Republik Singapura menyambut hari kebangsaan mereka pada 9 Ogos lalu. Sambutan tahun ini tidaklah semeriah seperti kebiasaan kerana wabak Covid-19. Tarikh itu dipilih sebagai hari kebangsaan kerana ia memperingati detik Singapura berpisah daripada Malaysia.
Tetapi Malaysia juga wajar memperingati peristiwa pemisahan itu kerana tarikh itu bukan saja membentuk identiti Singapura tetapi turut memberi kesan pada jati diri negara ini, ia mengubah bentuk projek Malaysia yang ditubuhkan pada 16 September 1963.
Dalam hal ini, boleh dilihat konsep negara Singapura, bukan saja berkait dengan Malaysia tetapi juga Indonesia dan Brunei. Singapura boleh dilihat sebagai “Malaysia kedua” , Malaysia pula adalah “Indonesia kedua” dan Brunei adalah “Malaysia ketiga”. Apa yang dimaksud di sini adalah dari segi konsep kenegaraan.
Untuk jelas mengenai perkara ini, cuba lihat Indonesia sebagai negara yang berdiri atas bekas Hindia Timur Belanda. Maka apabila gagasan Malaysia mengikut jejak Indonesia, ia merupakan pewaris tanah jajahan Britain di kepulauan Melayu iaitu merangkumi Malaya British, termasuk Singapura dan Borneo British. Maka Malaysia menjadi “Indonesia kedua” tetapi versi British.
Kunci asas pada pembentukan Malaysia adalah Singapura. Asasnya Singapura mahu bergabung dengan Malaya untuk kelangsungan hidup politik dan ekonominya. Akhirnya kerana bimbang ketidakseimbangan kaum, maka gagasan Malaysia ditubuhkan.
Perjuangan bagi mewujudkan Malaysia itu dibawa serius oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) sehingga membaku dalam bentuk konsep Malaysian Malaysia. Sebab itu apabila Singapura dikeluarkan daripada Malaysia, gagasan ini terus dibawa oleh PAP, walaupun Singapura sudah bukan sebahagian daripada Bangsa Malaysia. Sebab itu konsep Republik Singapura itu boleh dianggap sebagai “Malaysia kedua.” Sementara idealisme Malaysian Malaysia diteruskan oleh bekas ahli PAP di negara ini yang menubuhkan Parti Tindakan Demokratik (DAP). Kini slogan Malaysian Malaysia sudah tidak digunakan oleh parti itu.
Brunei pula adalah sebuah negara yang banyak peminat terutama di kalangan orang Melayu di Semenanjung Malaysia. Sistem Beraja Melayu-Islam di negara itu dilihat lebih memenuhi citra orang Melayu. Tentunya Malaysia tidak dapat mengamalkan sistem seperti di Brunei. Tetapi sekurang-kurangnya ia mencerminkan konsep negara Brunei itu sebagai “Malaysia ketiga.”
Walaupun terpisah sebagai negara berdaulat, Malaysia, Singapura dan Brunei boleh dianggap sebagai pewaris Malaya British dan Borneo British seperti mana Indonesia mewarisi Hindia Timur Belanda.
Dengan keluarnya Singapura daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, ia menghentikan aspirasi dan impian awal dan asal Persekutuan Malaysia yang diperjuangkan dengan penuh semangat, keringat dan air mata pengasas-pengasasnya.
Pada detik-detik Singapura akan dikeluarkan daripada Malaysia, entiti politik ini hampir terburai. Bayangkan jika Singapura berjaya meyakinkan Sarawak dan Sabah untuk mengikutinya. Maknanya Malaysia akan wujud dengan dianggotai oleh Singapura, Sarawak dan Sabah tanpa Malaya.
Tetapi perkara itu tidak berlaku dan Malaysia terus wujud walaupun tanpa Singapura. Namun tanpa Singapura, Malaysia tidaklah seperti apa yang diharapkan ketika ia mula ditubuhkan pada 16 September 1963. Namun, Malaysia yang muncul selepas 9 Ogos 1965 tidak serupa dengan konsep asal. Sebab itu tarikh 9 Ogos itu bukan saja penting bagi Singapura tetapi juga Malaysia.
