Mengapa Fatimah Menjadi Penghulu Wanita, Di Syurga?

TERDAPAT satu pertanyaan, mengapa Fatimah sampai boleh menjadi penghulu wanita di Syurga?

Di dalam tradisi Sunni, hadis riwayat Baihaqi menjelaskan Fatimah Zahra, puteri Rasulullah saw adalah antara wanita yang dinobatkan sebagai ratu di syurga kelak.

“Sebaik-baik muslimah syurga adalah Khadijah, Fatimah, Maryam dan Asiah.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Akan tetapi, sekiranya kita meneliti juga tradisi Sunni, kita akan mendapati yang kita mempunyai banyak sebab untuk mempercayai mengapa Khadijah, Maryam dan Asiah diangkat sebagai ‘penghulu’. Sebagai misalan, Khadijah adalah isteri Rasulullah saw yang telah banyak mengorbankan harta bendanya sebagai wanita pertama menyahut seruan Islam, maka aspek spiritual dan sosial baginda begitu jelas kelihatan. Khadijah dengan itu adalah pelindung Nabi Muhammad saw, dengan status dan harta bendanya. Manakala Maryam adalah bonda Nabi Isa alaihissalam yang aspek spiritual beliau tidak dapat disangkal lagi. Baginda mendedikasi sepenuhnya jiwa raga kepada Allah di mihrab sebelum dikurniakan Isa alaihissalam. Maryam juga menjadi wanita yang melindungi dan memberikan sepenuh kekuatan buat anakandanya. Maka fungsi rohani dan sosial Maryam juga tidak boleh dipertikaikan lagi. Peranan hebat Asiah juga sudah teruji. Sebagai pelindung kepada Nabi Musa alaihissalam kedudukan baginda sukar dinafikan. Baginda Asiah membesarkan Nabi Musa, dalam masa yang sama perlu menentang secara diam kezaliman Firaun, yang merupakan suaminya. Firaun adalah simbol kejahatan dalam semua agama dan peradaban, bayangkan Asiah adalah isteri seorang penjahat yang paling dahsyat dalam sejarah manusia.

Ketiga-tiga Khadijah, Maryam dan Asiah dengan itu mempunyai satu fungsi sosial yang besar, iaitu melindungi suara keimanan sejagat. Mereka semua melindungi utusan tiga agama samawi kelak. Khadijah adalah pelindung suaminya, utusan Allah dalam agama Islam. Nabi Isa kemudian menjadi simbol untuk agama Nasrani atau Kristian, selain Nabi Musa adalah rujukan agama Yahudi. Justeru nama-nama Khadijah, Maryam dan Asiah dapat dimengertikan menjadi penghulu wanita di syurga.

Akan tetapi, mengapa Fatimah? Adakah baginda menjadi penghulu semata-mata kerana baginda adalah anakanda atau puterinya Rasulullah saw? Jika kita merujuk tradisi sunni, Nabi Muhammad saw juga mempunyai puteri yang lain iaitu Zainab yang kemudian menikahi Abu al-Ash bin al-Rabi ‘, anak saudara Rasulullah dari jalur Khadijah. Juga Ruqayyah dan Ummu Qultsum yang berkahwin dengan Uthman bin Affan. Akan tetapi mengapakah hanya Fatimah sahaja terangkat sebagai penghulu wanita di syurga? Kenapakah ‘anak bongsu’ Nabi Muhammad menurut tradisi Sunni itu sahaja yang ditabalkan sebagai penghulu bersama-sama ibunya? Jika Khadijah, Maryam dan Asiah menjadi penghulu wanita di syurga kerana banyak menyumbang dan berkorban, dan punya satu kata kunci khas iaitu sebagai pelindung, apakah sebenar-benarnya peranan Fatimah Zahra? Mengapa sukar sekali mencari maklumat seputar Fatimah? Apakah peranan spiritual dan sosial Fatimah? Apa atau siapa yang Fatimah lindungi? Mengapa Fatimah kekal misteri untuk kita Sunni?

