Paradox Of Plenty Dan Kemiskinan Wilayah

PARADOX OF PLENTY atau juga dikenali sebagai The Resource Curse merupakan satu keadaan di mana negara atau wilayah yang memiliki kekayaan sumber bahan mentah seperti mineral, minyak dan gas asli mengalami masalah kemiskinan dan kemunduran yang tidak setaraf dengan sumber yang dimilikinya atau malah berada pada tahap yang lebih teruk berbanding dengan negara atau wilayah yang memiliki sumber yang kurang.

Terma yang pertama kali digunakan oleh Richard Auty dalam bukunya Sustaining Development in Mineral Economies pada tahun 1993 pada asalnya digunakan bagi menerangkan kenapa sebuah negara yang kaya dari segi sumber bahan mentah tidak mampu menterjemahkan kekayaan tersebut ke dalam bentuk tahap kemajuan dan pembangunan yang membanggakan.

Menurut beliau, walaupun secara teorinya kita boleh mengandaikan bahawa pemilikan bahan mineral seperti petroleum, arang batu dan keluli akan menyumbang kepada peningkatan sumber kewangan kerajaan yang kemudiannya digunakan bagi menjana pembangunan ekonomi, sosial dan infrastruktur asas, perkara tersebut tidak berlaku khususnya di beberapa negara dan wilayah seperti Mexico, Nigeria, Zambia, Venezuela, Sierra Leone, Afghanistan dan Mongolia.

Hal ini berbeza dengan negara yang memiliki sumber mineral yang kurang seperti Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Hong Kong dan Singapura. Walaupun mempunyai sumber bahan mentah yang amat terhad, negara-negara ini tetap mengungguli senarai teratas bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan per kapita bagi setiap rakyat.

Bukan itu sahaja, masalah Paradox of Plenty ini juga berlaku di peringkat wilayah dan negeri seperti di Malaysia. Jika dilihat, negeri-negeri yang memiliki sumber bahan mentah seperti Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu masih jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan sosioekonomi berbanding dengan negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor yang secara dasarnya tidak memiliki apa-apa.

Kita ambil contoh Sarawak misalnya. Walaupun menyumbang sebanyak 52.7% gas asli di Malaysia (Utusan Borneo, 2019) dan 26% jumlah keseluruhan pengeluaran minyak mentah tempatan (National Energy Balance, 2018) selain sumbangan secara purata sebanyak lebih 10% setiap tahun kepada KDNK Malaysia, Sarawak tetap berada dalam senarai antara negeri paling miskin di Malaysia (Sinar Harian, 2021).

Keadaan sama juga turut berlaku kepada negeri Sabah. Walaupun Sabah merupakan pengeluar terbesar minyak kelapa sawit dengan 24% jumlah pengeluaran nasional (Utusan Borneo, 2021) dan menyumbang lebih 40% kepada jumlah keseluruhan pengeluaran minyak mentah tempatan (National Energy Balance, 2018), negeri tersebut tetap berada di kedudukan teratas dalam senarai negeri termiskin di Malaysia dengan kadar kemiskinan sebanyak 19.57%, jauh melepasi kadar kemiskinan nasional yang berada pada paras 5.6% (Berita Harian, 2020).

Statistik sebegini memberi gambaran yang jelas bahawa sekiranya kekayaan sumber bahan mentah negara tersebut tidak diagihkan dengan sebaiknya, ianya boleh menjerumuskan negara ke dalam masalah kemiskinan dan kemunduran yang teruk.

Keadaan seperti ini, menurut Jeffrey A. Frankel menerusi kajian yang bertajuk The Natural Resource Curse; A Survey (2010), adalah disebabkan oleh beberapa faktor utama, yakni kelemahan polisi kerajaan dan sistem tadbir urus, pelan pembangunan ekonomi yang tidak mapan serta wujudnya pergolakan politik dan perebutan sumber antara puak di dalam negara tersebut.

Polisi Kerajaan Dan Sistem Tadbir Urus

Dalam kertas kajian yang bertajuk Natural Resource Abundance and Economic Growth, dua pakar ekonomi, iaitu Jeffrey D. Sachs dan Andrew M. Warner melaporkan bahawa masalah paradox of plenty ini wujud disebabkan oleh kedua-dua masalah polisi kerajaan dan sistem tadbir urus yang lemah. Polisi dan sistem tadbir urus yang lemah ini pula membawa kepada kepincangan dalam perancangan pembangunan ekonomi.

