Maal Hijrah

Sempena Maal Hijrah, kami terbitkan kembali titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah ketika Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan 1437H/2015M.

Adalah diharap titah ucapan baginda dapat dijadikan renungan dan iktibar dalam kita memahami maksud dan hikmah peristiwa Hijrah dengan lebih mendalam.

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi WabarakatuhOpening of Speech

Peristiwa Hijrah dari Mekah ke Medinah telah 1437 tahun berlalu. Peristiwa tersebut telah memulakan era baru yang menyaksikan penubuhan sebuah kerajaan dan sistem pemerintahan berteraskan Islam, lalu terbentuknya komuniti Islam yang mencipta satu peradaban yang agung, diperkukuhkan signifikannya dengan pengenalan takwim Islam yang dirujuk sebagai Tahun Hijrah.

2. Setiap peristiwa yang berlaku adalah dengan penentuan ILAHI. Setiap peristiwa yang tersurat mengandungi pengajaran yang tersirat. Pengajaran yang tersirat di sebalik peristiwa hijrah menyentuh isu perpindahan manusia; dalam fenomena semasa lebih dikenali dengan istilah refugee atau (orang) pelarian.

3. Peristiwa Hijrah mempamerkan senario perpindahan penduduk Mekah yang dikenali sebagai kaum Muhajirin dan senario sambutan penduduk Medinah yang dikenali sebagai kaum Ansar. Ia menceritakan ancaman keselamatan yang dihadapi oleh penganut Islam di Mekah sehinggakan terpaksa berpindah ke tempat yang lebih selamat. Ia juga menceritakan pengorbanan Kaum Ansar yang sedia menerima dan memberikan layanan baik untuk memenuhi keperluan kaum Muhajirin. Kaum Muhajirin telah melakukan pengorbanan besar, meninggalkan kampung halaman, harta benda, perniagaan dan pekerjaan; sementara kaum Ansar telah mempamerkan sifat keinsanan yang tinggi hingga Allah Subhanahu Wata’ala menurunkan wahyu menghargai sifat mulia kedua-dua pihak seperti yang terkandung dalam ayat 74 Surah Al-Anfaal bermaksud;

Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang muhajirin) mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki (nikmat) yang mulia’[1]

4. Jika tahap keimanan kaum Muhajirin diuji melalui kezaliman yang dilakukan terhadap mereka oleh puak Quraisy Mekah hingga mereka perlu berhijrah, kaum Ansar sewaktu menghadapi kedatangan kaum Muhajirin, sebenarnya turut berhadapan dengan ujian ILAHI. Sifat keinsanan penduduk Medinah menerima baik pelarian dari Mekah, telah dibalas dengan ganjaran sewajarnya oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala. Medinah menjadi kota penting – kota bersejarah. Bumi Medinah ditransformasikan menjadi sebuah negara kota (city state) yang hebat; sistem kerajaan yang adil yang berpaksikan undang-undang terbentuk di Medinah; sebuah negara berteraskan Islam yang menjadi contoh sebutan sepanjang zaman berjaya dirintis di bumi Medinah; bumi Medinah mendapat kemuliaan apabila jasad Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam dimakamkan di situ; bumi Medinah turut dilimpahi ILAHI dengan segala keberkatan dan kemakmuran sehingga ke hari ini. Kota Medinah kini menjadi kota kembar Mekah, diiktiraf sebagai kota suci – kota ibadah. Walaupun Kaabah terletak di Mekah, bumi Medinah se iring menjadi tumpuan ziarah umat Islam dari serata dunia sewaktu mereka melakukan ibadah umrah dan mengerjakan rukun haji.

