Kisah negara dirompak atas nama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah satu perubahan besar buat setiap individu dan rakyat Malaysia untuk bangkit menolak penyelewengan duit dan kuasa pemimpin negara.
Saya masih ingat, bermula pada tahun 2014 ke atas, pendedahan skandal 1MDB satu per satu, termasuk gambar individu bernama Jho Low sedang berpesta dengan Paris Hilton, telah membuka mata ramai anak muda tentang kelemahan sistem perundangan dalam mengekang gila kuasa dan wang pemimpin berprofil tinggi.
Kebimbingan ini membawa anak muda aktif berpatisipasi dalam membongkar skandal 1MDB secara menyeluruh. Dialog dan forum terbuka dilaksanakan anak muda walaupun berdepan tekanan pihak berkuasa. Turun ke jalanan untuk menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditangkap, menjadi satu acara bulanan buat anak muda ketika itu.
Uniknya, kebanyakan anak muda ketika itu bukan menentang atas faktor parti politik, tetapi atas kesedaran untuk menghentikan sikap melampau pemimpin yang menjatuhkan maruah negara sehingga digelar negara perompak atau Kleptokrasi.
Hasil kebangkitan anak muda dapat dizahirkan dengan tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Najib Razak dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Namun sejak dari era Malaysia Baharu itulah, pandangan anak muda sering diketepikan. Kelembaban menjatuhkan hukuman kepada perasuah cukup mengecewakan anak muda.
Keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman Najib Razak hanya menambah perit buat individu dan anak muda. Keputusan ini amat mengejutkan ramai pihak di tengah-tengah perang salah guna kuasa dan kekayaan yang dilancarkan kerajaan perpaduan ke atas kluster Tun.
Kerajaan seperti hilang kompas moral dalam memahami pendirian anak muda dan rakyat yang menolak pemimpin tidak berintegriti. Lalu kebanyakan rakyat bertanya “apakah erti melawan rasuah dan salah guna kuasa di Malaysia jika Najib Razak mudah mendapat pengampunan?”
Penjelasan Menimbulkan Persoalan
UMNO dan keluarga Najib Razak mahu pengampunan penuh. Sementara penyokong Pakatan Harapan (PH) dan badan masyarakat sivil mahu Najib melalui hukuman penuh. Keterangan kerajaan untuk mendamaikan semua pihak tidak berkesan dan hanya menimbulkan lebih banyak persoalan penting.
Pertama, apakah rasional permohonan pengampunan ini dibincangkan sedangkan kerajaan perpaduan baru setahun di Putrajaya. Meskipun proses pengampunan ini mengikut prosedur, tetapi kerajaan perpaduan dilihat terburu-buru dan gopoh dalam memberi penjelasan tentang keputusan ini.
Ada yang mendakwa keputusan ini adalah pakej untuk memastikan kestabilan kerajaan perpaduan untuk tempoh jangka panjang. Ini masa terbaik untuk melaksanakan pengampunan secara berperingkat disebabkan tempoh tamat penggal kerajaan masih berbaki empat tahun lagi. Logiknya, kerajaan seperti mempunyai masa untuk mengawal kesan buruk dalam tempoh ini.
Kedua, apakah nilai siasatan dan fungsi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mereka yang didakwa melakukan penyelewengan boleh dimaafkan kerana ‘jasa’ kepada negara? Apakah kerja keras SPRM memerangi rasuah dalam kes berprofil tinggi akan dipatahkan dengan menjual jasa kepada negara sebagai ganti penyelewengan?
Pendirian ini cukup membimbangkan dan bakal memberi kesan kepada proses siasatan dan dakwaan secara bebas, khususnya buat pemimpin negara yang pernah dijatuhkan hukuman dengan isu-isu integriti.
Dari sudut yang berbeza, pendirian ini memberi jaminan kepada golongan elit, termasuk kluster Tun, untuk lepas dari pendakwaan kerana jasanya boleh dipajak untuk meringankan hukuman salah lakunya.
Persoalan ini tidak seharusnya dijawab dengan mentera politik, kononnya Najib Razak masih ada kes mahkamah yang lain dengan hukuman lebih berat. Ada pula cerita yang membicarakan peranan ‘kuasa mutlak’ dalam membuat pengampunan orang yang bersalah tanpa merujuk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Apakah akan ada fasa kedua pengampunan untuk mengurangkan hukuman dan denda Najib Razak atau beliau bakala mendapat pengampunan penuh? Walau apa pun berlaku, kedua-dua pilihan ini akan menimbulkan kekecewaan rakyat terbanyak.
Akauntabiliti Dan Kejujuran Penting
Ahli politik dan pemimpin negara harus sedar rakyat kini amat menitik beratkan akauntabiliti dan kejujuran dalam setiap keputusan yang dibuat kerajaan. Ini bukan zaman di mana rakyat tidak tahu atau tidak peduli akan apa yang berlaku dalam pentadbiran negara. Helah dan jawapan politik yang cuba menekan pengkritik dan kebebasan bersuara hanya menjejaskan kepercayaan rakyat kepada institusi negara.
Kepercayaan rakyat ini sukar ditukar ganti dengan jasa pemimpin negara yang bertimbun-timbun. Kecuaian dan amalan tidak jujur pemimpin hari ini hanya mendalamkan lagi luka dan kekecewaan rakyat terhadap keadilan undang-undang negara bagi mengekang masalah penyelewengan yang berlaku melibatkan orang atasan.
Seruan untuk melaksanakan reformasi institusi adalah satu usaha yang tidak boleh dilengahkan lagi. Bayangkan sahaja, dengan kekurangan undang-undang yang ada hari ini, mana-mana parti dan pemimpin negara yang menjadi kerajaan mempunyai kuasa menyiasat dan mendakwa musuh politik, termasuk membebaskan pesalah yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.
Sebab itu, usaha membebaskan peranan peguam negara dan pendakwa raya, meletakkan SPRM dibawah pengawasan parlimen sepenuhnya, meningkatkan integriti penjawat awam, dan meminda akta-akta yang boleh membungkam kebebasan bersuara rakyat yang peduli akan isu-isu integriti negara harus menjadi agenda utama bagi menyelamatkan negara daripada penyelewengan dan salah guna kuasa pemimpin kerajaan.
Normalisasi memberi jalan mudah kepada pemimpin dan individu yang melakukan kesalahan yang mencemarkan maruah negara harus diatasi serta-merta. Pembangunan ekosistem perundangan negara yang lebih adil harus ditegakkan pemimpin, rakyat, dan golongan muda agar nilai integriti tanah air dapat dipertahankan. Jika tidak, Malaysia akan terus dipergunakan pemimpin tidak bertanggungjawab dan golongan muda akan terus skeptik akan kemampuan pentadbiran negara dalam mengangkat prinsip integriti.
Fakhrurrazi Rashid berkelulusan Kajian Politik dan Pemerintahan di UNIMAS, Sarawak. Orang panggil Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia. Bapa muda kepada Aleesa yang peduli dengan nasib generasi akan datang. Menulis untuk mengganggu pemikiran orang supaya berfikir dan mengkritik.