Peranan Intelektual (?)

Memetik kata-kata daripada kitab Tobaqat Ash-Shafi’iyyah Al-Kubra, Al-Muzani pernah mengaku yang beliau mengkaji kitab Ar-Risalah karangan Imam Asy-Syafi’e (Usul Fiqh) selama 50 tahun. Setiap kali beliau mengulangi membaca dan mendalami kitab tersebut, beliau akan jumpa ilmu baharu yang beliau tidak ketahui sebelum-sebelum itu.

Ulang satu kitab yang sama, selama 50 tahun lamanya. Setiap kali mengulang, jumpa ilmu baharu. Itulah pentingnya kita ulang membaca kitab-kitab yang kita sudah khatam. Hal ini bersamaan dengan ungkapan Usman Awang yang mana intelektual itu seharusnya mempunyai pengetahuan lalu memperkembangkannya. Bukan yang ada ijazah. Bukan yang ada latar belakang pendidikan formal, tetapi yang ada pengetahuan. Bukan setakat itu, tetapi memperkembangkannya lagi bahkan. Ilmu itu berkembang bila baca subjek yang sama berulang-ulang kali.

Rentetan daripada pengetahuan itu, digunakannya pula untuk memudahkan kehidupan manusia dalam meraih kebebasan serta berani dalam menegakkan kebenaran. Itulah intelektual menurut Usman Awang yang dinukilkan oleh Syed Husin Ali dalam buku Peranan Intelektual.

Intelektual adalah pertama, selalu mengkaji walaupun kitab yang sama (pengetahuan itu sentiasa berjalan dan berkembang dengan ulangan pembacaan). Kedua, memperkembangkan kajian tersebut (ajarkan, sebarkan, gunakan). Ketiga, memudahkan ilmu untuk kehidupan manusia (sistematikkan ilmu). Keempat, perjuangkan akan kebenarannya, dalam erti kata berpihak kepada kebenaran semata-mata.

Jika kita lihat kembali, kitab Ar-Risalah karangan Imam Syafi’e adalah kitab sistematik ilmu Usul Fiqh yang sebelum-sebelum itu tidak ada yang terstruktur lagi. Maka, Imam Syafi’e sebagai seorang intelektual pada zaman beliau, memudahkan masyarakat tentang metodologi instinbat hukum (definisi ringkas Usul Fiqh), lalu beliau menulis kitab Ar-Risalah tersebut.

Di sini, menariknya, Imam Syafi’e memenuhi pendefinisian intelektual tadi. Itu yang kita perlu ambikl iktibar. Kerana apa? Kerana, apakah hari ini intelektual berpihak kepada kebenaran? Apakah intelektual hari ini memperkembangkan pengetahuan, atau semata-mata menulis untuk mendapatkan pangkat-pangkat tertentu sahaja? Apakah intelektual kita neutral dalam menyatakan kebenaran?

Mereka yang tidak punya ijazah, apakah mereka ini tidak layak digelar intelektual? Adakah kita mahu menafikan kemampuan intelek mereka yang tidak pernah ke universiti? Adakah intelektual kita hari ini turun padang bertemu, bergaul dan membantu masyarakat mengunakan ilmunya?

Tegas Usman Awang lagi,

“Peranan intelektual ialah mengenali masyarakat dan sistemnya dengan sedalam-dalamnya melihat dengan sikap kritis segala sebab dan akibat.”

Contohnya, untuk memahami masalah pengangguran dalam kalangan mahasiswa, maka perlunya intelektual untuk menyelami secara mendalam tentang masalah pengangguran itu. Bukan sekadar menjanjikan peluang pekerjaan semata-mata sewaktu jadi menteri. Tetapi benar-benar mengkaji dan menawarkan solusi. Akhirnya, solusi itu boleh dipakai oleh semua orang. Bukan bagi mereka-mereka yang pro-menteri sahaja.

Jadi pemimpin, mesti berintelek juga. Kalau pemimpin tidak ada kapasiti intelek yang tinggi, tidak perlulah memegang jawatan menteri. Menteri seharusnya lebih mendalam pengkajiannya. Lebih jauh pemandangannya. Lebih kritis pemikirannya. Lebih analitikal pemerhatiannya. Bukan menteri buat-buat tak reti. Bukan bila jadi kes, baru mahu bertindak. Seharusnya, pengetahuan itu sudah lama dikaji, dikembang dan terus serta-merta diselesaikan. Bukan tunggu. Tunggu punya tunggu, sampai Abang Jamil kau mampus bak kata isteri ketiga Abang Jamil dalam Madu Tiga.

Saya teringat Harry Truman, Presiden Amerika Syarikat yang ke-33 pernah berkata,

“Not all readers are leaders. But, all leaders are readers.”

Setiap pemimpin itu membaca. Pramoedya pernah menganggap bahawa intelektual itu,

“Terdapat gudang ilmu dan pengetahuan, terutama pengalaman nasionnya, juga ia dengan isi gudangnya dapat memilih yang baik dan yamg terbaik untuk dikembangkan.”

Perkara yang baik untuk manusia sejagat, harus dikembangkan. Dalam waktu ini, ilmu mesti sudah ada. Langkah seterusnya adalah perkembangan. Intelektual hari ini jarang sekali mengembangkan ilmu. Apakah tesis itu selepas ditulis berbulan-bulan, semata-mata jadi hiasan di rak-rak buku dalam perpustakaan saja? Atau bagaimana?

Apakah intelektual itu simpan ilmu semata-mata untuk dirinya sendiri dan orang-orang ‘terpilih’ sahaja? Bukankah intelektual itu patutnya lebih mesra dan terbuka? Tanya sahaja.

Pemimpin buat kelakar. Intelektual pun buat lawak. Masing-masing bersaing, siapa yang paling dapat banyak ‘ha’ di media massa.

Ahli ekonomi (ada Ph.D) kata, ekonomi tak terjejas sewaktu PKP sebab ada bisnes dron. Pemimpin pula sibuk jaga kedudukan sendiri.

Pemimpin, susah nak percaya. Intelektual, tak boleh pakai. Saya nak tanya, siapa yang boleh kita percaya dan bergantung sekarang ini? Siapa? Abang Jamil? Abang Jamil pula sibuk sedang berlaku adil terhadap ketiga-tiga isteri beliau sekarang ini saya rasa. Tak ada masa nak fikir soal rakyat marhaen yang nak kahwin pun susah macam kita ini.

Saya nak pesan. Sebagai rakyat marhaen, kita rakyat, jangan sesekali tinggalkan ilmu. Biarlah mereka mengumpul ‘ha’. Kita kumpul ilmu. Al-Mawardi dalam kitabnya Adab Ad-Dunya Wa Ad-Din,beliau nasihatkan muridnya. Saya kira kita boleh ambil iktibar sama,

“Jangan pernah merasa puas dengan ilmu yang telah engkau ketahui. Sebab, perasaan puas seperti itu menunjukkan kurangnya perhatian terhadap ilmu. Kurangnya perhatian terhadap ilmu akan mendorong seseorang meninggalkan ilmu. Apabila seseorang meninggalkan ilmu, maka dia pun menjadi bodoh.”

Janganlah jadi bodoh. Janganlah juga diperbodohkan. Marhaen, bangkit!

Komen