Menjawab Fitnah Sejarah Oleh Politikus Murahan

Sekali lagi projek membodohkan orang Melayu sedang berjalan.

Kali ini menggunakan isu buku teks Sejarah Tingkatan 4. Kononnya pada zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan, mereka telah tukar isi kandungan buku teks dan angkat pengganas komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

Yang mula-mula kecoh mainkan isu ini adalah NGO-NGO pembela Melayu dan Islam, kemudian disertai pula Ketua Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang turut membangkitkan isu sama melalui status Facebook beliau. Kemudian ramailah juga yang mati-mati percaya pada projek pembodohan ini, tanpa mereka sendiri berusaha untuk baca terlebih dahulu apa yang terkandung dalam buku teks Sejarah Tingkatan 4.

Tulisan ini akan cuba menjawab segala tuduhan liar dan tohmahan yang dibuat hanya untuk political milage pihak tertentu.

Sebelum kita mula, perlu difahami dulu penulis buku teks Sejarah Tingkatan 4 adalah terdiri dari tenaga pendidik yang mengajar Sejarah. Mereka kemudian dibantu oleh panel pakar rujukan sejarah yang terdiri dari profesor dan doktor dalam bidang sejarah. Antara yang menjadi pakar rujukan sejarah ini ialah Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz.

Siapa yang tahu tu, tahulah kan pasal Shamrahayu ini. Beliau penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu di Universiti Teknologi MARA.

Tulisan ini akan menjawab kembali tohmahan yang dilempar oleh NGO-NGO pembela Melayu dan Islam. Kerana mereka yang galak sebar status ulasan mereka tentang bab-bab dalam buku teks tersebut yang pada pandangan mereka, mengagungkan komunis.

BAB 2 – KEBANGKITAN NASIONALISME

Kalau ikut tohmahan NGO, Bab 2 memberi lebih perhatian pada nasionalisme kiri, tidak menyebut penglibatan UMNO dalam tahun 1945 – 1948 dan cuba menonjolkan sosialisme dan komunisme tidaklah seburuk mana.

Tapi yang sebenarnya garis masa Bab 2 ini merangkumi zaman bermulanya Revolusi Keagungan England pada tahun 1688 hingga penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada tahun 1937. Memanglah tidak disebut langsung tentang UMNO kerana ketika ini UMNO sendiri pun belum lahir di istana.

Bab 2 juga tidak bercerita tentang sosialisme atau komunisme seperti didakwa. Yang disebut adalah nasionalisme sebagai satu gerakan radikal di awal kewujudannya. Tapi memang nasionalisme itu sendiri radikal kerana semasa ia baru bercambah dunia sedang dikuasai kolonialisme atau imperialisme.

Selain itu, nasionalisme tanah air diulas dengan bagaimana ia berkembang dan kesan perkembangan itu. Perkembangannya bermula melalui pejuang agama, intelektual dan persatuan. Manakala kesan nasionalisme ini adalah dalam bentuk politik, ekonomi dan sosial.

Sekali lagi, tak cerita pasal komunis pun.

Bab 2 juga menyebut tokoh nasionalisme terawal antaranya Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin, Za’ba, Rahim Kajai, Ibu Zain, Ibrahim Yaakob, Pak Sako, Ahmad Boestamam, Burhanuddin al-Helmi, Raja Chulan, Eunos Abdullah, Buyong Adil dan beberapa lagi.

Adakah tokoh-tokoh nasionalis awal ini semua komunis?!

BAB 3 – KONFLIK DUNIA DAN PENDUDUKAN JEPUN DI NEGARA KITA

Tuduhan NGO ialah bab ini terlalu kompleks dan sejarah Perang Dunia Pertama (WW1) tidak penting jadi ianya tidak perlu diulas mendalam.

Salah, penting untuk kita fahami WW1 sebab kegagalan negara terlibat mencapai penyelesaian dalam Perjanjian Versailles dan kelemahan Liga Bangsa yang ditubuhkan usai perang merupakan antara punca Perang Dunia Kedua (WW2) meletus.

Kau tak boleh, diulang tak boleh, faham WW2 tanpa memahami tentang WW1 terlebih dahulu.