Jadi gagasan asalnya ialah Malaysia merangkumi Malaya, Singapura, Sarawak, Brunei dan Sabah. Tetapi apabila Brunei tidak menyertainya, maka Malaysia tidaklah menjadi pewaris Malaya British dan Borneo British sepenuhnya seperi mana Indonesia mengambil Hindia Timur Belanda.
Sungguhpun begitu, Malaysia tanpa Brunei tetap merupakan gagasan dua wajah: revolusioner dan reaksioner. Apa yang dikatakan revolusioner adalah tiga asas projek Malaysia. Revolusioner di sini bermaksud mempunyai keadaan yang benar-benar berbeza daripada sebelumnya. Pertama, kesetaraan warga negara. Maknanya semua warga negara tanpa mengirau kaum dan tempat tinggal adalah setara. Kedua, demokrasi dan kebebasan. Ketiga, progresif atau berdaya maju. Malaysia tidak seperti Malaya mahu muncul sebagai sebuah negara besar dan penting di Asia Tenggara. Walaupun tidak setanding dengan Indonesia, tetapi mampu berperanan penting di rantau. Maknanya lebih daripada Malaya yang boleh dilihat hanya sebuah kumpulan negeri Melayu.
Reaksioner pula bermaksud bahawa kewujudan Malaysia merupakan reaksi kepada revolusi di rantau ini. Revolusi di sini merujuk pada Revolusi Indonesia yang melahirkan Republik Indonesia. Sementara Revolusi Indonesia adalah sebahagian daripada gerakan anti-imperialisme dan anti-kolonialisme global pimpinan Soviet Union.
Pada tahun 1960, Darurat telah berjaya ditamatkan di Malaya dengan Parti Komunis Malaya (PKM) disudutkan ke Thailand Selatan. Tindakan reaksioner pentadbiran British yang melaksanakan demokrasi melalui pilihan raya tahun 1955 dan 1959 serta memberi kemerdekaan pada Malaya pada tahun 1957 telah menyelamatkan negara ini daripada jatuh ke tangan komunis. Untuk mengukuhkan lagi kedudukan negara, dasar-dasar pembangunan luar bandar telah menumpulkan tarikan rakyat terhadap fahaman komunisme.
Tetapi keadaan ini berbeza di Singapura. Pengaruh PKM di pulau itu amat kuat dan mampu mengambil alih kuasa di situ walaupun melalui pilihan raya. Jika Singapura jatuh ke tangan komunis, pulau itu boleh menjadi Cuba bagi Asia Tenggara yang menarik sama Malaya dan Indonesia. Ini kerana kedudukan Singapura adalah strategik. Maka sebagai reaksi bagi menghalang komunisme, satu tindakan politik alternatif perlu dilakukan. Sebuah parti politik yang progresif ditubuhkan, maknanya memenuhi tuntutan komunisme seperti kesetaraan warga negara, kemerdekaan, keadilan sosial dan kemakmuran. Dalan pada itu gerakan itu mesti memberi tawaran lebih baik daripada komunisme iaitu kebebasan, demokrasi dan pengekalan jati diri tradisi rakyat. Maka itulah peranan PAP untuk menyaingi PKM dan sekutu-sekutunya.
Maka dari situlah Singapura merdeka pada 31 Ogos 1963 dan bergabung bersama Malaya, Sarawak dan Sabah untuk membentuk Malaysia. Peranan Singapura adalah penting bagi menjayakan Malaysia yang progresif, demokratik dan antikomunis untuk melawan Indonesia.
Seperti kata Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur adalah ibu negara, maka Singapura adalah “New York” Malaysia. Azamnya adalah untuk menjadikan Malaysia maju seperti Amerika Syarikat dan menandingi Indonesia yang mahu mengikut Soviet Union.
Maka tidak hairanlah Indonesia melancarkan Konfrontasi terhadap Malaysia. Sementara Filipina pula menuntut Sabah. Di Sarawak, Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) dan Parti Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) mengangkat senjata untuk menggagalkan Malaysia dan menubuhkan negara Kalimantan Utara yang terdiri daripada Sarawak, Brunei dan Sabah.
