Jujurnya penulis berasa cukup bimbang melihat situasi politik di negara pada ketika ini. Tatkala rakyat terus diancam dengan serangan gelombang ketiga wabak Covid-19, ahli politik pula sibuk mencari ruang untuk memperbaiki kedudukan masing-masing. Akibatnya kedudukan kerajaan sekarang dilihat sangat rapuh bagai telur di hujung tanduk. Ini hakikat yang perlu diakui oleh semua pihak kerana apa yang sedang berlaku bukan lagi rahsia dan segala plot drama dan konspirasi politik yang direka mula menjelmakan diri dengan sendirinya satu per satu.
Dalam hal ini apa yang paling dikesali ialah ketidakstabilan kedudukan kerajaan dan senario politik mula memberikan kesan langsung kepada proses pentadbiran kerajaan, pembangunan negara, pemulihan ekonomi dan juga kerja-kerja menangani serangan wabak Covid-19. Sesungguhnya, dalam kedaaan yang cukup gawat dan kritikal ini kita memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil yang dianggotoi oleh ahli politik dan pemimpin yang berjiwa rakyat. Hanya kerajaan seperti itu yang mampu meletakkan kepentingan rakyat dan negara pada kedudukan yang teratas sekali gus mampu mengeluarkan kita dari krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang melanda.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang pada mulanya memberikan seribu satu harapan mula goyah apabila berlaku perseteruan politik dan pergolakan dalaman yang cukup dasyat. Parti UMNO sendiri mula meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama dan sokongan yang terbina sejak Mac lalu. Ini sekali gus meletakkan kerajaan PN dalam keadaan yang cukup getir dan ditambah pula dengan usaha Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa memiliki sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan yang baharu. Maka kita kembali berada dalam kemelut politik sama seperti ketika bulan Februari lepas yang sinonim dengan “Langkah Sheraton” sehingga terbentuknya kerajaan yang baharu.
Ironinya persoalan yang berlegar di kotak pemikiran rakyat sekarang ialah, andai Anwar berjaya membentuk kerajaan sekalipun sejauhmana kerajaan itu akan bertahan dengan mengambilkira sokongan Ahli Parlimen yang dilihat sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Maka tiada jaminan mana-mana kerajaanpun mampu bertahan jika dibentuk dalam keadaan yang rapuh dan tidak kuat serta stabil.
Dalam pada itu majoriti rakyat juga pastinya bersetuju dengan pandangan bahawa ini juga bukan masa yang sesuai untuk kita membubar Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun PRU adalah pilihan yang terbaik yang akan membuka ruang kepada rakyat untuk memberikan mandat yang kuat kepada mana-mana parti yang difikirkan layak dan boleh mengemudi bahtera yang bernama Malaysia ini. Hal ini kerana kedudukan ekonomi dan ancaman wabak Covid-19 tidak sama sekali menggalakkan pembubaran Parlimen dan pelaksanaan PRU15.
Maka sekarang timbul cadangan penubuhan kerajaan perpaduan atau Unity Government. Ideanya adalah melantik seorang Perdana Menteri interim dari kalangan tokoh yang disegani dan berpengalaman dan diberi kuasa untuk memilih beberapa orang Ahli Parlimen yang layak dan ada kemampuan tanpa mengira parti untuk membentuk Kabinet. Ini termasuklah melantik individu bukan ahli politik yang terdiri dari kalangan pakar dan ahli profesional untuk memulihkan negara. Manakala PRU15 pula boleh diadakan selepas isu ekonomi dan Covid-19 reda kelak. Ironinya cadangan kerajaan perpaduan ini bukanlah perkara baru kerana bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengemukakan cadangan pembentukan Unity Government ketika dilantik sebagai Perdana Menteri interim pada Februari lalu namun malangnya pada ketika ramai yang tidak memahami konsep dan kelebihan Unity Government ini. Ini ditambah pula dengan bangkangan dari kalangan ahli politik itu sendiri yang dilihat tidak bersetuju kerana masing-masing tidak berjiwa besar untuk mengutamakan rakyat dan negara pada ketika itu sebaliknya lebih mementingkan kedudukan diri dan parti masing-masing.
Jadi penulis percaya dalam keadaan kita mahu mengelak PRU15, penubuhan kerajaan perpaduan dilihat idea terbaik yang mampu menyelamatkan rakyat dan negara dengan pembentukan sebuah kerajaan sementara yang stabil dan kuat yang berkepentingan rakyat dan negara. Kita berharap ahli politik dan para penyokong akan menerima cadangan kerajaan perpaduan ini dengan hati yang terbuka dan segera memahami kelebihan konsep kerajaan perpaduan serta keperluan mendesak untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil demi kelangsungan hidup rakyat kita.
Noor Mohamad Shakil Hameed berkelulusan Master Komunikasi Korporat (2010) dan Bacelor Ekonomi (2001) dari UPM. Berjawatan hakiki Pegawai Tadbir dengan gelaran Timbalan Pendaftar di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. Kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Pengarah di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) UPM. Di samping bertugas sebagai pentadbir di UPM, penulis juga bergiat aktif sebagai penulis artikel, rencana dan puisi. Rencana dan artikel penulis sering mendapat tempat di akhbar-akhbar arus perdana negara seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro di samping dalam makalah berkala seperti Dewan Masyarakat. Beliau juga merupakan ahli pemikir Malaysia Corruption Watch (MCW).