Juga dibangkitkan isu peta Eropah yang kompleks di dalam buku teks. Apa yang kompleksnya dengan peta Eropah yang disertakan? Untuk pelajar Tingkatan 4, kemahiran membaca peta sepatutnya merupakan satu kemahiran asas. Tanpa peta, kita tidak akan faham kenapa Jerman, Austria-Hungary dan Turki Uthmaniyyah digelar Kuasa Tengah dan kenapa mereka menyerang negara seperti Serbia, Bulgaria, Perancis, Rusia dan sebagainya.

Untuk faham WW1 & WW2, kena tengok peta. Ini asas.

Dan sebenarnya WW1 hanya satu bahagian sahaja dalam Bab 3, lagi tujuh bahagian merangkumi WW2 dan pendudukan Jepun di negara kita. Maka tuduhan bahawa WW1 diulas terlalu mendalam adalah tidak tepat sama sekali.

BAB 4 – ERA PERALIHAN KUASA BRITISH DI NEGARA KITA

Rungutan NGO dalam bab ini ialah, Bab 4 ini memudarkan atau mencairkan peranan hebat yang dimainkan oleh UMNO dalam menentang Malayan Union.
Dah boleh nampak kan? Semua ini sebenarnya tentang UMNO sahaja.

Bab 4 yg katanya abaikan peranan UMNO, sebenarnya mengandungi dua mukasurat penuh yang menceritakan penubuhan UMNO dari Kongres Melayu di Kelab Sultan Sulaiman sampai lahirnya UMNO di Istana Johor. Juga disebut UMNO menganjurkan bantahan besar-besaran ke atas Malayan Union di seluruh negara, berserta dengan peta sebagai penerangan.

Bab 4 ini memanglah tidak menceritakan tentang UMNO semata. Ia juga menceritakan penentangan Raja-raja Melayu, penentangan penduduk Sarawak dan penduduk Sabah juga ke atas kembalinya penjajahan Inggeris selepas WW2.

Buku teks ini buku sejarah Malaysia, bukan sejarah UMNO. Maka tidak sepatutnya ia hanya menceritakan yang hebat-hebat tentang UMNO sahaja.

BAB 5 – PERSEKUTUAN TANAH MELAYU 1948

Tuduhan NGO ialah bab ini terlalu memperincikan perjuangan kemerdekaan golongan kiri. Patutnya macam biasalah cerita pasal UMNO sahaja yang berjuang.

Kita wajib faham, sejarah gunanya untuk mendidik anak bangsa supaya kita tahu dari mana kita berasal. Bukan untuk membodohkan anak bangsa.

Garis masa untuk bab ini ialah dari 1946 – 1948. Ya dalam bab ini ada cerita gerakan nasionalis Melayu radikal dan Perlembagaan Rakyat PUTERA-AMCJA. Sebab apa dimasukkan kisah ini? Sebab ia sebahagian dari sejarah. Takkan kita nak padam sejarah, sampai anak-anak jadi buta sejarah?

Kemuncak perjuangan PUTERA-AMCJA adalah Hartal 1947, iaitu satu aksi protes dalam bentuk mogok umum.
Selepas Hartal 1947, barulah British bersetuju batalkan Malayan Union dan berunding dengan UMNO & Raja-raja Melayu.

Belajar sejarah kena ikut garis masa. Tak sampai turn kau lagi jadi chill lah dulu. Siapa suruh UMNO lambat into scene tuntut kemerdekaan?

BAB 6 – ANCAMAN KOMUNIS DAN PERISYTIHARAN DARURAT

Rungutan NGO dalam bab ini ialah, terlalu banyak bercerita tentang komunis.

Namun tentulah ianya banyak menulis tentang komunis kerana tajuk bab ini sendiri ialah tentang ancaman komunis.

Takkan tajuk komunis, dalam nak cerita pasal UMNO?!

Dalam Bab 6 ini ditulis bahawa komunis datang dari China, dari Indonesia dan juga disenaraikan dengan terperinci apa yang pengganas komunis lakukan seperti lumpuhkan ekonomi, merosakkan infrastruktur, mengancam keselamatan rakyat, mengancam keselamatan pasukan keselamatan malah turut disertakan statistik jumlah rakyat dan anggota polis atau tentera yang terkorban dibunuh pengganas komunis.

Tak cukup dengan itu, disenaraikan juga serangan komunis ke atas pasukan keselamatan.

Takkan selepas menyenaraikan semua kekejaman ini dalam buku teks sejarah, pelajar terus boleh jadi sympathiser komunis?

Turut ditulis dalam Bab 6, usaha pasukan keselamatan melawan komunis.

