Mahathirisme

67 TAHUN, angka dan dekad yang boleh dikatakan agak besar dari perspektif dan kaca mata seorang manusia, apalagi angka ini juga adalah dalam julat anggaran jangka hayat individu di negara ini.

Namun untuk skala sebuah negara, angka ini teramatlah kecil dan jika dibandingkan dengan tubuh badan manusia, diibaratkan seperti seorang bayi yang merangkak dan sedang melalui fasa untuk berdiri dan berjalan.

Begitulah lensa yang harus kita guna apabila membayangkan garis masa negara Malaysia sejak mencapai kemerdekaan, 67 tahun yang lalu. Kemerdekaan dalam erti kata bebas mentadbir dan membina masyarakat berasaskan prinsip dalam perlembagaan yang digubal mengikut demografi, toleransi dan kemajmukan masyarakat.

Menyingkap semula sejarah negara pasca merdeka; Malaysia, sudah 15 kali Pilihan Raya Umum diadakan, dan sembilan Perdana Menteri bersilih ganti mengepalai negara yang membangun ini. Tidak jauh beza dengan negara Ghana, yang mencapai kemerdekaan tahun yang sama dengan Malaysia, dan setakat ini sudah mempunyai 11 orang Presiden selaku ketua negara di Barat Afrika ini.

Akan tetapi ada satu perkara yang suka atau tidak kita harus terima, selama 67 tahun negara ini menyusuri pelbagai ranah dan cabaran di peringkat antarabangsa, kita sebenarnya masih di dalam era “Mahathirisme”.

Dari Perdana Menteri yang pertama sehingga kini, drama dan episod yang berkisarkan “Mahathirisme” ini sudah mempunyai beberapa klimaks dan jika boleh diumpamakan seperti sebuah drama yang mempunyai pelbagai plot twist dan penonton tidak akan mampu menjangkakan bagaimanakah pengakhirannya untuk setiap konflik yang timbul dalam drama ini.

Sudah empat tahun berlalu sejak Tun Mahathir memegang tampuk pemerintahan buat kali kedua, bagaimana yang dikatakan negara masih dibelenggu dengan “Mahathirisme”?

Mahathirisme bukanlah satu idea yang hanya berkisar pada satu individu, tetapi merangkumi pelbagai aspek dari segenap ruang fizikal dan idea, terdiri dari kumpulan politikus, aktivis, taikun-taikun bahkan ilmuan yang terbahagi kepada dua kumpulan yang kontra antara satu sama lain tapi masih dalam bubble Mahathirisme iaitu;

Pro Tun

Kumpulan ini tetap setia berdekad lama bersama negarawan ini, bahkan tidak pernah berpaling dari sosok ini walaupun bertukar-tukar parti sejak era Pakatan Harapan 1.0 mentadbir negara. Mereka ini juga terdiri dari anak muda yang belum lahir ketika era pemerintahan Tun yang pertama, tetapi amat menyanjungi idea dan falsafah kepimpinannya yang mewujudkan landskap pembangunan serta kemajuan yang dinikmati pada hari ini.

Media sosial yang memberi pengaruh besar kepada orientasi pemikiran politik anak muda pada hari ini juga gagal mengubah doktrin yang ditanam kepada mereka ini meskipun pelbagai skandal, dokumen-dokumen lama yang dimainkan semula untuk memberi pengenalan kepada mereka siapa Tun yang sebenarnya. Soal benar atau tidak tuduhan yang dilemparkan kepada Tun bukanlah tujuan utama penulisan ini. Soalnya bagaimana generasi ini masih terperangkap dengan nostalgia yang disampaikan dari mulut ke mulut tanpa melalui pengalaman itu sendiri?

Ini membuktikan meskipun sudah tiga Perdana Menteri muncul selepas pentadbiran pertama beliau, jenama Mahathir itu sendiri sudah sebati dan tertanam di jiwa dan kepala mereka, menenggelamkan semua figura yang muncul selepas beliau. Bagi Gen X dan Millenium (Geng Tun) yang menyaksikan drama pasca Mahathir 1.0, keributan politik yang berlaku adalah bukan disebabkan Tun, tetapi sebab Perdana Menteri yang ada gagal mengikut acuan Tun!

Anti-Tun

Kumpulan ini dilihat lebih “Otai” dan berpengalaman dalam sejarah politik negara, dan penentang-penentang Tun yang baharu pula muncul selepas era Reformasi yang diketuai PMX kita sekarang. Kumpulan Anti Tun yang “Otai” ini menolak dan melawan Mahathir berasaskan perbezaan kepimpinan, konflik dalaman dan percaturan dalaman politik UMNO ketika itu. PAS, seteru UMNO secara terangan menentang Tun atas dasar perbezaan ideologi dan seperti semua tahu, UMNO dan PAS pasca merdeka ibarat minyak dan air, lebih keras dan dingin berbanding sekarang yang tampak lebih lembut dan jernih. Kumpulan penentang yang baharu ini pula mula menyenaraihitamkan Mahathir berikutan beberapa insiden terkait percaturan politik dalaman parti. Jika begitu, kenapa kumpulan ini sebenarnya masih di dalam bubble “Mahathirisme”?

Kita adalah saksi hidup bagaimana segala idealisme, prinsip dan ideologi dibakulsampahkan demi mengangkat semula negarawan ini demi meraih sokongan dan optik yang baik di mata rakyat. Kita juga saksi hidup bagaimana musuh ketat politik beliau sanggup menerima Tun untuk membentuk Kerajaan. Ya, benar. Tidak ada musuh yang kekal di dalam politik. “The enemy of my enemy is my friend”. Tetapi aksi “menjilat” yang dilakukan ketika itu tampak sangat jijik dan menunjukkan betapa rakyat bukanlah agenda utama mereka.

Kita saksi hidup bagaimana selepas Tun gagal mengekalkan kerusinya di Langkawi sekalipun, komentar dari Tun masih mampu menggoncang Kubah Hijau di Putrajaya dan membuat pihak lawan tidak senang duduk. Lagak pemimpin-pemimpin Kerajaan pada hari ini pun masih terikut dan mudah berasa terancam dengan Tun. Justeru, tindak-tanduk dan aksi pemimpin pada hari ini masih berkitarkan kepada mode dan gerak langkah Tun. Jika kalian benar bebas dari “Mahathirisme”, mana mungkin kalian mudah melompat dan berasa tidak tenteram seperti dihantui bayang-bayang sendiri.

Tidak ada siapa pun yang menafikan sumbangan negarawan ini, bahkan pelbagai tanda fizikal dibina sebagai memorial terhadap beliau, atas sumbangan dan jasa beliau.

Akan tetapi alangkah ruginya masyarakat di negara ini, jika pemimpin di atas sehinggalah yang dibawah masih terperangkap dengan “Mahathirisme” ini sedang negara ini mempunyai potensi yang sangat besar di masa hadapan sebagai hub ekonomi Asia jika pemimpinnya bijak mencatur buah dengan blok-blok kuasa Barat dan China.

Mahathirisme bukanlah hanya sentimen semata, ia telah menjadi konsep atau idea yang melingkar dari segenap aspek meliputi lensa politik, ekonomi dan sosial. Kita masih ketandusan third force yang mampu mencabut akar Mahathirisme ini dalam politik negara, dan masih bergantung harap kepada jenama ini untuk membuat keputusan sama ada sedar atau tidak.

Cukuplah pada sambutan perayaan kemerdekaan ke-100 tahun nanti, Tun dikenang sebagai negarawan, dan bukan musuh politik yang disambung legasinya oleh kumpulan-kumpulan beliau.

Komen