Mandat PRU15 Untuk Siapa?

4 Ogos lalu adalah hari terakhir mesyuarat kedua Dewan Rakyat. Boleh dikatakan, kejayaan utama sidang kali ini berkisar tentang pindaan perlembagaan Persekutuan untuk menghalang Ahli Dewan Rakyat melompat parti yang mendapat sokongan majoriti lebih dua pertiga.

Tetapi, tumpuan utama kerajaan Dato Sri’ Ismail Sabri Yaakob bukanlah berkisar tentang pindaan ini sahaja. Mesej utama setelah persidangan Parlimen ini berakhir adalah Malaysia sudah memasuki fasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hujah ini bertambah kukuh apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah meluluskan pindaan perlembagaan UMNO untuk membenarkan parti itu menangguh pemilihannya tidak melebihi enam bulan selepas PRU15.

Jelas kelihatan bahawa Ismail Sabri sebenarnya sudah berjaya masuk perangkap Kluster Mahkamah. Perkara ini sedikit sebanyak menggembirakan kem Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Dato’ Sri Najib Razak untuk merebut kuasa ke Putrajaya semula.

Bubar Parlimen?

Kebelakangan ini, Ismail Sabri cuba menjadi ‘anak jantan’. Pertama, menolak kerjasama MoU dengan Pakatan Harapan (PH). Kedua, meminggirkan permintaan Perikatan Nasional (PN) untuk memberi mereka jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Cara ini juga membolehkan Ismail Sabri mengumpul pengaruh di dalam partinya untuk menjadi Presiden dan seterusnya Perdana Menteri buat UMNO sekiranya menang PRU15.

Tetapi, apakah cita-cita Ismail Sabri itu mampu dilaksanakan selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan semula?

UMNO sedang belajar daripada kesilapan. Teori yang menyatakan lebih lama tangguh PRU, lebih banyak UMNO rugi nampaknya menjadi. Kini, UMNO tidak mahu mengulangi kesilapan dilakukan Najib Razak yang lambat memanggil PRU14 sehingga BN hilang Putrajaya.

Keyakinan Ismail Sabri untuk membubarkan Parlimen lebih awal mungkin berpandukan beberapa faktor. Pertama, sokongan Kluster Mahkamah dan parti kepadanya kian meningkat. Kedua, kemenangan besar BN di pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Kedua-dua kekuatan ini sudah membuktikan UMNO/BN mempunyai kelebihan jika PRU15 diadakan segera. Dan, ia juga cukup untuk Ismail Sabri meminggirkan tekanan daripada PN dan PH yang kini terkapai-kapai dalam memperkemaskan jentera mereka. Jika PN mendesak untuk menarik sokongan sekalipun, Perdana Menteri boleh membubarkan Parlimen.

Dengan kes Najib Razak dan Zahid Hamidi masih berlangsung di mahkamah, Ismail Sabri dilihat menjadi pemimpin yang berkuasa di dalam UMNO. Perkembangan terbaru dalam ‘Top 5’ UMNO menunjukkan Zahid Hamidi tidak mempunyai masalah dengan Ismail Sabri.

Tidak Semuanya Indah

Namun, tidak semua perkara yang berlaku ini memberi kelebihan kepada Ismail Sabri. Pertama, Ismail Sabri bukan calon Perdana Menteri dan Presiden yang ideal buat UMNO. Kelesuan Ismail Sabri dalam menguruskan ekonomi dan politik negara hari ini menunjukkan perbezaan ketara kemampuan beliau dengan Najib Razak sewaktu menjadi Perdana Menteri. Realiti ini turut diketahui oleh Ismail Sabri.

Pemimpin seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohamad Hassan yang popular dalam parti dan diterima kem Zahid-Najib, boleh menjadi pesaing hebat kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan Presiden jika UMNO menang PRU15.

Kedua, Ismail Sabri berhadapan dengan desakan membebaskan pemimpin UMNO, khasnya Zahid Hamidi dan Najib Razak jika UMNO menang PRU15. Ini merupakan tugas pertama Perdana Menteri dari UMNO selepas PRU15 sebagai balas budi kepada sokongan Zahid – Najib.

Petunjuk ini jelas menggambarkan UMNO masih mengharapkan Najib Razak membuat come back menjadi Perdana Menteri. Tidak hairan jika peristiwa Poster Boy di Johor akan berulang sekali lagi di Putrajaya dan Ismail Sabri bakal menjadi mangsanya. Persoalannya, apakah perkara ini mustahil dilakukan?

Hakikatnya, peluang Najib Razak bertanding dalam PRU15 agak tipis. Dengan kes mahkamah belum selesai, isu-isu teknikal boleh dibangkitkan untuk membatalkan pencalonan Najib Razak yang menyebabkan UMNO hilang kerusi.

Sekiranya UMNO kembali ke Putrajaya, mereka boleh sahaja menggugurkan kes mahkamah Najib Razak. Kalau Najib ke penjara, proses pengampunan diraja juga dilihat sebagai pendekatan terbaik.

Kemudian selepas Najib Razak bebas, kerusi Parlimen Pekan boleh dikosongkan dan pilihan raya kecil (PRK) diadakan bagi membolehkan Najib Razak menjadi Ahli Parlimen semula. Perkara ini tidak bercanggah dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menghalang Ahli Dewan Rakyat menukar parti.

Apabila perkara ini berlaku, Najib Razak berpeluang menerajui Putrajaya dan kembali menjadi Presiden UMNO. Tetapi, kesemua percaturan ini berbeza sama sekali jika Najib Razak terlepas daripada hukuman mahkamah sebelum PRU15 dan terdapat desakan daripada akar umbi UMNO untuk melihat kepimpinan baharu.

Mandat Untuk Kleptokrat?

Melihat situasi ini, mandat yang UMNO inginkan pada PRU15 bukan tentang kestabilan, tetapi lebih kepada usaha membebaskan Kluster Mahkamah untuk kembali ke Putrajaya. Meskipun pandangan ini agak bias, tetapi jumlah akar umbi yang mahukan perubahan dalam UMNO hanyalah minoriti dan tidak memberi kesan untuk menggugat kelicikan Najib Razak.

Untuk mengatakan UMNO sukar dicabar pada masa kini tidak tepat. Parti tersebut sedang ketandusan pemimpin yang boleh menerajui negara dengan prinsip integriti dan jujur. Ismail Sabri mungkin menjadi Perdana Menteri sekali lagi, tetapi dia terpaksa memilih pemimpin UMNO dari Kluster Mahkamah memenuhi jemaah kabinetnya.

Dalam detik ini, pengundi sepatutnya bersedia menghadapi PRU15 pada waktu yang terdekat. Suka atau tidak, PRU15 bakal menjadi peristiwa penting untuk menentukan hala tuju Malaysia yang kini bergelut dengan cabaran ekonomi dan geopolitik yang tidak menentu.

Semua ini terpulang kepada pengundi, sama ada ingin memberi mandat kepada UMNO pada PRU15 untuk membebaskan Kleptokrat dan konco-konconya berkuasa semula atau memilih kerajaan yang benar-benar berfungsi demi kebaikan negara dan rakyat.

Komen