Di sinilah, peri pentingnya kita menjambatani tradisi Sunni dan tradisi Syiah. Tradisi Sunni tidak memberi tempat yang wajar untuk Fatimah. Tidak banyak yang kita ketahui mengenai Fatimah. Malah, sebetulnya, dengan jujur hampir tiada kisah sekitar Fatimah dalam naratif Sunni.

Hal ini sebetulnya menghairankan, dan juga merupakan satu kehairanan mengapa tiada sesiapa benar-benar mempersoalkan hal ini. Masakan Fatimah diberikan status penghulu tanpa merit yang setanding dengan ibunya, Khadijah; atau Asiah dan Maryam?

Fatimah tentu sahaja mempunyai kelebihan dan sumbangan, atau lebih tepat pengorbanannya yang melayakkannya menjadi penghulu wanita di syurga.

Akan tetapi apakah pengorbanan Fatimah? Apakah fungsi spiritual dan sosial Fatimah?

Sesungguhnya fungsi rohani dan sosial Fatimah Zahra hanya dapat dijawab menerusi tradisi Syiah. Ini bermakna tanpa tradisi Syiah, apa yang ada dalam tradisi Sunni sama sekali tidak lengkap.

Fungsi spiritual dan sosial Fatimah boleh ditelusuri pada himpunan riwayat yang diusahakan oleh Al-Majlisî. Seorang ilmuan Syiah yang mendedikasikan bab ketujuh dari 43 jilid kerjanya mengenai ‘penderitaan’ dan ‘nestapa’ Fatimah. Terdapat 50 hadis yang menjelaskan penindasan dan ketidakadilan yang dialami oleh Fatimah Zahra. Ketidakadilan ini membuatkan Fatimah berduka, dan menangis meratap yang membawa kepada keuzurannya, kewafatannya dan seterusnya pengebumian az-Zahra secara rahsia. Selain ada dorongan dan tuntutan untuk menghunjam dan menyumpah mereka yang telah membuatkan beliau sengsara.

Menurut Al-Majlisî hanya ada lima peratap.

  1. Âdam, yang menangisi syurga sehingga pipinya menjadi seperti lembah.
  2. Ya‛qûb, yang menangisi anaknya Yûsuf sehingga kehilangan penglihatan.
  3. Yûsuf, yang menangis di dalam penjara lantaran terpisah dari bapanya Ya‛qûb, sehingga menimbulkan kemarahan banduan lain lantaran tangisnya pada waktu siang dan malam.
  4. Fâtimah, yang tangisnya dek kewafatan Rasulullah saw, dan apa yang menimpa selepas baginda pergi menyebabkan penduduk Madinah telah merungut kepada Saidina Ali agar mendiamkan Fatimah. Oleh aduan penduduk Madinah itu, Fatimah terpaksa menangis di pusara. Yang terakhir, adalah peratap bernama,
  5. ‛Alî Zayn al-‛Âbidîn, Imam Syiah yang keempat dan merupakan anakanda Saidina al-Husayn, yang menangis selama 40 tahun oleh kejadian di Karbala, dan tidak pernah tidak menangis, saat dihidangkan makanan oleh teringatkan apa yang berlaku terhadap ayah dan keluarganya.

Al-Majlisî menyatakan tangisan Fatimah ini sudah diramalkan oleh Rasulullah saw, dan bukan merupakan satu khayalan yang diciptakan. Rasulullah saw dikatakan menangis di saat kematian tiba sehingga janggutnya basah. Terdapat sahabat yang bertanya mengapa baginda menangis, Rasulullah saw telah menjawab, ‘Aku menangis oleh keturunanku dan kejahatan yang umat lakukan terhadap mereka selepas ketiadaanku, dan aku dapat melihat bagaimana Fatimah diperlakukan dengan tidak adil, dan dia akan berteriak ‘O Abah’, akan tetapi tiada daripada umatku akan melindunginya. Dalam riwayat itu dinyatakan yang Fatimah mendengar tangisan Rasulullah saw itu, dan menangis. Nabi Muhammad kemudian mengatakan, ‘O anakku usahlah menangis’. Fatimah telah menjawab, ‘Aku menangis bukan kerana apa yang mereka lakukan terhadapku selepas kewafatanmu tetapi aku menangis kerana engkau akan pergi, wahai Utusan Allah’.’