Hal ini berlaku apabila negara tersebut memiliki banyak sumber, mereka kurang terdorong untuk bekerja lebih keras bagi menceburi bidang lain seperti pelancongan dan perkhidmatan yang menjanjikan pendapatan yang lebih mapan. Tabiat ini pula kemudiannya membentuk budaya kerja yang tidak inovatif dan kurang berdaya saing khususnya dari segi budaya keusahawanan.

Jika dilihat negara-negara seperti Nigeria misalnya, walaupun sumber bahan mentah menjana hampir 80% daripada sejumlah AS$47 billion nilai eksport, lebih 40% atau 80 juta daripada rakyatnya masih hidup di bawah garis kemiskinan (Bank Dunia, 2021).

Selain itu, walaupun negara tersebut berada pada kedudukan ke-8 dalam senarai negara pengeksport minyak mentah petroleum dengan sumbangan sebanyak 3.8% daripada keseluruhan jumlah eksport dunia (Workman D, 2021), negara tersebut hanya berada pada kedudukan ke-64 dari dalam senarai 100 Negara Paling Keusahawanan bagi tahun 2021 (CEOWORLD Magazine Entrepreneurship Index, 2021).

Dari sisi lain, pemilikan sumber yang banyak juga menjadi bahan eksploitasi kerajaan bagi mengekalkan penguasaan politik dan ekonomi. Seperti mana dijelaskan oleh Matthias Busse dan Stefan Groning dalam kajian mereka yang bertajuk The Resource Curse Revisited; Governance and Natural Resources (2011), kerajaan yang bergantung kepada sumber bahan mentah sebagai punca kuasa dan pendapatan mungkin dengan sengajanya melambatkan proses modernisasi struktur ekonomi.

Jelas mereka lagi, langkah melambatkan proses pembangunan yang termasuk mengabaikan pembangunan dalam bidang pendidikan dan teknologi adalah sebagai cara untuk mengelakkan kemunculan sektor ekonomi alternatif yang berpotensi membawa kepada kemunculan gelombang ideologi dan kuasa politik baharu selain memastikan kebergantungan dan kesetiaan berterusan para pekerja kelas menengah yang jahil hal ehwal politik terhadap kerajaan sedia ada.

Pembangunan Ekonomi Yang Tidak Mapan

Dalam satu tulisannya kepada portal Project Syndicate yang bertajuk Resource Rich, Cash Poor (2012), pakar ekonomi, Joseph E. Stiglitz menyatakan tiga sebab utama kenapa sumber bahan mentah yang banyak tidak menjamin kemajuan ekonomi;

Pertama, negara kaya sumber seperti Kuwait, Bahrain dan Oman kebiasaannya memiliki nilai mata wang yang sangat kuat, yang kemudiannya akan menghalang peningkatan eksport barangan lain. Oleh kerana kekuatan nilai mata wang akan memberi kesan langsung ke atas peningkatan kos harga barang yang dieksport, negara yang mempunyai nilai mata wang yang lemah akan sedaya upaya untuk menghindari proses perdagangan dengan negara yang mempunyai nilai mata wang yang kuat. Hal ini kemudiannya membawa kepada kurangnya nilai eksport negara tersebut dan mewujudkan ketidakseimbangan dalam perolehan kerajaan.

Kedua, negara yang bergantung kepada sumber bahan mentah sahaja sebagai sektor ekonomi teras tidak berupaya untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang mencukupi kepada rakyatnya. Hal ini dapat dilihat dari negara kaya sumber seperti Brunei misalnya, walaupun mempunyai nilai eksport bahan mentah petroleum berjumlah sebanyak hampir AS$6 bilion  atau 85% daripada nilai eksport keseluruhan (Observatory of Economic Complexity, 2019), sebanyak lebih 8.7% rakyatnya berdepan dengan masalah pengangguran (Azlan Othman, 2020).

Ketiga, harga bahan mentah yang kurang stabil di pasaran dunia menjadikan ekonomi negara pengeluar bahan mentah begitu tidak stabil. Ketidakstabilan ini kemudiannya memberi kesan kepada perancangan ekonomi negara.

