MUDA Dalam PH: Untung Atau Rugi?

Baru sahaja menyampaikan hasrat secara terbuka menyertai Pakatan Harapan (PH), parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) teruk dikritik oleh orang awam dan penyokong PH. Lebih buruk lagi apabila perbincangan ini terus dibincangkan dari sudut emosi dan apa yang terluka di Putrajaya selama 22 bulan.

Dalam konteks politik menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15), setiap keputusan dibuat mana-mana parti, khususnya MUDA dan PH harus cermat agar sokongan pengundi asas dan atas pagar masih melihat kedua-dua pihak ini mampu mentadbir Putrajaya dan tidak beralih sokongan kepada UMNO-Barisan Nasional (BN) mahupun Perikatan Nasional (PN).

Sekurang-kurangnya, inilah asas kesefahaman utama dalam membincangkan penyertaan MUDA menjadi sebahagian PH. Dan, ia perlu dibincangkan secara realistik.

Sebahagian pengundi melihat MUDA sebagai satu prospek baharu dalam mencari politik segar selepas krisis politik melanda Malaysia. MUDA yang dipelopori pemimpin belia yang mempunyai pelbagai kemahiran dan citrawarna, dilihat mampu memberi tawaran baharu kepada rakyat Malaysia yang sudah muak dengan percaturan politik lama.

Suka atau tidak, sejak awal ditubuhkan, MUDA telah menonjolkan kemampuan yang luar biasa. Mereka antara kumpulan paling agresif membantu mahasiswa dan pelajar keciciran sewaktu pandemik. Mereka berjaya menggerakkan sebahagian besar sukarelawan untuk misi bantuan banjir tahun lepas.

Boleh dikatakan, gerak kerja bantuan MUDA ini boleh buat sayap muda parti politik tercabar. Malah bantuan kebajikan Ustaz Ebit Liew pun tewas. Dan mesej mereka dalam memperjuangkan politik berintegriti kian mendapat perhatian rakyat.

Realiti Dan Gabungan Parti Politik

Atas hujah ini, saya optimis untuk melihat MUDA membina gerakannya sendiri sama ada di lapangan aktivisme mahupun gelanggang pilihan raya. Usia parti yang masih remaja tidak akan merugikan MUDA. Mereka masih mempunyai masa bagi memperkukuh organisasi mereka.

Bergerak solo itu satu yang memudahkan pergerakan MUDA. Tidak perlu runding kerusi dan pening dengan cacamarba gabungan politik seperti BN, PH dan PN yang semuanya mahu menjadi ‘Abang Besar’ sehingga pembaharuan sukar dicapai.

Tetapi, menjadi parti bergerak solo atau ‘kuasa ketiga’ ini bukanlah sesuatu yang menguntungkan dalam politik negara. Lihat sahaja bagaimana PAS yang kononya mahu menjadi ‘kuasa ketiga’ dalam PRU14 akhirnya terpaksa berpelukan dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) dalam dua gabungan parti politik yang berbeza demi kuasa.

Jadi, apa rasionalnya MUDA juga berdiri sebagai kuasa ketiga dan bertanding solo dalam pilihan raya?

Hakikatnya, pilihan raya di Malaysia masih lagi bertunjangkan perlawanan antara gabungan parti politik sejak PRU 1990. Gabungan parti politik pembangkang menjadi ramuan berkesan untuk menolak hegemoni BN yang mendominasi Parlimen dengan majoriti dua pertiga.

Antara gabungan parti pembangkang yang mampu menggugat parti kerajaan sejak tiga dekad yang lalu ialah Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat (GR) dari tahun 1990 hingga 1995, Barisan Alternatif (1999-2004), Pakatan Rakyat (2008 – 2015) dan kini Pakatan Harapan (PH) sejak  2016.

Boleh juga diambil kira kemenangan MUDA dalam pilihan raya negeri Johor (PRN Johor) pada Mac lalu di Puteri Wangsa adalah hasil kerjasama parti itu bersama PH secara prinsip untuk melawan UMNO-BN dan PN.

Menariknya, MUDA tewas di tempat kedua di DUN Tenang dan Bukit Permai, masing-masing kalah dengan majoriti 14.5% dan 21.1%, MUDA juga tidak hilang deposit bagi setiap DUN PRN Johor yang mereka tandingi.