5. Melakukan hijrah adalah sebahagian daripada seruan yang terkandung di dalam ajaran Islam. Islam menganjurkan manusia melakukan hijrah apabila berada dalam bahaya yang mengancam keselamatan dan nyawa. Allah Subhanahu Wata’ala menyeru manusia melakukan hijrah selaras dengan seruan yang terkandung dalam Ayat 97, Surah An-Nisaa, bermaksud;

‘Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiayai diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah kamu telah lakukan mengenai agama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “ Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya”…’ [2]

6. Sifat memberi perlindungan adalah satu budaya semula jadi yang telah sedia berakar di dalam masyarakat Arab; kerana itu terdapat begitu banyak istilah yang berkaitan dengan mauduk ini ditemui di dalam bahasa Arab, antaranya ‘ijarah’ ‘istajarah’, ‘istashara’, ‘istajasha’, ‘istazhhar’, ‘jiwar’ dan pelbagai lagi. Istilah hijrah atau yang semaksud dengannya diulangi dua puluh tujuh (27) kali di dalam Al-Quran.[3] Hijrah tidak hanya berlaku pada era Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam. Kisah-kisah berkaitan penghijrahan turut ditemui pada zaman-zaman Nabi Ibrahim Alaihissalam dan Nabi Musa Alaihissalam. Ayat 128 Surah Al A’raaf membawa maksud;

‘Musa berkata kepada kaumnya; “Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah; sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah; dipusakakan Nya kepada siapa yang dikehendaki Nya daripada hamba-hamba Nya. Dan kesudahan yang baik bagi orang-orang yang bertakwa”[4]

Sementara dalam ayat 15 Surah Al-Mulk, ALLAH Subhanahu Wata’ala berfirman, bermaksud;

“Dialah Yang menjadikan bumi ini mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezeki Nya. Dan hanya kepada Nya-lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.”[5]

7. Manusia berhijrah, lebih-lebih lagi yang terpaksa berhijrah, tidak hanya berlaku sekali dalam sejarah alam dan sejarah manusia. Penghijrahan manusia tidak juga bermula dan berakhir dengan peristiwa hijrah Mekah – Medinah. Penghijrahan manusia berlaku sepanjang masa, merupakan sebahagian daripada fenomena alam. Dunia telah, sedang dan akan terus menyaksikan berlakunya penghijrahan manusia, malah sedang dan akan menyaksikannya berlaku dengan skala yang semakin besar.

8. Angka pelarian pasca Perang Dunia Kedua berjumlah lima belas juta orang; pembentukan negara India dan Pakistan mengakibatkan empat belas (14) juta manusia menjadi pelarian, sementara sepuluh (10) juta orang menjadi pelarian dalam konflik Pakistan Timur-Pakistan Barat sebelum tertubuhnya negara Bangladesh. Kejatuhan negara-negara Indochina ke tangan Komunis pada tahun-tahun tujuh puluhan telah mengakibatkan 1.8 juta manusia menjadi pelarian; pencerobohan Soviet Union dalam tahun lapan puluhan telah mengakibatkan 3.5 juta rakyat Afghanistan menjadi pelarian, sementara 1.2 juta manusia menjadi pelarian susulan peperangan di Balkan pada tahun sembilan puluhan; krisis di Somalia mengakibatkan 1.1 juta pelarian, krisis di Rwanda mengakibatkan dua juta pelarian dan dua juta rakyat Iraq menjadi pelarian susulan pencerobohan tentera Amerika Syarikat; ketika ini empat juta pelarian Syria sedang mencari tempat perlindungan[6]. Sementara itu, pelarian bagaikan identiti yang sudah sinonim di kalangan orang-orang di bumi Palestin yang terpaksa melalui perit hidup untuk sekian lamanya kerana menghadapi nasib malang tidak berpeluang mengecap nikmat berada di sebuah negara yang aman lagi tenteram.

