Hangat diperkatakan sekarang tentang satu kes cabaran perlembagaan oleh Nik Elin Zurina lawan kerajaan negeri Kelantan.
Cabaran perlembagaan ini terkait dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang telah diwartakan pada 31 Disember 2020.
Notis usul cabaran perlembagaan ini telah difailkan pada 20 Mei 2022, mendapat kebenaran mahkamah pada 30 September 2022 dan seterusnya petisyen difailkan pada 13 Oktober 2022, semuanya ketika era kerajaan Perikatan Nasional.
Apa yang dicabar oleh Nik Elin Zurina melibatkan 20 dari 68 seksyen atau peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Persoalan yang bermain di fikiran orang ramai sekarang ialah, apakah keperluan seksyen-seksyen terlibat dicabar di mahkamah?
Apa yang sebenarnya berlaku ialah pertindihan seksyen-seksyen terlibat dengan Undang-undang Persekutuan sedia ada kerana wujud peruntukan perundangan yang sama di peringkat persekutuan.
Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa jika terdapat undang-undang negeri yang tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka ia adalah tidak sah dan terbatal.
Harus diingat, undang-undang persekutuan mengatasi undang-undang negeri dan ianya dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, yang merupakan undang-undang tertinggi (supreme law) di negara kita.
Cabaran perlembagaan oleh Nik Elin Zurina bukanlah satu ancaman kepada syariah, tetapi lebih kepada merungkaikan kekusutan akibat pertindihan yang berlaku dan sebagai satu cara mengharmonikan antara dua sistem perundangan di Malaysia.
Kita seharusnya menaruh kepercayaan kepada sistem kehakiman negara dan berpatah kembali kepada Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.