SPEKULASI sedang bertiup kencang tentang kemungkinan kerajaan bakal mengisytiharkan darurat. Istana Negara pula telah mengeluarkan kenyataan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan berbincang dengan Raja-raja Melayu berhubung cadangan yang disampaikan Perdana Menteri. Situasi ini mungkin mencetuskan panik dan persoalan dalam kalangan segelintir anggota masyarakat yang agak fobia dengan ungkapan “darurat” kerana sering menggambarkan keadaan darurat seperti ketika peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 di mana darurat diisytiharkan pada 15 Mei 1969.
Ironinya, sejak tercetus isu pengisytiharan darurat, sudah ramai pakar Perlembagaan telah memberikan tafsiran, pandangan dan ulasan tentang isu darurat termasuk kelebihan, kelemahan serta apa akan berlaku jika ianya diumumkan. Rakyat boleh membaca dan memahaminya secara teori dan ilmiah bagi memudahkan pemahaman sekaligus boleh mengurangkan kebimbangan dan keresahan. Namun percayalah andai diisytihar darurat sekalipun ianya kemungkinan besar tidak akan mengejutkan rakyat kecuali ahli politik yang melihat darurat sebagai senjata politik. Hal ini kerana, mengikut tafsiran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), darurat bermaksud keadaan susah yang datang dengan tidak disangka-sangka atau keadaan yangg mencemaskan atau menyusahkan. Apakah kita lupa kecemasan yang telah dan sedang kita lalui sejak awal tahun ini?
Secara umumnya sejak awal tahun ini rakyat sudah terbiasa dengan situasi cemas berhadapan dengan tiga jenis “darurat” iaitu, cemas dari segi kesihatan dan keselamatan, cemas dari segi ekonomi dan sara hidup serta cemas dari segi ketidaktentuan lanskap politik negara. Jadi kita sudahpun berada dalam kedaaan cemas ataupun “darurat” sejak awal tahun lagi, justeru tiada apa lagi yang mahu dirisaukan andai kerajaan mahu isytihar darurat sekarang.
Sejak awal tahun kita hidup dalam ketakutan apabila wabak Covid-19 mula menyerang negara kita secara agresif. Akibatnya mulai 18 Mac 2020 kerajaan terpaksa mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut digambarkan sebagai satu lagi kedaaan cemas atau darurat kerana hampir semua aktiviti dihentikan dan pergerakan rakyat dikawal sepenuhnya bagi memutuskan rantaian penularan wabak. Sehingga ke hari ini virus terus menyerang kita di mana kes semakin meningkat, kadar kematian juga mula membimbangkan dan sesungguhnya pada hari ini rakyat sedang berada dalam kecemasan kesihatan dan keselamatan.
Ancaman wabak Covid-19 juga memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara dan juga dunia. Bilangan rakyat kita yang hilang pekerjaan serta kesukaran graduan baru menembusi pasaran kerja terus membimbangkan dan mencetuskan situasi yang mencemaskan. Hal ini kerana ianya memberi kesan langsung kepada kelangsungan hidup semua lapisan anggota masyarkat kita. Jujurnya, rakyat kelihatan cukup bergelut untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan ekonomi yang sangat tidak menentu seperti ini. Kadar pengangguran negara juga turut meningkat dan meresahkan. Situasi dilihat semakin tidak terkawal apabila ancaman gelombang ketiga wabak mula menyerang negara kita. Jadi secara umumnya, situasi ekonomi ini sudah lama meletakkan kita dalam keadaan yang cukup mencemaskan.
Pada masa yang sama, peralihan kerajaan dan kepimpinan negara pada Mac lepas pula mula mencetuskan kecemasan politik yang amat daHsyat sehingga ke hari ini. Situasi yang mencetuskan polemik seperti kedudukan kerajaan yang tidak begitu stabil, usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, kemungkinan berlaku lagi peralihan kerajaan, aktiviti lompat parti serta kemungkinan pembubaran Parlimen menyebabkan berlaku ketidakstabilan dalam politik dan pentadbiran negara. Tingkah laku ahli politik yang terlalu berpolitik dan mementingkan kedudukan serta kuasa mula membimbangkan rakyat. Jujurnya rakyat sedih dan marah dengan apa yang sedang berlaku dalam politik tanah air. Ini sekaligus sudahpun mencetuskan situasi cemas dalam kancah politik negara sejak dari awal tahun lagi.
Oleh itu, sebagai rakyat penulis cukup yakin majoriti tidak begitu takut mahupun mempedulikan sangat kemungkinan pengisytiharan darurat ini kerana kita sudah berada dan telah berhadapan dengan situasi yang cemas dari awal tahun ini. Malah kita berjaya mengharunginya dengan semaNgat juang yang kental. Justeru apa yang penting sekarang ialah, kita perlu kekal tenang dan bersatu dalam mengharungi “darurat” kesihatan, ekonomi dan politik secara bersama kerana hanya kita yang boleh jaga kita.
Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam makalah berkala seperti Dewan Masyarakat. Beliau juga merupakan ahli pemikir Malaysia Corruption Watch (MCW).