Semalam negara tetangga kita, Indonesia telah dikejutkan dengan pemergian mantan presiden ketiga mereka Bacharudin Jusuf Habibie atau ringkasnya lebih intim dipanggil BJ Habibie. Beliau meninggal pada usia 83 tahun akibat masalah jantung.
Dalam sejarah kepresidenan Indonesia, BJ Habibie adalah presiden yang underrated dan selalu dilepas pandang atas dua faktor. Yang pertama kerana tempoh pemerintahan beliau yang singkat dan terpendek di antara semua presiden, iaitu selama 1 tahun dan 150 hari sahaja. Kedua kerana BJ Habibie dilantik menjadi presiden bukan melalui kemenangan pilihan raya, tetapi sekadar mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Suharto berikutan Krisis Kewangan Asia 1997 dan gerakan Reformasi.
Dua faktor ini bukan saja meletakkan BJ Habibie tidak sepopular Sukarno dan Suharto, bahkan juga menenggelamkan nama beliau berbanding empat lagi presiden Indonesia yang memerintah selepas BJ Habibie.
Namun begitu, latar belakang, kisah perjalanan BJ Habibie untuk bergelar presiden, legasi yang ditinggalkan beliau dan persoalan tentang apa yang mungkin beliau boleh lakukan untuk Indonesia jika diberi peluang menjadi presiden lebih lama akan membuatkan kita berfikir untuk memberikan hormat yang lebih lagi buat presiden ketiga negara republik itu.
BJ Habibie adalah presiden pertama Indonesia yang berasal dari luar Jawa. Lahir di Parepare, Sulawesi Selatan ketika era Hindia Timur Belanda, ayah beliau adalah dari suku Gorontalo manakala ibunya pula adalah suku Jawa. Dalam negara yang jawatan presiden dan politiknya sentiasa dimonopoli oleh etnik Jawa hingga Indonesia dituduh mengamalkan Jawanisasi atau meneruskan kesinambungan imperialisme Majapahit, pelantikan BJ Habibie selaku presiden adalah sesuatu yang di luar kebiasaan dan memecah tradisi. Walaupun ada yang berpandangan keluarbiasaan ini bisa terjadi akibat peletakan jawatan oleh Suharto dan diganti oleh BJ Habibie tanpa proses pilihan raya, namun perlu juga kita lihat bagaimana perjalanan politik beliau hingga bergelar presiden.
BJ Habibie dari muda adalah seorang yang bukan sahaja pandai tetapi genius. Dengan kebijakan ini beliau mendapat peluang melanjutkan pengajian di Jerman dalam bidang kejuruteraan. Sedari awal salah satu aspirasi BJ Habibie adalah untuk membangunkan industri kapal terbang di Indonesia kerana beliau percaya sebagai sebuah negara kepulauan yang luas, adalah penting untuk Indonesia memiliki upaya menghasilkan kapal terbang sendiri. Tesis beliau dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa membolehkan BJ Habibie diberi gelaran Doktoringenieur dan diberi tawaran kerja di Jerman.
Namun keperluan membangunkan tanah air sendiri membuatkan BJ Habibie pulang ke Indonesia, apatah lagi selepas mendapat seruan dari Suharto yang mahu membangunkan industri di Indonesia. Pada tahun 1976, BJ Habibie diberi tugas untuk mengetuai Industri Pesawat Terbang Nusantara (IPTN), syarikat kerajaan yang ditubuhkan khusus untuk membina pesawat terbang buatan Indonesia sendiri, seperti apa yang diimpikan oleh BJ Habibie sejak dulu. Dua tahun kemudian BJ Habibie dilantik sebagai Menteri Riset dan Teknologi, jawatan seterusnya dipegang oleh beliau selama 20 tahun hingga 1998.
Usaha BJ Habibie dan Indonesia membina kapal terbang sendiri terhasil apabila pesawat penumpang kecil, N-250 diterbangkan buat kali pertama pada tahun 1995. Cuma sayang sekali, ianya agak terlambat kerana situasi yang mencengkam Indonesia dua tahun kemudian. Krisis Kewangan Asia 1997 melanda dan projek kapal terbang terpaksa dibatalkan. BJ Habibie dilantik oleh Suharto sebagai Naib Presiden pada tahun yang sama, tindakan yang mengikut sesetengah pihak membuatkan Rupiah jatuh merudum akibat sentimen pasaran yang tidak yakin dengan pelantikan individu lulusan kejuruteraan ketika ekonomi Indonesia sedang gawat.