Seperti dinyatakan oleh Amir Mansour Tehranchian dan Mohammad Abdi Seyyedkolaee dalam kajian mereka yang bertajuk The Impact of Oil Price Volatility on the Economic Growth in Iran: An Application of a Threshold Regression Model (2017), sebarang penurunan harga bahan mentah akan membawa kepada penurunan pendapatan bagi negara tersebut yang kemudiannya akan membawa kepada penurunan jumlah perbelanjaan kewangan kerajaan. Keadaan ini seterusnya akan memberi kesan ke atas pembangunan sektor lain seperti pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam, dan pembangunan infrastruktur asas.

Pergolakan Politik Dan Perebutan Sumber

Pemilikan sumber yang banyak ternyata memberi cabaran kepada sesebuah negara khususnya dari segi ancaman keamanan dan keselamatan. Dalam kajian yang bertajuk The Curse of Natural Resources in Fractionalized Countries (2005), Rolland Hoddler menjelaskan bahawa kekayaan sumber bahan mentah seringkali membawa kepada pergaduhan di antara puak-puak yang berebut penguasaan terhadap sumber berkenaan.

Beliau juga menambah bahawa sekiranya keadaan ini tidak dikendalikan dengan baik, ia berkemungkinan akan bertukar menjadi lebih ekstrem, termasuk melibatkan perang saudara. Pergaduhan ini kemudiannya akan menyebabkan suasana tidak stabil di negara tersebut yang seterusnya akan membawa kepada jumlah pelaburan yang rendah, baik dari pelabur tempatan mahupun antarabangsa.

Dari sisi lain, perebutan antara puak ini juga cenderung memberi kesan kepada peningkatan jenayah kolar putih seperti rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan wang dan amalan rent-seeking yang bertujuan untuk melindungi kepentingan puak sendiri selain mengukuhkan monopoli terhadap sumber sedia ada. Hal ini secara tidak langsung memberi kesan terhadap keberkesanan dan kecekapan institusi demokrasi seperti jabatan perkhidmatan awam, badan penguatkuasa undang-undang dan badan kehakiman.

Dalam masa yang sama, kekayaan sumber bahan mentah juga menarik minat dari kuasa besar dunia bagi “merasa nikmat kek yang sama” walaupun dengan cara yang membelakangi undang-undang antarabangsa.

Mengambil kes pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq misalnya, memetik kata-kata Michael T. Klare, pensyarah dan penganalisis bidang politik minyak dalam tulisannya yang bertajuk Washington’s Oil Politics (2002) kepada portal Salon.com,

“walaupun banyak faktor yang menjustifikasi tindakan Amerika Syarikat dalam menceroboh Iraq termasuk geostrategi, politik dan ekonomi, keinginan bagi menguasai sumber bahan mentah petroleum telah sekian lama menjadi asbab paling kuat yang mendorong penglibatan tentera Amerika Syarikat di Teluk Parsi”.

Rumusan

Walaupun kekayaan sumber bahan mentah secara teorinya menjanjikan pendapatan yang lumayan kepada kerajaan, ianya akan menyebabkan lebih banyak masalah sekiranya ia tidak diuruskan dengan sebaiknya. Kerajaan yang bergantung kepada bahan mentah sebagai sumber kewangan juga harus bijak merancang strategi bagi mengurangkan kebergantungan tersebut dengan meneroka lebih banyak sektor ekonomi moden seperti bidang pelancongan dan teknologi.

Langkah seperti dilakukan oleh Putera Mohammad Bin Salman di Arab Saudi yang sedang dalam usaha rejuvenasi struktur ekonomi menjadi lebih mapan dan berdaya saing harus menjadi ikutan negara-negara pengeluar bahan mentah yang lain bagi menjamin peluang ekonomi yang lebih luas kepada rakyat mereka sendiri. Hal ini kerana ekonomi yang lebih pelbagai dan meluas akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mencuba nasib bukan sahaja di dalam bidang pekerjaan, tetapi juga bidang perniagaan.

Dalam usaha memanfaatkan sumber alam bagi menjana pendapatan bagi negara sendiri, pemerintah politik juga harus bertindak lebih tegas dalam menangani ancaman seperti gangsterisme, kartel, rasuah dan amalan rent-seeking. Ancaman budaya jahil tersebut harus dilupuskan bagi memastikan sektor ekonomi negara dapat dibangunkan dengan cara yang cekap dan berkesan dan seterusnya menjamin pengagihan kekayaan yang lebih adil kepada rakyat bawahan yang sedia dahaga akan nikmat sumber tanah air sendiri.

Komen