Menilai Keputusan PRN 2023

Dalam bola sepak kalau perlawanan berkesudahan 3-3, ianya dikira seri. Tapi dalam sesetengah kes apabila pemenang perlu ditentukan, maka kita akan ada masa tambahan dan seterusnya penentuan sepakan penalti untuk mencari pemenang.

Pilihan Raya Negeri 2023 yang baru berlangsung adalah satu momen luar biasa dalam politik kita. Luar biasa sebab belum pernah kita berdepan PRN serentak melibatkan 6 negeri di luar dari Pilihan Raya Umum.

Disebabkan ia luar biasa, maka ‘perlawanan’ ini bukanlah sesuatu yang biasa.

Sebab itu walaupun akhirnya keputusan seri 3-3 dan status quo dikekalkan, masih wajar untuk kita tentukan siapa pemenang sebenar seperti dalam perlawanan bola sepak yang bukan kebiasaan.

Apabila kedudukan terikat seri, kita terpaksa melihat kepada tie-breaker lain seperti jumlah kerusi DUN atau jumlah undi popular.

Jumlah Kerusi DUN

Jika jumlah kerusi DUN dijadikan ukuran, Perikatan Nasional (PN) jelas sekali merupakan pemenang dalam perlawanan PRN ini.

PN hanya mempunyai 85 kerusi DUN di lima negeri sebelum PRN. Satu-satunya negeri di mana PN tidak memegang sebarang kerusi DUN ialah Negeri Sembilan.

Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH+BN)  pula mempunyai 145 kerusi DUN di semua enam negeri. Dari 145 ini sebanyak 115 adalah kerusi milik PH dan baki 43 milik BN.

Pasca PRN, kelebihan ternyata memihak kepada PN apabila berjaya menambah sebanyak 61 kerusi menjadi 146 kerusi DUN di semua enam negeri. Bukan itu sahaja, PN sapu bersih Terengganu, menafikan majoriti 2/3 kepada PH+BN di Selangor dan berjaya akhirnya menyusup masuk ke Negeri Sembilan dengan merampas 5 kerusi DUN.

PH+BN pula kehilangan 46 kerusi selepas hanya mampu menang 99 kerusi DUN. Majoriti dari 99 kerusi ini dimenangi PH sebanyak 80 kerusi manakala BN hanya mampu menang 19 kerusi.

Jumlah Undi Popular

Walaupun PN jauh mendahului PH+BN dari segi jumlah kerusi DUN, namun dari segi undi popular kelebihan memihak kepada PH+BN.

Jumlah undi di semua enam negeri adalah sebanyak 6,856,344 undi.

PH memperolehi sebanyak 2,477,668 undi manakala BN pula memperolehi 921,804 undi. Digabungkan keduanya, undi kepada calon-calon PH+BN adalah sejumlah 3,399,472.

PN pula memperolehi sebanyak 3,382,455 undi manakala baki 74,417 undi pergi kepada parti lain seperti MUDA, PSM, PRM atau Bebas.

Dari segi peratusan, PH+BN mendapat 49.6% undi popular berbanding PN sebanyak 49.3%. Tetapi kelebihan peratusan dimiliki PH+BN hanyalah sebanyak 0.3% atau 17,017 undi.

Ianya sangatlah marginal.

Rumusan

Kedua belah pihak sebenarnya mendakwa mereka telah menang dalam ‘perlawanan’ ini walaupun status quo kekal seperti asal.

Saya cenderung untuk melihat kelebihan sebenarnya berpihak kepada PN walaupun calon mereka hilang deposit di 22 kerusi sedang PH+BN langsung tiada.

Sapu bersih Terengganu dan kejayaan menambah kerusi DUN di Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang adalah bukti kejayaan PN yang tidak boleh kita perkecilkan.

Kejayaan menafikan majoriti 2/3 di Selangor juga satu pencapaian yang bukan kecil anak kerana negeri ini sejak sekian lama dilihat sebagai kubu kuat PH selain Pulau Pinang.

Tetapi apa yang lebih luar biasa ialah keupayaan menembusi Negeri Sembilan. Harus diingat PN tiada kerusi DUN di negeri ini bahkan juga gagal menang sebarang kerusi parlimen di Negeri Sembilan dalam PRU yang lalu.

Kesimpulannya, PRN 2023 ini memperlihatkan Gelombang Hijau sebenarnya bertambah kuat dan semakin meluas.

PH+BN hanya ada masa lebih kurang 4 tahun dan 4 bulan sahaja lagi untuk bekerja dari sekarang bagi mengubah trend ini atau berdepan kesukaran dalam PRU tahun 2027 nanti.

Komen