Tatkala negara digemparkan dengan berita media asing yang memaparkan laporan kurang tepat tentang layanan Malaysia terhadap warga asing dalam menangani wabak Covid-19, jangan kita lupa betapa besarnya usaha, inisiatif dan sumbangan media tempatan dalam membantu memerangi wabak Covid-19. Hakikatnya, kejayaan Malaysia dalam mengawal dan membendung penularan wabak Covid-19 adalah hasil usaha kolektif membabitkan pelbagai pihak yang telah memainkan peranan masing-masing dengan cemerlang. Dalam hal ini antara pihak yang turut memainkan peranan yang cukup signifikan ialah pihak media tempatan baik media cetak mahupun elektronik termasuk portal digital. Ringkasnya, adalah tidak keterlaluan untuk kita mengiktiraf para petugas media tempatan juga sebagai barisan petugas hadapan yang sama-sama telah membantu membendung wabak ini.
Hakikatnya kita tidak boleh mengawal laporan media asing. Mereka ada kuasa dan budi bicara dan lebih penting lagi ada agenda mereka sendiri dalam melaporkan sesuatu berita. Misalnya, mereka boleh memuji setinggi langit tentang sesebuah negara berkaitan sesuatu isu terutamanya jika ianya berkepentingan dan memihak kepada mereka, dan pada masa yang sama mereka juga boleh mengutuk mahupun mengaibkan sesebuah negara jika tindakan negara tersebut tidak memihak kepada mereka. Jadi kita tidak hairan apabila media asing ini mempersoal dan mempertikai cara kita menguruskan warga asing ketika PKP bagi mengawal penularan wabak. Apapun kita ada hak untuk bersetuju atau tidak dengan laporan yang mereka siarkan kerana kita tahu apa yang kita buat itu betul atau salah. Dalam kes ini memang kita tidak bersetuju kerana kita tidak pernah berniat untuk menzalimi warga asing, sebaliknya cuba memberikan layanan dan rawatan perubatan yang sebaiknya supaya wabak ini terkawal di negara kita.
Justeru dalam kita memprotes tindakan dan tuduhan melulu media tersebut, janganlah kita lupa pula jasa dan sumbangan para media tempatan dalam kita mendepani serangan Covid-19 ini. Ringkasnya, ada ketikanya kita perlu pedulikan saja media asing ini sebaliknya fokus dan hargai media tempatan dengan sewajarnya. Hal ini kerana, terlalu banyak jasa dan sumbangan media dan para petugas media tempatan dalam membantu pihak berkuasa menangani wabak ini.
Misalnya, pada ketika terlalu banyak berita palsu menghambat kotak pemikiran anggota masyarakat mengenai pandemik Covid-19, pihak media tempatan muncul sebagai penyelamat keadaan. Hakikatnya, berita palsu yang turut merebak menjadi wabak dan virus yang begitu sukar dikawal dilihat cukup mengancam kehidupan seharian rakyat kita. Misalnya berita palsu seperti kemunculan kluster baharu serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di satu-satu lokasi mula mencetuskan kedaan yang panik dalam kalangan khalayak. Akibatnya mula berlaku pembelian panik serta ramai yang bimbang tahap keselamatan dan kesihatan masing-masing. Mujurlah pada ketika itu muncul pihak media yang segera melaporkan berita dan maklumat yang betul, tepat dan sahih sekali gus meredakan kegelisahan rakyat.
Secara umumnya penulis boleh merumuskan pihak media di negara ini telah memainkan dua peranan yang utama dalam membantu memerangi wabak Covid-19 ini. Pertama, bertindak menyampaikan dasar dan polisi kerajaan yang dikuatkuasakan sepanjang PKP dengan cepat, betul dan tepat untuk makluman orang ramai. Misalnya pengumuman pelaksanaan PKP, PKPD dan PKPP serta prosedur standard operasi (SOP) yang berkaitan dan yang telah ditetapkan disampaikan dengan segera kepada anggota masyarakat. Media juga berjaya menerangkan dalam bahasa yang mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat tentang segala prosedur dan polisi yang telah diperkenalkan dan perlu dipatuhi. Ini membolehkan rakyat memahami mesej yang disampaikan oleh pihak berkuasa dengan jelas dan tepat, sekali gus memudahkan kerja pihak berkuasa dalam mengawal dan membendung penularan wabak ini di seluruh negara.
Peranan besar pihak media yang kedua ialah, media turut membantu mewujudkan dan meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan rakyat tentang penularan dan ancaman wabak ini. Penulis memuji inisiatif pihak media baik akhbar cetak, portal dalam talian, televisyen mahupun radio yang dilihat cukup kreatif dalam menyediakan dan menghebahkan pelbagai informasi sebagai kempen kesedaran bagi memerangi wabak ini. Antaranya, ada yang menerbitkan video pendek dan ada yang menyediakan pelbagai poster yang kreatif dan menarik yang menerangkan amalan penjagaan kebersihan seperti cara membasuh tangan dan pemakaian pelitup muka yang betul serta keperluan amalan penjarakan sosial di pelbagai lokasi umum. Ringkasnya, kita dapat lihat pihak media telah melancarkan kempen kesedaran memerangi wabak ini secara bersepadu demi menyedarkan seluruh rakyat Malaysia. Peranan dan tanggungjawab sosial media ini wajar dipuji.
Di samping itu kita juga wajar menghargai kerja keras para krew media seperti wartawan dan jurukamera yang sanggup berhujan dan berpanas serta turut mengharungi pelbagai risiko dalam mendapatkan sesuatu berita untuk dihebahkan kepada orang ramai. Tindakan berani dan nekad mereka yang mahu memberikan liputan yang terbaik dan maklumat terkini kepada rakyat wajar dipuji dan diangkat sebagai wira yang tidak didendang. Bayangkan ketika PKP jika tidak ada krew yang bertugas, rakyat tidak akan mendapat sebarang maklumat yang hendak disampaikan atau diumumkan oleh pihak kerajaan. Syabas kepada para petugas media yang komited dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tanggungjawab.
Justeru pada ketika media asing buat onar di mana ini bukan perkara baru bagi kita, marilah kita hargai usaha media tempatan dan jangan sesekali meragui kredibiliti serta kemampuan mereka. Penulis berharap agar anggota masyarakat akan memberikan penghormatan dan penghargaan yang sewajarnya kepada media dan semua petugas media tempatan yang telah memainkan peranan yang cukup signifikan dalam membantu membendung wabak Covid-19 di negara kita. Semoga para petugas media akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, amanah dan telus demi kesejahteraan rakyat dan negara. Penulis secara peribadi ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua media dan barisan petugas media. Anda adalah wira yang tidak didendang!

Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam makalah berkala seperti Dewan Masyarakat. Beliau juga merupakan ahli pemikir Malaysia Corruption Watch (MCW).