Sejarah menunjukkan Indonesia bukan saja gagal dalam Konfrontasi mereka, tetapi pemerintah Jakarta dapat dikalihkan daripada menjadi negara pro-komunis kepada pro-Amerika. Bukan saja Indonesia tidak lagi menjadi ancaman kepada Malaysia, Singapura juga selamat daripada komunisme.
Asas pada Malaysia adalah Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu, yang mana gagasannya adalah sebuah negara berakar pada Kesultanan Melayu, yang merupakan pengubahsuaian dan kompromi pada Malayan Union. Sebab itu hari kebangsaan Malaysia ditetapkan pada 31 Ogos 1957, tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu untuk menegaskan bahawa ia adalah asas pada Malaysia. Maka gagasan Malaya ini diperluaskan kepada Singapura, Sarawak dan Sabah.
Dalam pada itu, Malaysia itu berbeza daripada Malaya. Walaupun orang tidak menyebut Bangsa Malaya, tetapi negara ini mewujudkan Bangsa Malaysia yang terdiri daripada warga negara setara. Dengan menyedari bahawa Bahasa Jiwa Bangsa, Bangsa Malaysia ini menggunakan Bahasa Malaysia. Sementara dari nama wilayah, nama Tanah Melayu dan Malaya ditiadakan dan digantikan dengan Malaysia Barat, terdiri daripada Malaya dan Singapura, sementara Malaysia Timur pula adalah Sarawak dan Sabah. Seperti nama Malaya, istilah Borneo juga ditiadakan. Borneo hanya menjadi nama pulau besar yang di dalamnya turut ada Kalimantan dan Brunei.
Setelah Singapura dikeluarkan daripada Malaysia, istilah Malaysia Barat sudah tidak sesuai kerana ketiadaan pulau itu. Tetapi untuk mengembalikan nama Malaya atau Tanah Melayu juga tidak sesuai. Maka dinamakannya Semenanjung Malaysia. Apabila sudah tiada Malaysia Barat, maka tiadalah juga Malaysia Timur. Negeri-negeri itu hanya disebut sebagai Sarawak dan Sabah.
Sekali lagi teras Malaysia disumbangkan oleh Malaya dan Tanah Melayu. Tidak ada Bangsa Malaya atau Bangsa Melayu, yang ada hanyalah Bangsa Malaysia. Tidak disebut Bahasa Malaya atau Bahasa Melayu, yang ada hanyalah Bahasa Malaysia. Tidak ada Malaya atau Tanah Melayu, yang ada ialah Semenanjung Malaysia.
Satu lagi yang menyebabkan gagasan Malaysia adalah revolusioner adalah kaitannya dengan Indonesia. Republik Indonesia diisytiharkan pada 17 Ogos 1945 dan diperjuangkan melalui Revolusi Indonesia, jelas gagasan negara itu adalah suatu yang revolusioner, mewujudkan sebuah entiti politik baharu dengan konsep Bangsa Indonesia yang bertutur Bahasa Indonesia. Ia adalah sebuah republik, meletakkan semua warga negaranya setaraf, terlepas daripada feudalisme zaman silam dan kolonialisme Hindia Timur Belanda.
Republik Indonesia ditubuhkan sebelum munculnya gagasan Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu. Tetapi pada detik-detik genting bagi mempertahankan kemerdekaan Indonesia, ada usaha di kalangan nasionalis Malaya dari kalangan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang mahu menggabungkan Tanah Melayu dengan Indonesia. Usaha itu gagal kerana para pemimpin Indonesia mahu menumpukan penubuhan republik itu di atas runtuhan Hindia Timur Belanda.
Namun dengan penubuhan Malaysia, aspirasi nasional untuk mewujudkan sebuah negara besar juga tercapai. Walaupun Malaya tidak dapat bergabung dengan Indonesia, kejayaannya mendirikan negara bersama wilayah Sarawak dan Sabah cukup untuk menjadikan Malaysia berdiri tegak di tengah-tengah Asia Tenggara.

Zin Mahmud adalah bekas wartawan Utusan Malaysia, Harian Watan dan Harakah. Pernah menerbitkan majalah Dunia Islam. Bukunya, Ideologi! Sebuah Memoir diterbitkan oleh Republik Buku. Kini beliau adalah kolumnis portal berita Free Malaysia Today dan akhbar mingguan Wilayahku.