Tetapi dua bulan selepas melantik BJ Habibie sebagai Naib Presiden, Suharto terpaksa meletak jawatan Presiden Indonesia selepas 31 tahun dan 70 hari lamanya akibat desakan Reformasi. Kekosongan ini secara otomatis diisi oleh BJ Habibie dalam keadaan politik dan ekonomi Indonesia yang sedang bergelora.
Sebagai presiden, BJ Habibie melakukan perubahan dan pembaharuan yang selaras dengan desakan Reformasi pada waktu itu. Beliau memberikan kebebasan media, melonggarkan sekatan penubuhan parti-parti politik, mengurangkan penglibatan dan pengaruh tentera dalam politik serta memberi autonomi kepada wilayah-wilayah Indonesia. Tetapi dua tindakan BJ Habibie yang paling signifikan selaku Presiden adalah apabila memansuhkan isitilah Pribumi dan Bukan Pribumi serta bersetuju menganjurkan Referendum untuk Timor Leste memilih kemerdekaan atau autonomi.
Pun begitu, tindakan yang dibuat BJ Habibie selaku Presiden turut mengundang risiko tersendiri. Kemerdekaan Timor Leste dan usaha mengurangkan pengaruh tentera dalam politik membuatkan beliau hilang sokongan dari ABRI (Angkatan Bersenjata Republik Indonesia) dan hampir saja diancam kudeta. Dalam parti beliau sendiri iaitu Golkar, usaha reformasi oleh BJ Habibie dalam kerajaan mengakibatkan beliau hilang sokongan dari kelompok yang diketuai oleh Akbar Tandjung, pengerusi parti.
Pada bulan Oktober 1999 ketika perbahasan di Majelis Permusyawaratan Rakyat (MPR), ucapan akauntabiliti BJ Habibie yang menyenaraikan pencapaian beliau selaku Presiden ditolak oleh MPR dengan undi 355 berbalasa 322, selepas kelompok Akbar Tandjung dalam Golkar belot dan pihak tentera juga enggan menyokong BJ Habibie walaupun panglima mereka, Jeneral Wiranto telah ditawarkan jawatan Naib Presiden.
Kegagalan ini memaksa BJ Habibie menarik pencalonan beliau sebagai Presiden untuk pemilihan umum tahun 1999 dan menyaksikan berakhirnya era presidensi BJ Habibie yang singkat dan berusia hanya 1 tahun dan 150 hari sahaja.
Usai pemilihan umum 1999, Indonesia mendapat Abdurrahman Wahid atau Gus Dur sebagai Presiden ke-4 negara itu. Era presidensi beliau dipenuhi skandal dan kes rasuah, dan pada tahun 2001 Gus Dur selepas Tentara Nasional Indonesia (TNI) menempatkan 40,000 askar di Jakarta dan kereta kebal dengan meriam menghala ke Istana Presiden, MPR sebulat suara bersetuju melucutkan jawatan Presiden Gus Dur untuk diganti oleh Megawati Sukarnoputri.
Era presidensi BJ Habibie sebenarnya hadir dalam ketika Indonesia bergelora. Lantaran ia mewujudkan satu senario ‘what if’. ‘What if’ kalau BJ Habibie kekal sebagai presiden untuk beberapa tahun lagi dan beliau dapat menjalankan pelbagai lagi langkah atau polisi pembaharuan yang diperlukan Indonesia? ‘What if’ kalau selepas ekonomi pulih BJ Habibie dapat menghidupkan kembali industri kapal terbang Indonesia serta membawa negara itu ke arah penerapan sains dan teknologi seperti yang diimpikannya? ‘What if’ kalau BJ Habibie yang memimpin Indonesia memasuki alaf baharu dan bukannya Gus Dur?
Semua persoalan ini tiada jawapan yang pasti, melainkan hanya kita menduga sekadar mampu. Tapi bagi saya secara peribadi, mungkin jika BJ Habibie kekal sebagai Presiden untuk setidaknya 5 tahun lagi, Indonesia pasti lebih gemilang berbanding hari ini, sains dan teknologinya lebih ke hadapan serta mungkin mereka terlebih dahulu mempelopori penerbangan tambah murah dan Air Asia adalah milik mereka.
Begitulah bagaimana saya memandang tinggi pada BJ Habibie, Presiden selayaknya yang telah dipersiakan.
Selamat jalan Bapak Habibie, sudah sampai masa Bapak berehat dan selamat bertemu Ainun kembali.
Dan terima kasih kerana menggelar Singapura itu ‘the little red dot’.
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.