Perkara ini sekurang-kurangnya menjadi ukuran kebolehan MUDA memberi persaingan UMNO-BN dan PN di kawasan marginal. Ia juga membuktikan kerjasama PH berbaloi dan mungkin menjadi faktor mengapa MUDA mahu menyertai PH. Apa lagi yang ada jika penyertaan MUDA dalam PH menjadi realiti?

Apa Nilai Tambahnya?

Pertama, MUDA mampu menjadi ‘pintu’ kepada PH memperkukuh komunikasi bersama pengundi, khususnya kohort belia. Pendekatan MUDA menerangkan sesuatu isu secara mudah dan menarik menerusi platform didominasi belia, berbeza dengan komunikasi PH yang agak mendatar, adalah satu kelebihan yang boleh meraih sokongan anak muda buat PH.

Kedua, MUDA dan PH dapat menggabungkan sumber kekuatan masing-masing bagi memperkukuh jentera pilihan raya. Penambahan pengundi yang kini dianggarkan sebanyak 21 juta memerlukan pembangkang mempunyai jentera dan sumber yang besar bagi menyantuni pengundi.  Kerjasama PH dan MUDA boleh memperkukuh gerak kerja ini, khsusunya di kawasan separa bandar yang marginal dan dikuasai UMNO-BN dan PN.

Ketiga, kemasukan MUDA dalam PH juga akan mencambahkan lagi idea-idea dasar ekonomi, politik, dan kebajikan sosial yang lebih menarik dan konstruktif. Kombinasi semangat dasar dipelopori MUDA dan pengalaman PH yang cukup luas boleh menjadi ramuan untuk menarik lebih ramai pengundi menyokong mereka.

Dari sudut yang berbeza, kebersamaan MUDA dalam PH mampu memberi tekanan kepada parti PH menawarkan pemimpin baharu dan bertenaga pada PRU15. Ia juga mampu menepis perspektif dalam kalangan segelintir pemimpin PH yang hanya melihat peranan anak muda sebagai tukang pacak bendera dan geng konvoi semasa berkempen.

Penyatuan Pembangkang

Kemasukan MUDA dalam PH adalah satu kesinambungan untuk melihat Malaysia yang lebih baik diteruskan bagi mengalahkan UMNO-BN buat kali kedua di peringkat Persekutuan dapat diterjemahkan. Malah, kedua-dua pihak ini mempunyai matlamat yang sama dalam membawa agenda perubahan dan menjadi kerajaan.

Bagi pengundi, apa yang mereka mahukan adalah pembangkang yang bersatu padu. Jika pembangkang berpecah, mereka mudah mengatakan UMNO-BN akan menang semula.

Saya tidak nafikan kebimbangan yang dirasai segelintir pemimpin dan akar umbi PH tentang penyertaan MUDA. Tetapi, pengalaman dahulu membuktikan gabungan parti politik pembangkang selalunya berjiwa besar dan tidak eksklusif kepada pihak tertentu sahaja.

Malah, sejak pembentukan gabungan pembangkang hampir tiga dekad yang lalu, parti-parti pembangkang menerima kehadiran parti baharu secara terbuka dalam gabungan demi memperjuangkan kesejahteraan rakyat Malaysia yang dipinggirkan UMNO-BN. Bukankah MUDA juga harus diberi peluang yang sama hari ini?

Sekiranya MUDA diterima dalam PH, kesepakatan pembangkang untuk berhadapan PRU15 akan menjadi bertambah kukuh dan mampu menyakinkan pengundi. Jika tidak, MUDA dan PH seharusnya memikirkan jalan yang lebih strategik dalam PRU15 untuk mengalahkan PN dan UMNO-BN.

Walau apa pun, MUDA seharusnya tidak gopoh dan perlu menonjolkan komitmen dan kesungguhan mereka menyertai PH. Pandangan peribadi ini hanyalah satu daripada seribu pemikiran yang lain. Dan, saya percaya PH dan MUDA perlu berbincang secara harmoni untuk mengembalikan mandat rakyat kepada mereka dan tidak mengulangi kesilapan yang boleh menjejaskan kepercayaan pengundi.

Komen