9. Di rantau ini, masyarakat Islam Rohingya sedang menghadapi tekanan politik dan tekanan agama. Satu ratus empat puluh ribu (140,000) kaum minoriti Rohingya di barat Myanmar telah dikelompokkan di dalam kem-kem yang khusus disediakan di kawasan tanah paya kotor dengan persekitaran yang merebaknya wabak pelbagai penyakit. Umat Islam Rohingya bukan sahaja berhadapan dengan penindasan politik daripada pihak pemerintah tetapi turut menghadapi tekanan agama daripada penganut Buddha yang melakukan pelbagai perbuatan tidak berperikemanusiaan dengan mendapat restu para sami. Dua ratus ribu (200,000) pelarian Rohingya telah cuba mendapatkan perlindungan di Bangladesh meskipun Bangladesh adalah negara lebih miskin daripada Myanmar.[7]

10. Hari ini, perangkaan UNHCR,[8] mencatatkan terdapat hampir enam puluh juta pelarian di serata dunia[9], menyamai bilangan penduduk di Korea Selatan, menyamai bilangan penduduk negara kedua puluh sembilan terbesar di dunia. Angka pelarian diunjurkan akan terus berkembang dalam situasi beberapa buah wilayah dan negara kini sedang berkonflik dan menghadapi defisit keamanan. Majoriti pelarian adalah wanita dan kanak-kanak, sementara lapan puluh peratus pelarian terdiri daripada umat Islam[10].

11. Setiap pelarian mengharapkan sinar baru; ramai di antara mereka bersolat dan bermunajat memohon pertolongan ILAHI. Majoriti mereka mahu berhijrah untuk menerokai penghidupan baru. Disebabkan, lebih banyak pihak tidak bersedia menerima kedatangan mereka, hidup mereka terumbang ambing, dihalang malah diusir daripada mendapat perlindungan; di kalangan yang cuba menggunakan laluan laut, rakit atau bot mereka tidak dibenarkan menghampiri pantai. Sebahagian mereka mengalami nasib lebih malang, dijadikan bahan pemerdagangan untuk dijual; dilayan dengan zalim; dihina, dikurung, didera, dirogol; mereka dijadikan hamba, diperah tenaga tanpa imbuhan yang setimpal. Penemuan kubur tidak bernama – tidak bertanda dalam hutan di sempadan negara beberapa bulan yang lalu, hanyalah picisan kepada angka sebenar pelarian yang terpaksa mengharungi pelbagai penderitaan fizikal, rohani dan emosi.

12. Di antara tahun 2014 sehingga awal tahun 2015, lapan puluh lapan ribu pelarian Myanmar keturunan Rohingya dan Bangladesh cuba berhijrah melalui laut.[11] Pada Jun 2015, dunia mengikuti laporan penderitaan seorang kanak-kanak Rohingya berusia 12 tahun, Atahurahman. Atahurahman diselamatkan bersama 400 pelarian lain yang duduk secara berhimpit dalam sebuah kapal kecil. Setiap pelarian dijanjikan untuk dibawa ke tempat penghidupan baru yang lebih baik; setiap pelarian dikenakan bayaran perjalanan yang tinggi, tetapi hanya mendapat ruang duduk yang sempit di atas lantai kapal yang sempit, dengan tangan memeluk lutut yang terpaksa dibengkokkan. Di peringkat awal pelayaran mereka diberikan beberapa sudu bubur dan beberapa teguk air setiap hari; kemudiannya mereka ditinggalkan oleh penyeludup dan pemerdagang manusia selama tiga bulan setengah terapung-apung di Teluk Bengal Lautan Hindi, sehingga mereka terpaksa meminum air najis sendiri untuk survival sebelum hanyut dan diselamatkan oleh nelayan Indonesia lalu dibawa berlabuh di pantai Aceh pada 20 Mei 2015.[12]

13. Pada 3 September 2015, dunia dikejutkan pula dengan gambar mayat Alan Kurdi yang tersebar di dalam media sosial. Alan Kurdi seorang kanak-kanak Syria berketurunan Kurdish berwajah comel, berusia tiga tahun. Mayatnya terdampar di persisiran pantai peranginan Bodrum di Turki. Alan Kurdi bersama abangnya Galip, berusia lima tahun, serta ibunya Rohan, berusia tiga puluh lima tahun, adalah antara dua belas orang yang mati lemas apabila dingi kecil yang sarat dengan lapan belas penumpang terbalik di Laut Mediterranean.