Di sini, perjuangan pelbagai unit pasukan keselamatan disenaraikan. Pasukan Polis Hutan, Senoi Praaq, Special Constables, Cawangan Khas, Auxiliary Police, Askar Melayu, Sarawak Rangers dan Sukarelawan Home Guard semuanya ada dihuraikan. Ini semua bukankah ramai Melayu?

Entah dari sumber mana NGO dakwa buku teks ini tidak sebut langsung pasal perjuangan orang Melayu sangatlah menghairankan.

Dan tak ada satu ayat pun dalam bab ini menyatakan komunis berjuang untuk kemerdekaan.

Menyentuh tulisan Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pula kononnya buku teks Sejarah Tingkatan 4 ini menggambarkan orang Melayu sebagai barua dan orang suruhan Jepun, perlu rasanya kita semua ingati kembali filem Sarjan Hassan.

Dalam filem tersebut, ada watak Buang. Buang adalah orang Melayu yang menjadi talibarut Jepun.

Kenapa Asyraf Wajdi tak maki filem ini kerana gambarkan Melayu sebagai barua atau orang suruhan Jepun?

Watak Buang dalam Sarjan Hassan menggambarkan realiti zaman itu. Memang Jepun guna orang Melayu untuk bekerja dengan pemerintah Jepun.

Jepun tak guna org Cina, kerana antara dua bangsa ini mereka sangat bermusuhan antara satu sama lain.

Kenapa Jepun pilih Melayu, bukan Cina?

Kerana masa Jepun menjajah, mereka janjikan kemerdekaan. Asia untuk orang Asia katanya.

Slogan ini kena dengan kehendak Melayu yang mahu merdeka. Maka ramai Melayu yang setuju untuk tolong Jepun.

Kemudiannya baru kita tahu, penampar Jepun itu macam mana, kena minum air sabun itu macam mana dan kena pancung kepala itu dah tak ada makna.

Orang Cina di Malaya ketika itu pula, masih lihat Tanah Besar China sebagai tanah air mereka. Dan China masih berperang dengan Jepun sepanjang WW2.

Jadi polisi Jepun di Malaya adalah tindas semua orang Cina. Dan orang Cina pula angkat senjata melawan Jepun menyahut seruan negara asal mereka. Melawan Jepun bagi mereka adalah satu cara untuk membebaskan China dari penjajahan Jepun.

Benda ni kita akan mudah faham apa hubungkaitnya jika kita rajin membaca sejarah.

KESIMPULAN

Perkataan UMNO muncul 50 kali dalam buku teks ni. Komunis pula muncul 184 kali.

Tapi semua tentang UMNO adalah perjuangan kemerdekaan. Yang tentang komunis pula adalah tentang keganasan dan ancaman komunis.

Buku ini tidak ada puji atau puja komunis langsung. Bacalah kalau tidak percaya.

Pada pandangan kasar, kecoh tentang buku ini mungkin berpunca dari dua perkara:
1. Rasa tidak puas hati UMNO tidak didewakan sebagai pejuang kemerdekaan tunggal dan kita semua patut terhutang budi dengan UMNO.
2. Saja suka-suka nak fitnah PH kononnya manipulasi sejarah.

Semua ini sebenarnya projek membodohkan orang Melayu. Dan dalam projek pembodohan ini, bogeyman yang paling mudah untuk digunakan ialah komunis, PH dan tidak dilupakan DAP.

Kita sepatutnya belajar sejarah untuk jadi bangsa yang pandai dan ada jati diri, tapi UMNO lebih suka gunakan sejarah untuk membodohkan rakyat.

Bila sejarah digunakan untuk bodohkan rakyat, jangan kita merasa pelik bila negara lain maju tapi kita pula seakan mundur.

Buat saudara saudari semua, bacalah buku teks ini dulu sebelum melompat tidak ketahuan hala. Tuduhan bahawa PH perintah 22 bulan, manipulasi sejarah dan angkat komunis jadi pejuang kemerdekaan adalah satu fitnah dangkal.

Buku teks ini yang tulis dan siapkan adalah ahli akademik dan pakar sejarah, jangan fitnah usaha murni mereka untuk mileage politik agama dan bangsa yang penuh hipokrit itu.

Membaca jambatan ilmu. Malas membaca yang buat kita jadi bodoh.

Dan buku ini bukan satu jenayah. Jadi bodoh itu yang sepatutnya satu jenayah.

Komen