Menanggapi Nasionalisme Dalam Sukan Sepak Bola

George Orwell, penulis novel dystopian ‘1984’ pernah menerbitkan sebuah catatan tentang nasionalisme pada tahun 1945. Tulisan berjudul ‘Notes on Nationalism’ itu mensyarahkan tentang maksud nasionalisme mengikut faham Orwell, dan mungkin boleh membantu kita dalam menanggapi bagaimana sukan sepak bola menjadi suatu manifestasi keghairahan manusia terhadap asal muasalnya.

Sebelum itu, molek kiranya kita mengucapkan tahniah kepada pasukan KL City FC atas kemenangan 2-0 ke atas pasukan JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia ke-100. Media sosial seakan berpesta dengan kekalahan skuad Harimau Selatan, yang meski menguasai permainan pada separuh masa pertama akhirnya tumpas dengan jaringan gol Zhafri Yahya pada minit ke-66, diikuti jaringan Paulo Josue hanya lapan minit berikutnya.

Kegigihan jurulatih JDT, Benjamin Mora – yang tampil segak siap bertali leher; merangka strategi permainan siap dengan papan putih di tepi padang, ternyata tidak cukup ampuh untuk ‘memakan lawan’ seperti yang disebutnya lebih awal dalam suatu sidang media.

Menteri Besar Kedah, Sanusi Mohd Nor tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan tahniah kepada pasukan yang telah berjaya membenam sang harimau sambil berceletuk, “Sapa ada gambaq rimau jalan tersipu-sipu?” diikuti serangkai emoji ketawa sakan.

Sanusi baru-baru ini berbalas ‘serangan’ dengan bos JDT, Tunku Ismail Idris; sehingga membawa kepada permohonan maaf oleh Pemuda PAS negeri Johor kepada Tunku Mahkota Johor itu. Kami bangsa Pulau Pinang yang tiada beraja, hanya melayan telatah Sanusi ini sebagai hiburan. Berani betul dia. Pastinya Sanusi tertawa besar melihat JDT kalah ‘tertomos’.

Namun, bukan hanya si Sanusi. Bahkan seluruh umat Malaysia yang tiada kena mengena dengan negeri Johor Darul Takzim juga turut bergembira. Kenapa agaknya?

Luaskan Kuasamu Johor

Di penghujung sebuah wawancara pada tahun 2017, Tunku Ismail dilaporkan berkata “It’s the national team of your country, not my country. I’m from Johor you know.”

Sejak dari itu, media sosial tidak pernah sunyi daripada jenaka tentang bagaimana rakyat negara ini perlu membawa pasport kalau mahu makan kacang pool Haji di Larkin, atau mee racun Batu Pahat. Briyani gam ‘dah ramai orang jual di Malaysia’, maka tak perlu ke Johor.

Malah di saat-saat kekalahan JDT pun, orang ramai terus berjenaka tentang bagaimana mereka sebagai rakyat Malaysia mestilah menyokong pasukan negara, berbanding pasukan negara Bangsa Johor.

Dalam eseinya, Orwell menulis bagaimana nasionalisme tidak boleh dipisahkan daripada iradat terhadap kuasa. Katanya tujuan para nasionalis adalah untuk mendapatkan lebih banyak kuasa dan prestij demi ‘bangsanya’.

Kata ‘bangsa’ dalam konteks ini merujuk kepada ‘nation’ atau tanah tumpah darah, induk punca segala leluhur, yang menurut Orwell adalah tabiat mengandaikan bahawa manusia boleh dan perlu diklasifikasi ‘seperti serangga’. Dari mana datangnya, rupa bentuk identitinya, kelas, keturunan, mazhab dan sebagainya.

Berbeza pula dengan patriotisme. Orwell lanjut membahaskan bahawa patriotisme itu adalah menumpah taat setia kepada sesuatu tempat dan gaya hidup tertentu, yang menurut seseorang itu adalah mazhab kehidupan terbaik di dunia. Namun seorang patriot tidak punya keinginan untuk memaksakan nilai-nilai tersebut ke atas yang lain. Patriotisme fitrahnya defensif; tidak kiralah dari sudut pandang ketenteraan atau kebudayaan.

Nasionalisme pula sebaliknya. Sepertimana sejarah telah memperlihatkan kepada kita bagaimana Jerman dan Jepun masing-masing cuba meluaskan kekuasaan dan nilai-nilai mereka melampaui sempadan negara masing-masing.

Seorang nasionalis, kata Orwell; adalah seseorang yang berfikir dalam kerangka perlumbaan atau pertandingan berprestij – justeru menumpukan kepada soal kalah menang, kejayaan dan penghinaan.

Ini sebabnya barangkali kenapa nasionalisme begitu laku apabila dijual dalam kempen-kempen pilihan raya. Juga tentu sekali laku apabila dijual dalam perlawanan sepak bola. Meski hanya dengan menang piala sempadan antara Endau dan Rompin tiada berganjak walau seinci.

Lalu kenapa nasionalisme dijual beli? Dijual orang politik dan dibeli para pengundi; atau dijual pasukan bola dan dibeli para ultras. Mudahnya kerana laba yang diraih daripada perniagaan nasionalisme ini ialah kekuasaan, dan tentunya kuasa mengundang kekayaan wang ringgit.

Bola sepak adalah perniagaan yang menguntungkan. Sebagaimana pilihan raya dan permainan kuasa juga adalah perniagaan yang menguntungkan, jika betul cara mainnya.

United Malays National Organisation

Umno adalah pertubuhan nasionalis. Parti Keadilan juga dahulu nasionalis, tetapi kini ia merakyat.

Umno mempermodalkan nasionalisme dalam rangka mengekalkan organisasinya di kerusi kekuasaan. Soal identitas Melayu, Islam, Raja-raja, tanah air dan segala yang berkaitan menjadi intipati mesej Umno kepada masyarakat, dengan kesedaran penuh bahawa modal-modal ini akan memberikan ROI (return of investment) yang lebih daripada mencukupi di peti-peti undi.

Ini sebabnya kenapa hari ini di saat rakyat sengsara mengikat perut lantaran kenaikan harga barang, jentera partinya mula bersurah tentang sekolah vernakular. Modus operandi yang sama turut dijalankan oleh parti selumbarnya, BERSATU melalui sayap pemudanya.

Mereka berbuat demikian kerana nasionalisme adalah barang yang sangat laku. Cuit sedikit sahaja, melompat habis semua. Lupa harga minyak masak naik berganda-ganda.

Lalu apakah upaya parti-parti politik yang lainnya untuk memasarkan idea mereka, di hadapan pasaran pengguna yang lebih mengutamakan soal hati berbanding akal?

Bincangkan. 25 markah.

Komen