14. Alan Kurdi dan Atahurahman bukan mangsa pertama dan mangsa terakhir. Ribuan lagi yang sedang menanggung penderitaan yang serupa. Manusia perlu mentafsirkan secara bijak setiap yang berlaku, apatah lagi kejadian-kejadian tragik yang amat menyayat hati. Setiap satunya adalah ujian daripada ILAHI. Manusia adalah makhluk ciptaan ILAHI yang terpilih. Oleh itu manusia wajib mengambil tanggungjawab membantu mereka yang sedang menderita. Ia adalah tuntutan fardu kifayah.

15. Kematian Alan Kurdi, telah mendapat perhatian beberapa pemimpin besar dunia. Di samping pegangan agamanya, di samping perasaan kemanusiaannya, mungkin naluri semula jadi keibuan seorang wanita, telah mendorong Canselor Jerman, Angela Merkel mendahului pemimpin lain memperlihatkan sifat keinsanan. Angela Merkel telah mengumumkan bahawa negara Jerman bersedia menerima lima ratus ribu imigran setiap tahun untuk tempoh beberapa tahun. Seorang pelarian Syria telah menyamakan Angela Merkel dengan Raja Negus. Pada zaman Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam, meskipun Raja Negus beragama Kristian, baginda telah memberikan perlindungan kepada pelarian-pelarian Islam di negara Abyssinia; dan seorang lagi pelarian merintis suara pilu dengan mengatakan “akan kami maklumkan kepada anak-anak kami, pelarian Syria meninggalkan negara mereka untuk ke Eropah meskipun Mekah dan negeri Islam lebih dekat dengan kami.”[13]

16. Negara-negara Jerman, Sweden dan Austria bukan sahaja merupakan tiga negara Eropah yang telah menunjukkan sikap bersedia mengambil tanggung jawab lebih besar terhadap pelarian Syria, malah ketiga-tiga negara ini, turut menjadi negara pilihan pertama di kalangan majoriti pelarian. [14] Perdana Menteri Sweden, Stefan Lofven menyatakan bahawa Jerman dan Sweden tidak akan memejamkan mata daripada mengamati kesengsaraan manusia.[15] Ketika menyampaikan ucapan bersejarah kepada ahli-ahli Kongres di Washington pada 24 September, Ketua Agama Katolik sedunia, Pope Francis merayu agar Amerika Syarikat menamatkan rasa permusuhan terhadap imigran; beliau turut menyeru agar Amerika Syarikat menggunakan kekayaan negara untuk kerja-kerja kemanusiaan.[16]

17. Syeikhul Akbar dan Imam para filsuf Sufi, Ibn al Arabi (1165 Masihi – 1240 Masihi), seorang ahli tafsir paling teosofik, tokoh tersohor Islam pada era pertengahan (medieval era) menegaskan bahawa memberikan perlindungan adalah satu kewajipan; ia wajib diberikan kepada orang-orang yang terpaksa melarikan diri dari kawasan atau negara yang berlakunya kezaliman, penganiayaan, penindasan, penyeksaan, kesengsaraan, wabak penyakit malah di kalangan mereka yang menghadapi masalah kehidupan dan masalah kewangan. Terkandung di dalam Al-Quran peringatan akan pembalasan ILAHI terhadap mereka yang gagal memenuhi tanggungjawab kemanusiaan, dan janji ALLAH Subhanahu Wata’ala yang akan melimpahkan ganjaran rahmat kepada mereka yang tampil menghulurkan bantuan.[17]

18. Islam menegaskan bahawa setiap pelarian adalah makhluk ILAHI, yang berada di bawah naungan ILAHI, yang wajib diberikan layanan yang saksama. Islam menganjurkan umatnya untuk keluar daripada sesuatu bahaya dan Islam turut menegaskan bahawa umatnya wajib menghulurkan bantuan kepada mereka yang terpaksa melakukan hijrah kerana darurat.

