Pulau Dan Mentega Terbang: Seni Dalam Bahaya

SATU perkara yang tidak boleh dinafikan ialah, Kerajaan Perpaduan yang ada hari ini berdepan dengan pihak pembangkang yang konservatif, fundamentalis dan terlalu sayap kanan. Ini adalah realitinya maka tidak menghairankan serangan-serangan ke atas kerajaan dibuat menggunakan isu-isu remeh.

Pulau dan Mentega Terbang  adalah antara peluru yang digunakan puak konservatif dan fundamentalis ini untuk menghentam kerajaan yang ada. Dua filem ini dituduh mencemarkan imej negara, melanggar adab tata susila ketimuran dan keagamaan serta dijadikan bukti kononnya elemen liberalisme, sekularisme dan entah apa -isme lagi sudah meresap ke dalam negara sejak terlantiknya Perdana Menteri dari Pakatan Harapan.

Pulau

Dalam Pulau, isu yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang adalah trailer filem tersebut yang dikatakan menampilkan wanita berpakaian seksi serta adegan keterlaluan seperti berpelukan antara pelakon lelaki dan wanita.

Seperti mana tajuknya, filem Pulau adalah berlatar belakangkan kisah di sebuah pulau. Antara barisan pelakonnya ialah Amelia Henderson, Aliff Satar, Ikmal Amry, Joey Leon, Siew Pui Yi, Sanjna Suri, Evie Feroza, Jazmy Juma, Sabronzo, Namron, Wan Hanafi Su dan ramai lagi.

Dari nama-nama pelakon filem ini adalah jelas ia sebuah filem yang menampilkan pelakon dari pelbagai etnik. Mungkin itu kehendak penerbitnya Fred Chong yang mahu menonjolkan sebuah filem yang majmuk mewakili masyarakat Malaysia.

Kontroversi Pulau ialah pada pakaian pelakon wanitanya yang seksi dan beberapa aksi yang dikatakan keterlaluan. Lalu filem ini dituduh mencemar imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam kerana memperlihatkan negara ini didiami oleh perempuan seksi.

Tetapi kita semua tahu, sesuai dengan latar belakang lokasi filem sememangnya begitulah cara pemakaian di pulau atau tepi pantai. Lebih-lebih lagi oleh pemakai yang bukan Melayu dan Muslim. Takkan tak pernah terlihat wanita Malaysia mengenakan bikini, seluar pendek atau tank top bertali ketika bermain air di tepi pantai?

Ironinya, filem Pulau dikatakan akan diharamkan di Terengganu. Ya, negeri Terengganu yang ada pulau percutian seperti Redang, Perhentian atau Kapas yang kerap dikunjungi rakyat Malaysia untuk beriadah dan mengenakan pakaian mandi mengikut selera masing-masing.

Mentega Terbang

Berbeza dengan Pulau yang akan ditayangkan di pawagam, Mentega Terbang pula sebuah filem indie yang ditayangkan di platform penstriman Viu. Juga berbeza dengan Pulau, tema yang dibawa oleh Mentega Terbang adalah jauh lebih berat.

Ia mengisahkan Aisyah, seorang remaja beragama Islam, ibunya yang menghidap kanser dan bapanya yang agak liberal dari segi agama. Aisyah cuba menghurai persoalan kepada kehidupan selepas kematian, sebagai jawapan apabila ibunya pergi satu hari nanti.

Untuk itu, Aisyah menelaah dan membuat perbandingan antara agama yang ada di sekitarnya. Islam, Kristian, Hindu dan Buddha menjadi rujukan Aisyah dalam menjawab persoalan kehidupan selepas mati.

Di Malaysia, kita boleh menukilkan filem-filem keagamaan selagi ia tidak bertentangan dengan agama Islam. Seorang penerbit boleh membikin sebuah filem tentang seorang remaja India atau Cina yang mencari erti beragama lalu akhirnya memeluk Islam dan ia akan diangkat sebagai sebuah filem yang baik.

Tetapi jika sebaliknya, maka filem tersebut berdepan nasib yang sama seperti Mentega Terbang. Walaupun Aisyah di penghujung filem tidak secara jelas mengatakan dirinya sudah bertukar ke agama lain, tetapi filem ini tetap dikecam kerana menonjolkan seorang remaja Islam yang mendalami agama lain hanya kerana mahu merungkai persoalan spiritual.

Inilah yang berlaku kepada Mentega Terbang. Dengan satu aduan oleh sebuah parti bersayap kanan, filem ini telah diharamkan tayangannya.

Reaksi Kerajaan Perpaduan

Reaksi Kerajaan Perpaduan terhadap serangan pihak konservatif dan fundamentalis terhadap dua filem ini adalah mirip ibarat knee jerk reaaction.

Dalam filem Pulau, Menteri Komunikasi dan Digital dengan cara melatah memberi ulasan babak tariler filem tersebut tidak sesuai ditayangkan. Untuk Mentega Terbang pula ianya terus ditarik keluar dari platform penstriman agar tidak boleh ditonton lagi.

Ia mengecewakan kerana reaksi sebegini adalah sesuatu yang tidak dijangka dari sebuah blok politik yang mendakwa mewakili masyarakat pelbagai bangsa di Malaysia dan membawa idea-idea progresif.

Bahkan, respon pihak kerajaan yang cuba mengalihkan isu kelulusan kedua filem tersebut yang berlaku di zaman Perikatan Nasional (PN) adalah lebih kepada menyelamatkan tengkuk sendiri. Penggiat seni, penerbit filem dan sebagainya ditinggalkan terkapai-kapai melihat hasil seni mereka ditong sampahkan atas pertimbangan politik.

Adakah Kerajaan Perpaduan hari ini cuba mengatakan, jika proses tapisan dan kelulusan untuk filem Pulau dan Mentega Terbang dibuat di zaman Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, maka ia pastinya tidak lepas dan diharamkan serta merta?

Dan adakah Kerajaan Perpaduan hari ini yang ditunjangi PH cuba mengatakan, bahawa kebebasan berkarya bukanlah sesuatu yang mereka raikan sebaliknya semua hasil seni akan dinilai mengikut selera puak konservatif dan fundamentalis yang mahu semua orang mengikut acuan mereka semata?

Jujur, saya mengharapkan reaksi yang lebih matang dan masuk akal. Tetapi dalam keadaan politik yang rapuh ini, kita melihat PH menjadi lebih jumud dari PN.

Komen