Ini bermakna dalam hal ini Fatimah menangisi fungsi Nabi sebagai utusan Allah, bukan Nabi selaku ayahnya.

Dalam tradisi lain terdapat sebuah hadis yang terkenal dalam kalangan Syiah yang menyatakan, bahawa Fatimah akan dikerasi, dan ditindas. Ia membawa kepada kata-kata Nabi Muhammad saw yang terkenal dalam kalangan pengikut Syiah; ‘Sesiapa yang menyakitimu, menyakitiku; barang siapa yang membuat engkau murka, maka membuat aku murka; barang siapa yang membuatmu gembira maka menggembirakanku.’

Peranan spiritual dan sosial Fatimah terdapat pada ratap-tangisnya. Fatimah dikatakan menjadikan tangisan sebagai senjata, dan dakwah. Fatimah menangis di makam Khadijah, menangis oleh kelaparan dan kemelaratannya, Fatimah juga menangisi pembunuhan datuk saudaranya, Hamzah di Uhud dan kematian Ja‛far b. Abî Tâlib, suami Asmâ’ bt. ‛Umays. Fatimah menangis untuk mengingatkan umat terhadap apa yang umat lakukan kepada Rasulullah saw di hujung nyawa baginda. Semakin penduduk Madinah merungut oleh tangisan Fatimah, semakin Fatimah menangis. Baginda berhenti tertawa. Setiap hari tangisan Fatimah akan berganda dari hari sebelumnya.

Tangisan Fatimah malah menghentikan Bilal dari melakukan azan kerana baginda akan teringatkan Rasulullah saw. Akan tetapi, Fatimah tetap meminta Bilal melakukan azan dan tiap mendengar seruan azan, Fatimah akan kembali menangis. Fatimah menangis bukan kerana baginda tidak cukup tabah atau kuat oleh kewafatan ayahnya. Fatimah menangis kerana terdapat fungsi spiritual dan sosial padanya. Dalam tradisi Syiah, oleh tangisan Fatimah yang mengharukan itu, Jibril hadir kembali memujukkan az-Zahra. Setiap kata-kata bujuk Jibril itu dicatatkan oleh Saidina Ali yang dirujuk oleh tradisi Syiah sebagai (mushaf) Fâtimah, kata-kata esoteris yang diturunkan kepada setiap Imam.

Dalam tradisi Syiah juga disebutkan yang Fatimah juga menangis kerana membantah ketidakadilan yang berlaku selepas kewafatan Rasulullah saw oleh pengganti baginda. Dalam satu jawapan kepada pertanyaan Ummu Salamah, bagaimana Fatimah tidur di malam hari, az-Zahra menjawab yang baginda sukar melelapkan mata dan terjaga oleh duka dan sedih, iaitu oleh kewafatan Rasulullah dan pecah amanahnya kepimpinan umat setelah baginda Nabi tiada.

Saat Fatimah jatuh sakit dan dalam keadaan hampir kematian, baginda Zahra telah menyatakan kepada wanita Bani Hashim rasa murkanya oleh rampasan tanah Fadak. Perselisihan antara Fatimah dengan pengganti Nabi Muhammad saw mengenai Fadak ini boleh dirujuk dalam susunan Ibn Sa‛d menerusi Kitâb al-tabaqât.