19. Malangnya, dimensi dan perspektif Islam yang jelas terkandung di dalam Al-Quran telah tidak dijadikan sumber utama rujukan dalam usaha menangani isu pelarian ketika ini; malah kaedah pendekatan yang dianjurkan oleh Islam telah disisihkan. Elemen keinsanan yang menjadi teras dan terbukti berperanan besar mencerminkan kemurnian Islam dalam hubungan kemanusiaan dan hubungan antarabangsa telah dipinggirkan. Ketika dunia sedang dilanda musibah besar ini, kembalilah kita mencari pedoman bersumberkan Al-Quran yang di dalamnya terkandung pelbagai hikmah seperti yang difirmankan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala dalam ayat 89 Surah An-Nahl bermaksud;

‘(…Dan kami turunkan kepada mu Al-Kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri’[18]

20. Islam telah lebih awal merintis, mempelopori dan mengasaskan hak asasi manusia untuk mendapat perlindungan, berpandukan konsep Hijrah yang lebih luas dan lebih menyeluruh jika dibandingkan dengan definisi yang terkandung dalam Artikel 1, Geneva Convention berkaitan status pelarian yang diolah pada 28 Julai 1951.[19] Pada tahun 1990, persidangan kesembilan belas Menteri-menteri Luar Organisation of Islamic Cooperation (OIC)[20] telah menerima Artikel 12 Deklarasi Cairo yang menetapkan bahawa dalam kerangka Syariah, setiap orang memiliki hak kebebasan untuk bergerak dan hak memilih tempat untuk menetap sama ada di dalam atau di luar negaranya; dan negara yang menerimanya bertanggung jawab memberi perlindungan sehingga dia telah sampai ke tempat yang selamat, kecuali jika pelarian tersebut mencari perlindungan disebabkan telah melakukan kesalahan yang melanggar Syariah. Resolusi persidangan PBB mengenai ‘Perlindungan dan Islam’ yang berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun 2007, menggariskan bahawa terkandung mesej-mesej positif kemanusiaan di dalam Al-Quran dan Sunah Rasul Sallallahu Alai Wassalam akan tata urus memberi perlindungan kepada pelarian tanpa mengira asal usul, kaum dan pegangan agama.[21]

21. Syariat Islam ternyata memberikan tafsiran bukan sahaja secara lebih luas mengenai pelarian dan perlindungan malah mengandungi nilai keinsanan yang lebih tinggi berbanding tafsiran dan pendekatan undang-undang modendengan menetapkan bahawa hak untuk mendapatkan perlindungan berpihak kepada pelarian dan bukannya negara.[22] Syariat Islam menghuraikan subjek pelarian secara terperinci lagi mendalam untuk menjamin maruah manusia dan tanggung jawab ummah terhadap ‘musta’men’ ia itu orang-orang yang memerlukan perlindungan. Konsep hak asasi manusia menurut perspektif Islam menegaskan bahawa tanggung jawab memberi perlindungan kepada manusia terutama di kalangan mereka yang berada dalam darurat adalah satu tanggung jawab yang wajib dipenuhi.

22. Fenomena pelarian yang jumlahnya kini bertambah besar adalah satu ujian ILAHI kepada komuniti dunia, terutama sekali kepada para pemimpin Islam. Para amirulmukminin, para ulama, para umara, para ummah dan seluruh umat manusia, lebih-lebih lagi mereka yang memiliki kuasa dan memiliki kekayaan wajib insaf bahawa mereka sedang berhadapan dengan ujian daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala. Bahawa rezeki kekayaan yang dilimpahkan baik kepada individu mahupun di bumi mereka berpijak adalah anugerah daripada ILAHI; manusia hanyalah pemegang amanah kepada khazanah kurniaan ILAHI seperti yang terkandung dalam ayat 105, Surah Al Anbiyaa bermaksud;

