Pelaksanaan Syarat Pemilikan Mungkin Memakan Diri

PELAKSANAAN syarat ekuiti Bumiputera sebanyak 51% kepada semua syarikat logistik termasuk yang berstatus ‘International Integrated Logistics Services’ (IILS) hanya akan memanfaat golongan elit sahaja dan merugikan komuniti Bumiputera secara kesuluruhan.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2008, syarikat-syarikat yang berstatus IILS ini dibenarkan beroperasi tanpa dikenakan sebarang syarat ekuiti. Skim ini telah berjaya meningkatkan aktiviti logistik yang dijalankan secara bersepadu (hujung-ke-hujung) oleh syarikat-syarikat tempatan di dalam mengembangkan operasi mereka di serata rantau dan juga di peringkat global. Secara langsung dan tidak langsung, langkah ini juga telah memanfaatkan usahawan-usahawan dan peniaga-peniaga Bumiputera yang dapat ‘melebarkan sayap’ mereka merentasi sempadan.

Walaupun sumber-sumber tertentu telah menyatakan bahawa perlaksanaan syarat ini telah ditangguhkan sehingga akhir 2022, suasana tidak menentu yang timbul disebabkan keputusan ini telah pun memberi kegusaran kepada pemain-pemain industri.

Malah, jika tiada jaminan untuk mempertimbangkan semula cadangan ini, para pemain industri mungkin akan menggunakan masa ini untuk memindahkan operasi mereka ke negara lain kerana syarikat asing tidak dikenakan syarat pemilikan yang sama. Ini sekaligus mengurangkan aktiviti logistik di Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas serta Pelabuhan Pulau Pinang sebagai destinasi penting di rantau Asia Tenggara. Ini adalah sesuatu yang merugikan dalam jangkamasa panjang kerana aktiviti ekonomi akan akan terjejas. Golongan Bumiputera yang sudah menjadi pemegang ekuiti majoriti juga akan hilang peluang.

Kita perlu menerima bahawa pemerkasaan ekonomi sesuatu komuniti adalah melalui daya saing sihat yang sekaligus akan memanfaatkan industri tersebut.

Daya saing yang sihat hanya akan memartabatkan golongan Bumiputera dalam pelbagai industri. Sebagai contoh ramai usahawan Bumiputera menggunakan platform e-dagang dan menjual barangan secara online serta menggunakan media sosial untuk memasarkan produk-produk mereka. Kebanyakan usahawan Bumiputera ini menggunakan cara pemasaran secara kreatif untuk mempromosikan barangan mereka dengan menggunakan modal sendiri serta pandai mencari peluang.

Golongan Bumiputera ada pelbagai platform untuk memulakan perniagaan sendiri tanpa mengira skala. Sebagai contoh Majlis Amanah Rakyat (MARA), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Ekuinas Nasional Berhad (EKUINAS) adalah platform permulaan yang boleh melonjakkan perniagaan Bumiputera kepada skala yang besar tidak kira melalui bentuk pinjaman, geran atau pelaburan (ekuiti). Oleh yang demikian, perlaksanaan majoriti ekuiti Bumiputera ke atas syarikat yang bukan Bumiputera akan memberi persepsi bahawa badan berkanun atau GLC yang ditubuhkan untuk menaikkan ekuiti Bumiputera telah gagal selama ini dan tidak mempunyai peranan lagi pada tahun 2021 ini.

Kemajuan dan kemampuan daya saing golongan Bumiputera dalam pelbagai bidang pada masa kini hanya menunjukkan bahawa golongan Bumiputera terutamanya generasi masa kini boleh maju dengan sendiri tanpa sebarang campur tangan parti-parti politik yang kononnya berjuang untuk martabatkan Melayu.

Kebangkitan golongan Bumiputera generasi baharu ini yang mahu memartabatkan diri dan komuniti dengan sendiri hanya akan mengurangkan peranan parti-parti politik Melayu di mana kebanyakan pemimpinnya adalah golongan yang hanya bergantung kepada sentimen perkauman untuk ‘survival‘ politik mereka.

Pandemik yang kita lalui sekarang menunjukkan bahawa cabaran dan dugaan dalam pelbagai industri tidak mengira jika sesebuah entiti adalah milik Bumiputera atau bukan Bumiputera. Rakyat Malaysia perlukan sesama sendiri untuk memastikan ekonomi negara berkembang serta meningkatkan daya saing peringkat antarabangsa sekaligus memberi peluang pekerjaan untuk semua

Komen