Fadak merupakan satu isu penting menurut kaca mata Fatimah Zahra kerana ia bukan sekadar persoalan harta pusaka seperti yang ditafsirkan sesetengah pihak tetapi sesungguhnya adalah mengenai pecah amanah dan korupsi sebaik sahaja baginda Nabi wafat. Hal ini menurut Fatimah sangat menjolok mata kerana dakwah sebenar Nabi Muhammad saw ialah untuk membanteras korupsi dan pecah amanah. Bukan itu sahaja, penafian tanah Fadak untuk Fatimah Zahra dan keluarga Rasulullah saw bermakna secara ekonominya, keluarga Rasulullah telah dilumpuhkan. Dalam erti kata lain, untuk menjayakan sekatan politik kepembangkangan Saidina Ali, punca dan sumber ekonomi keluarga Rasulullah menerusi Fadak turut dilakukan.

Secara rohaninya, dalam tradisi Syiah, tangisan Fatimah menjadi satu perantara atau syafaat untuk masuk syurga. Hubungan tangisan Fatimah dengan ganjaran menangis iaitu ‘syurga’ sangat menonjol dalam tradisi Syiah. Status tangisan Fatimah dan tangisan untuk Fatimah, yang disebut sebagai syafaat di akhirat kelak ada diriwayatkan dalam banyak hadis Syiah.

Dalam satu hadis Syiah disebutkan yang apabila Rasulullah saw menyampaikan perkhabaran masa depan bahawa anak Fatimah, al-Husayn akan dibunuh, Fatimah telah menangis dan bertanya, bilakah ini akan berlaku? Nabi Muhammad saw telah menjawab, setelah pemergian daku, dirimu dan Ali. Fatimah semakin menangis dan bertanya, siapakah yang akan menangisi al-Husayn dek kerana baginda Nabi, dan Fatimah serta Ali selaku ibu-bapanya telah pun tiada. Rasulullah saw telah mengatakan wanita dari umatku akan menangis untuk wanita ahlul bait, manakala kaum lelaki dari umatku akan menangisi untuk lelaki dalam kalangan ahlul bait. Rasulullah saw menambah, yang perkabungan ini akan berulang-ulangan setiap generasi dan pada hari akhirat kelak Nabi Muhammad saw berjanji akan memberi syafaat kepada kaum lelaki itu manakala Fatimah akan memberi syafaat kepada kaum perempuannya (iaitu mereka yang menangis). Rasulullah saw juga mengatakan sesiapa yang pernah menangisi untuk ahlul bait, khususnya al-Husayn akan beroleh kegembiraan kerana diberikan ganjaran syurga.

Pemahaman mengenai hubungan Fatimah, tangisan dan syurga inilah yang membantu kita mengerti mengapa Fatimah menjadi penghulu wanita syurga kelak. Ia juga menjelaskan kepada kita peranan, sumbangan, dan pengorbanan Fatimah Zahra dalam meneruskan perjuangan Rasulullah saw iaitu menolak korupsi dengan cara baginda yang sangat tersendiri. Bahkan tangisan, yang menjadi simbol perlawanan dan bantahan az-Zahra itulah yang merakam fungsi spiritual dan sosial baginda sebagai penghulu wanita di syurga kelak.

Jelaslah sekarang keempat-empat wanita kudus ini iaitu Khadijah, Maryam, Asiah dan Fatimah dengan itu mempunyai satu fungsi sosial dan spiritual yang besar, iaitu meneruskan tradisi keimanan dan monoteisme, selain melindungi utusan keimanan sejagat. Fatimah malah adalah jambatan antara dunia dan alam akhirat. Maka peranannya sebagai sosok rohani dan sosial jauh lebih besar dan menyerlah.

Sudah tentu tulisan ini kontroversi kerana ia cuba memadukan tradisi Sunni dan Syiah untuk difahami. Seperti kata Ali Shariati, sosok Fatimah hanya dapat ditafsirkan dengan memahami tentang Fatimah itu sendiri. Hal ini sukar dilakukan jika kita, pengikut Sunni yang tulen tidak berani terbuka dan tertutup.

Semoga kita kelak akan beroleh perhatian daripada Fatimah Zahra.

Komen