PRESTASI KERAJAAN PERPADUAN MENJENGAH USIA HAMPIR SETAHUN

Dalam ucapan Belanjawan 2024 yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat 13 Oktober lalu, beliau telah mengucapkan syukur atas keberhasilan Kerajaan Perpaduan menjelmakan semula kekuatan watan.

Dalam mukadimah ucapannya, PMX telah menyebut empat indikator yang membuktikan ekonomi domestik Malaysia terus kukuh.

Indikator pertama adalah kadar pengangguran setakat Ogos 2023 telah berjaya turun ke 3.4% yang merupakan kadar terendah dan hampir menyamai kadar pengangguran sebelum COVID-19 iaitu 3.3%.

Indikator kedua adalah kadar inflasi mereda kepada 2% yang merupakan antara kadar terendah di rantau ini kendatipun kebergantungan makanan import masih tinggi.

Indikator ketiga pula adalah keupayaan Malaysia yang kekal sebagai destinasi pelaburan asing dengan mencatatkan pelaburan berjumlah RM132.6 bilion setakat separuh pertama 2023 dan jumlah ini sudah pun melebihi 60% dari sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini.

Indikator keempat dan terakhir adalah kedudukan Malaysia yang masih menjadi destinasi tumpuan pelancong dengan mencatatkan kedatangan hampir 13 juta pelancong setakat Ogos 2023, iaitu lebih tiga kali ganda ketimbang tahun lalu.

PMX menegaskan bahawa indikator-indikator ini merupakan kekuatan hakiki negara yang akan memastikan prestasi ekonomi akan terus pulih.

Ini semua di sebalik tantangan ringgit yang kita hadapi susulan situasi ekonomi global yang mencengkam dan menempiasi prestasi ekonomi negara.

Cabaran kita kini adalah untuk melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap struktur ekonomi bagi mengembali tahap negara sebagai jaguh Asia.

Justeru Belanjawan 2024 dengan tema Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat perlu diberikan sokongan oleh segenap lapisan masyarakat demi menjayakan matlamat yang dicitakan.

Komen