Pendirian ARMADA Yang Rasis Dan Berkanta Perkauman

Berkaitan kenyataan berbaur hasutan yang dikeluarkan oleh Ketua ARMADA bahawa sekolah vernakular wajar dimansuhkan secara berperingkat, saya ingin merujuk kepada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 152. Bahasa Kebangsaan.

(1) Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen: Dengan syarat bahawa—

(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan

(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

PEMUDA HARAPAN berpandangan bahawa pendirian songsang, rakus dan jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan serta berkanta perkauman inilah yang perlu dimansuhkan secara segera, bukan secara berperingkat.

PEMUDA HARAPAN sentiasa berpegang kepada dasar pengekalan, pemerkasaan dan penambahbaikan semua aliran pendidikan yang sedia ada, termasuk Sekolah Agama Rakyat dan sekolah mubaligh, yang dijamin serta dipertahankan oleh Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Tuduhan bahawa anak didik sekolah vernakular gagal menghasilkan murid yang memperlihatkan jati diri nasional yang kental adalah retorik politik semata-mata. Niat dan objektifnya tidak lain tidak bukan; untuk meraih sokongan dan undi.

Mana bukti empirikal untuk menyokong hujahnya? Ataupun sama seperti dakwaan beliau bahawa rating majoriti rakyat Malaysia menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri; adakah ini satu lagi tanggapan tanpa asas, anekdotal, kelentong kosong semata-mata?

Dakwaan bekas pegawai khas itu bahawa anak didik sekolah vernakular hanya mempamerkan jati diri “etnik tertentu”, sebenarnya telah meludah ke langit dan jatuh ke muka sendiri.

Hujah beliau menunjukkan bahawa segala yang tidak selaras dengan fahaman jati diri etnik dia adalah secara automatik salah; ini adalah gejala yang dinamakan rasis. Atau dalam bahasa yang lebih sesuai dengan gelaran Mat Jargon yang diberinya, Assobiyah Jahiliyah.

Berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan pada tahun 2018, peratusan murid bukan keturunan Cina di SJKC mencecah 18 peratus daripada keseluruhan 520,000 murid di SJKC. Dan juga terdapat beberapa SJKC yang mana majoriti (lebih separuh) muridnya berketurunan Melayu.

SJKC tidak memisahkan anak-anak kita mengikut kaum mahupun bahasa. Perpecahan masyarakat mengikut keturunan etnik, serta sifat syak wasangka yang semakin ketara antara kaum, berpunca daripada politikus seperti Mat Jargon yang menggunakan perbezaan budaya, kaum dan bahasa antara kita untuk kepentingan politik sendiri.

Perlu ada usaha untuk memastikan politikus yang punya kecenderungan menghasut demi kepentingan politik diri sendiri tanpa kira keharmonian antara rakyat, digagalkan dan digugurkan.

Tetapi tidak pelik hujah sebegini datang dari insan seperti Timbalan Menteri tebuk atap ini. Hanya insan yang kurang bijak, kekurangan harga dan jati diri dan tidak bermaruah; sanggup mengkhianati rakyat, membelakangi perjuangan dan memijak sahabat demi mencapai cita-cita.

Walau bagaimanapun, untuk mencapai cita-citanya, Ketua ARMADA baru itu perlu terlebih dahulu meminda Perlembagaan Persekutuan. Memandangkan kerajaan yang beliau anggotai hanya mampu mendapat majoriti dua atau tiga dan bukannya dua pertiga yang diperlukan di parlimen, tidak nampak agenda beliau akan tercapai.

Saya tidak mengharapkan sebarang tindakan diambil terhadap pengkhianat yang menghasut kemarahan rakyat ini. Kerajaan PN ini tidak akan sekali-kali membenarkan keadilan yang benar ditegakkan di bumi Malaysia selagi mereka masih berkuasa.

Satu-satunya penyelesaian untuk pastikan insan seperti Timbalan Menteri ini tidak dapat bertapak di gelanggang politik, ialah pastikan dia dengan mereka yang sehaluan kalah dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Howard Lee
DAPSY Kebangsaan

Akmal Nasrullah Mohd Nasir
AMK Malaysia

Shazni Munir Mohd Ithnin
Pemuda Amanah Nasional

Komen