Drama politik purba seribu babak ini kian klise, dengan plot-plot mual yang bikin sakit perasaan.

Dramanet terbaru yang sedang hip, Ebit vs Nadir, sebenarnya satu contoh klasik pertembungan nilai di antara filantropis dan aktivis. Ebit seorang jutawan lagi dermawan — bertembung idealisme dengan Nadir, NGO pinggiran dan sukarelawan.

Kedua-duanya berpegang teguh pada falsafah kebajikan insan sejagat. Cuma mereka menggerakkan misi masing-masing dengan sarana dan cara berbeza.

Yang paling ironik, sengketa dua pejuang kemanusiaan ini berlaku di tanah perang paling berdarah — iaitu Gaza.

Astaga, bikin geram pun ada.

Solidariti Palestin yang selama ini didendang satu Malaysia, sudah bertukar jadi macam sebuku roti dan jem. Begitu senang dibikin sarapan oleh mereka berdua, dicicip dan dikunyah sesedap rasa.

Saya mengerti argumen Nuri. Dia pejuang kekal di Gaza, bukan sekadar datang dan pergi. Memanglah logik jika dia merasa dirinya lebih arif tentang situasi di sana. Apa yang perlu dan tidak, dalam konteks kebajikan dan kemanusiaan.

Tapi saya juga faham penjelasan Ebit. Dia bergerak dengan duit sendiri. Tentu dia mahu bantuan itu sampai kepada sasaran yang dia inginkan, mengikut kaedah yang dia puas hati. Tidak perlu ada pihak ketiga dan birokasi yang merumitkan. Dia bukan mengemis dana dari sesiapa.

Nuri kata, dia cuma menegur Ebit secara kasih-sayang. Tapi bila dibuat secara terbuka, tentu itu boleh disalah erti sebagai menagih p̷e̷r̷h̷a̷t̷i̷a̷n̷ kasih-sayang. Teguran kasih-sayang sifatnya personal, bukan publik. Kan?

Namun begitu, asas fundamental kepada seluruh salah faham ini, saya fikir ditunjangi oleh perbezaan falsafah kebajikan mereka. Ebit seorang filantropis, dan Nuri seorang aktivis. Apa nilai-nilai dalaman yang memisahkan mereka? Okey, biar saya rawi satu persatu.

Seorang filantropis: secara fitrah sudah mencapai kepuasan materi markat tertinggi. Membuat kebajikan hanya cara mereka untuk menikmati katarsis jiwa, iaitu satu bentuk gratifikasi nurani yang paling spiritual.

Mereka sudah lama anggap kehidupan sebagai kelana rohani, bukan lagi medan perlumbaan duniawi. Nothing more to prove. Selain Ebit, filantropis tersohor Malaysia yang lain ialah Tan Sri Azman Hashim.

Seorang aktivis pula: lazim menjadikan kebajikan sebagai satu validasi penting terhadap kewujudan dirinya secara bermakna. Maksudnya, mereka belum lagi mencapai kepuasan materi dan jiwa secara tuntas. The urge and pressure to prove themselves — is still there.

Sebab itu mereka kadang-kadang mudah sentap, dan masih digiling perasaan ingin bertanding-tanding siapa lebih hebat. Selain Nuri, contoh misali lain bagi kategori aktivis, ialah Syed Azmi dan Siti Kasim.

Siapa pula Caprice dalam segitiga pertembungan idealisme ini? Dia cuma selebriti populis. Yang mungkin mendambakan populariti dengan menunggang secara berganti-ganti — aktivis seperti Nadir dan filantropis seperti Ebit.

Bagi seorang populis, konsep gratifikasi jiwa dan katarsis spiritual bukanlah suatu yang relevan pun. Yang wajib dikejar dan jangan terlepas, hanya kemahsyuran diri demi survival “branding” peribadi.

Neelofa, seorang lagi calon unggul selebriti populis. Yang begitu pintar memperdagangkan kontroversi berselang seli kebajikan sebagai komoditi komersial.

Tapi dalam text-book industri pop, ini memang sejenis modus operandi yang tipikal untuk mencipta keuntungan materi. Iaitu berani menjana populariti dengan apa jua cara. Sekadar contoh ya, bukan mengata.

Harus diingat juga. Dalam konteks entri ini, label filantropis, aktivis dan populis sebenarnya diguna secara neutral. Bukan semestinya membawa konotasi positif atau negatif.

Kepada semua pemuja tegar tokoh dan personaliti yang namanya saya petik di sini, jangan ada yang panas hati. Setiap mereka menawarkan inspirasi tersendiri, bergantung pada sudut mana kita mahu mencerap.

Apa yang saya tulis, sekadar menilik realiti yang rutin dalam arena media-sosial kontemporari. Ada sisi yang cerah, kelabu dan kekadang berwarna-warni. Jangan pening kepala, raikan saja kepelbagaian itu.

Kita sebagai audien kepada segala dramanet ini, mohon tonton dengan tenang dan harmoni. Jangan kemaruk jadi pelakon tambahan yang tidak diundang.

Tiada insan yang sempurna di bumi Tuhan. Yang baik, kita bikin teladan. Yang buruk, kita buat sempadan. Kita jadilah netizen yang hatinya sedamai zen. Bukan jadi netizing yang kuat menganjing.

Komen