MADANI AFIAT: MOBILISASI SARINGAN KESIHATAN

Salah satu inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah dengan memperkenalkan agenda Madani Afiat.

Madani Afiat adalah satu agenda penting yang dijalankan oleh KKM bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Objektif program ini adalah untuk mempromosikan budaya hidup sihat sebagai langkah pencegahan penyakit khususnya penyakit tidak berjangkit atau Non-Communicable Diseases (NCD).

Pemilihan nama ‘afiat’ yang bermaksud sihat atau pulih itu sendiri bersesuaian dengan peranan KKM sebagai peneraju perkhidmatan kesihatan di Malaysia yang kini beralih ke paradigma baharu iaitu daripada Sick Care kepada Health Care.

Salah satu aktiviti dalam Madani Afiat ialah Program Mobilisasi iaitu program saringan kesihatan dari rumah ke rumah melibatkan pemeriksaan tekanan darah dan paras glukos darah.

Melalui saringan kesihatan ini, individu yang dikesan berisiko mendapat darah tinggi dan kencing manis akan dirujuk untuk pemeriksaan dan ujian pengesahan di klinik kesihatan berhampiran.

Setakat ini, dilaporkan seramai 2,701 individu berusia 18 tahun dan ke atas telah disaring ketika Program Mobilisasi Madani Afiat di Selangor, Kedah, Terengganu, Johor, Perak dan Melaka.

Dari jumlah tersebut, 978 individu dikesan menghidap hipertensi dan 681 individu dikesan menghidap diabetes.

Sesuatu yang membimbangkan KKM adalah trend penyakit tidak berjangkit dilihat meningkat pasca pandemik dan 50% dari penghidap tidak sedar mereka mempunyai penyakit tersebut.

Justeru program Madani Afiat adalah sesuatu yang perlu dalam membantu pihak KKM memantau dan mengumpul data dengan lebih tepat bagi membentuk pelan tindakan kesihatan yang lebih efektif dan efisien pada masa hadapan.

Namun apa yang lebih penting adalah untuk kita semua mengamalkan cara hidup sihat seperti makan suku-suku-separuh dan bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari.

Komen