Pendidikan Yang Hilang Dari Pandangan

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Sudah lebih setahun dunia dicemari oleh wabak Covid-19 yang saban hari semakin membimbangkan. Jumlah rekod kematian dunia juga telah melebihi 2 juta. Kini Malaysia juga turut mencatatkan rekod kes harian yang tinggi, sebanyak 4 angka saban hari.

Sepertinya, pandemik ini tiada penghujungnya sehingga vaksin berjaya digunakan. Norma baharu yang diterapkan kini adalah norma biasa. Memakai pelitup muka, menjaga jarak sekurang-kurangnya 1 meter dan sentiasa mencuci tangan merupakan langkah-langkah pencegahan yang perlu sentiasa diamalkan oleh semua kini sudah menjadi langkah normal yang perlu diikuti.

Baru-baru ini, Menteri Kanan Pertahanan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di seluruh negeri kecuali Sarawak. Hal ini telah memberi kesan yang besar terhadap pelbagai sektor, terutamanya sektor pendidikan.

Pada awal Januari yang lalu, YAB Perdana Menteri mengumumkan bahawa sekolah akan beroperasi pada 20 Januari 2021 seperti yang tertera dalam takwim yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada 8 November 2020. Namun begitu, perancangan ini berubah apabila pada 11 Januari 2021 yang lalu,, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui sebuah kenyataan media mengumumkan bahawa sekolah hanya dibuka buat pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan besar, seperti pelajar tingkatan 5 (2020) yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2021. Manakala murid-murid yang tidak menduduki peperiksaan besar, perlu mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Keputusan yang berubah pada minit akhir telah menyukarkan ramai pihak terutama ibu bapa yang bekerja. Mereka perlu memastikan anak mereka mendapat akses pembelajaran dalam talian semasa waktu persekolahan berlangsung dan dalam masa yang sama mereka harus bekerja. Ibu bapa juga perlu menguruskan penempatan anak-anak ketika bekerja kerana mereka tidak boleh sewenangnya membawa anak-anak ke tempat kerja. Lebih-lebih lagi dengan undang-undang PKP yang hanya membenarkan 2 orang dalam 1 kereta.

Namun, bagi mengekang wabak Covid-19 daripada terus merebak dan melanda, arahan yang diberikan tetap diterima dengan baik oleh ramai. Namun begitu, alangkah lebih baik lagi jika pihak Kementerian Pendidikan dapat menyediakan satu ‘standard operating procedure’ (SOP) yang selaras dalam menjayakan PdPR. Perkara sebegini akan memudahkan urusan warga pendidik dan tidak terkapai-kapai dalam menentukan tatacara PdPR buat pelajar. Bukan sekadar membuat pemakluman PdPR perlu dilaksanakan tanpa sebarang penjelasan, ibarat melepaskan batuk di tepi tangga.

Berapa lama lagi masa yang diperlukan pihak Kementerian Pendidikan untuk membentangkan tatacara PdPR yang sesuai dijalankan buat guru-guru dan murid-murid sekolah? Adakah cukup hanya dengan memperkenalkan TV Pendidikan? Setahun sudah berlalu, alasan ‘masih dalam kajian’ dan ‘akan dipertimbangkan’ sudah lapuk dan tidak boleh digunapakai. Seharusnya, pihak Kementerian bergerak lebih progresif dalam menangani masalah pendidikan yang dihadapi semasa musim pandemik ini.

Pihak Kementerian juga perlu berfikir jauh, dengan kes Covid-19 yang masih belum surut, kebarangkalian PdPR perlu berlangsung sehingga hujung 2021 juga tinggi. Adakah pihak Kementerian akan terus menjalankan tanggungjawab hanya dengan memaklumkan dalam siaran langsung bahawa PdPR perlu diteruskan? Jika begitu, maka malanglah nasib anak-anak ini kerana hak mereka mendapat pendidikan yang efektif terbantut.

Bagaimana dengan nasib anak-anak yang mengalami masalah untuk akses kelas dalam talian? Anak-anak yang tidak mempunyai peranti yang cukup untuk menjalankan kelas dalam talian, anak-anak yang tercicir daripada pendidikan kerana masalah ekonomi yang dihadapi oleh keluarga mereka, serta anak-anak yang kekurangan peralatan persekolahan seperti buku-buku dan alat tulis. Bagaimanakah nasib anak-anak ini? Ini yang sepatuntnya perlu diusahakan dan diambil perhatian oleh Kementerian bagi memastikan tiada anak-anak yang tercicir dalam pendidikan.

Percayalah bahawa satu detik nanti, anak-anak sekolah ini akan mentadbir negara. Namun, jika mereka gagal mendapat pendidikan yang selayaknya, pembangunan negara juga akan terbantut. Semestinya perkara ini perlu dielakkan. Justeru itu, pihak Kementerian Pendidikan perlu mengambil tindakan segera bagi mengurangkan masalah anak-anak yang tercicir pendidikan.

Artikel ini adalah tulisan saudari Ajda Nuha dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas.

(Ajda Nuha merupakan seorang pendidik yang gusar dengan nasib dan masa depan anak-anak. Beliau juga merupakan aktivis SHIELD suatu badan pemikir yang memfokuskan perbincangan mengenai dasar dan polisi.)

Komen