Rosmah Dan Rasuah

Sejumlah 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak hari ini mungkin telah mempunyai sistem solar photovoltaic yang mampu menjana tenaga elektrik untuk kegunaan sekolah-sekolah tersebut. Kesediaan tenaga elektrik ini bukan sahaja dapat membantu menyediakan kemudahan lampu dan kipas, tetapi juga mungkin dapat membantu dalam proses pembelajaran di sekolah tersebut melalui penggunaan komputer, projektor, peti televisyen, sistem audio dan sebagainya.

Setidaknya itulah harapan asal apabila kerajaan bersedia untuk melaburkan sejumlah RM1.25 bilion bagi menjayakan projek tersebut. Faedah dari projek ini tentu sekali memberi manfaat kepada ribuan pelajar dan tenaga pengajar, yang akhirnya merupakan satu bentuk pelaburan buat masa depan negara kita dalam melahirkan generasi bijak pandai.

Namun hasrat menyediakan bekalan elektrik kepada 369 buah sekolah ini tidak kesampaian. Pada Jun 2018, dalam tempoh sebulan sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) ditumbangkan dan diganti oleh kerajaan Pakatan Harapan(PH), mantan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik telah mendedahkan kepincangan dalam projek tenaga solar ini. Selain ianya gagal disiapkan mengikut jadual, wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam projek tersebut.

Rosmah

Siasatan yang dimulakan oleh kerajaan PH akhirnya menjerumus kepada satu pendedahan yang mengejutkan. Dalang rasuah dan salah guna kuasa dalam projek solar photovoltaic untuk sekolah luar bandar di Sarawak adalah isteri kepada mantan Perdana Menteri ke-4, iaitu Rosmah Mansor. Rosmah dikatakan meminta 15% suapan dari nilai projek RM1.25 bilion iaitu RM187,500,000.

Belum pernah dalam sejarah negara, seorang isteri Perdana Menteri terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa sebegini. Dari Tunku Abdul Rahman hinggalah ke Tun Abdullah Ahmad Badawi, kita semua mengenali isteri Perdana Menteri sebagai wanita yang tidak mencampuri urusan pentadbiran negara tetapi sebaliknya lebih banyak meluangkan masa dalam hal kebajikan dan kemasyarakatan.

Tetapi tidak buat Rosmah. Penghakiman 116 muka surat mendedahkan bagaimana wanita yang pernah mahu digelar sebagai First Lady of Malaysia (FLOM) ini memainkan peranan besar dalam memastikan syarikat proksi (Jepak Holdings) diberikan tender projek solar sekolah luar bandar Sarawak. Rosmah dikatakan telah mempengaruhi suaminya, Najib Razak bagi mendapatkan kelulusan kerajaan untuk projek tersebut. Sebagai timbal balik, 15% dari nilai projek hendaklah diberikan kepada Rosmah kononnya sebagai sumbangan politik.

Dalam hal ini, duit rakyat telah disalah guna untuk kepentingan peribadi dan parti politik. Walaupun peratusannya hanyalah 15, ia masih satu nilai yang besar yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan, lebih-lebih lagi melibatkan pelajar sekolah luar bandar.

Apa yang dilakukan oleh Rosmah bukanlah tidak berdepan sebarang tentangan. Penghakiman 116 muka surat menceritakan bagaimana penjawat awam yang memegang amanah rakyat berusaha sebanyak beberapa kali bagi menghalang pemberian projek kepada Jepak Holdings atas sebab-sebab yang meragukan. Tetapi semua usaha ini gagal apabila Rosmah campur tangan, dan dalam beberapa insiden turut melibatkan suaminya Najib bagi melanggar prosedur dan tatacara kerajaan dalam pemberian kontrak.

Rasuah

Kes projek solar sekolah luar bandar Sarawak adalah satu dari pelbagai kisah rasuah yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan era BN. Yang membezakan kes rasuah ini dengan kes rasuah lain adalah skalanya yang jauh lebih besar dan penglibatan seorang isteri Perdana Menteri yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan sama ada melalui lantikan atau undian.

Suka atau tidak, kita perlu mengakui bahawa rasuah kini semakin membarah dalam negara kita. Hakim Mohamed Zaini Mazlan dalam penghakimannya dengan jelas menulis:

“Corruption has reached almost every level of society. It must be curtailed before it becomes pandemic. If corruption is left unbridled, our society will come to accept is as a way of life or business.”

Terlibatnya isteri seorang Perdana Menteri dalam jenayah rasuah sepatutnya memberikan kita peringatan betapa rasuah kini semakin berleluasa.  Jika selama ini kita kerap disajikan berita ahli politik menjamah rasuah, tetapi belum pernah terjumpa isteri kepada pemimpin politik yang terlibat rasuah. Apatah lagi dengan nilai hingga ratusan juta ringgit dalam projek melibatkan kebajikan pelajar sekolah luar bandar.

Semoga apa yang berlaku ini mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat terbanyak bahawa masanya sudah tiba untuk kita menolak perasuah dari terus diberikan kuasa memimpin negara ini.

 

Komen