‘Dan sungguh telah Kami tulis dalam zabur sesudah Kami tulis dalam Lauh Mahfuz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hamba Ku yang soleh’[23]

23. Dalam menangani situasi pelarian, semangat tinggi kemanusiaan yang dianjurkan oleh Islam dan seruan yang mewajibkan bantuan dihulurkan menurut yang terkandung di dalam Al-Quran perlulah dijadikan panduan. Islam secara tegas meletakkan tanggungjawab kepada para pemimpin begitu juga individu Islam yang berada di dar al-Islam untuk menghulurkan bantuan kepada setiap pelarian dan hendaklah dilaksanakan berlandaskan semangat inclusive; semangat yang mengamalkan penerimaan manusia daripada pelbagai bangsa, kaum dan kewarganegaraan[24] selaras dengan maksud yang terkandung dalam ayat 6 Surah At Taubah:

“Dan jika seorang di antara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepada mu, maka lindungilah ia supaya ia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah ia ke tempat yang aman baginya……” [25]

24. Menangani masalah pelarian adalah tanggungjawab yang sangat besar – sangat berat – sangat mencabar, terutama untuk mengimbangi di antara semangat kesejagatan yang terkandung di dalam Al-Quran dengan realiti politik dunia semasa yang telah membelah bahagikan bumi ALLAH ini menurut garis sempadan negara bangsa. Mengimbangkan semangat kesejagatan tanpa mencetuskan tentangan dan konflik kepada negara bangsa adalah tugas yang amat rumit; tugas yang memerlukan pendekatan berhikmah, supaya tidak akan tercetus polemik dan konflik baru.

25. Pelarian adalah produk atau outcome daripada pelbagai tragedi yang berlaku dan majoritinya berpunca daripada perbuatan tangan-tangan zalim manusia, baik persengketaan begitu juga pencemaran alam. Menguruskan program perlindungan adalah pendekatan curative. Usaha-usaha preventive untuk meminimumkan kejadian pelarian lebih penting diberikan perhatian. Jika tidak usaha menangani isu pelarian akan berakhir seperti usaha mahu menolak ombak di pantai, semakin ditolak – semakin datang.

26. Atas kapasiti peribadi seorang insan, Beta telah menerima undangan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil tanggung jawab sebagai Pengerusi Bersama Panel Kewangan Kemanusiaan PBB. Kesediaan Beta menerima tanggung jawab tersebut didorong oleh keinsafan bahawa ia adalah satu ujian ILAHI untuk menilai kesediaan Beta melaksanakan satu fardu kifayah serta kesediaan Beta untuk mengorbankan sebahagian masa, fikiran, tenaga dan material, yang kesemuanya datang daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala. Setelah menghadiri beberapa perbincangan, setelah dipersembahkan beberapa taklimat dan setelah melakukan beberapa lawatan, Beta semakin insaf dan memahami lebih mendalam penderitaan yang sedang dialami oleh begitu ramai umat manusia yang sangat memerlukan bantuan. Perkiraan awal menunjukkan PBB memerlukan dana dua puluh lima bilion dolar setiap tahun untuk membiayai program-program kemanusiaan di serata dunia. Keperluan dana sebesar ini bukan sekadar memberikan satu cabaran besar, ia juga adalah cabaran baru.

27. Cabaran baru menuntut minda untuk memikirkan pendekatan baru. Untuk itu Beta sedang merintis usaha untuk memperkenalkan instrumen Kewangan Islam dalam hasrat mengukuhkan dana. Dunia ketika ini memiliki persepsi negatif terhadap dana bersumberkan institusi Islam yang disyaki sedang membiayai kegiatan terrorist. Persepsi negatif tersebut wajib diperbetulkan melalui penglibatan aktif organisasi dan institusi Islam menyalurkan dana untuk membiayai program-program kemanusiaan. Formula menang-menang sedang diolah untuk menarik sumber-sumber kewangan milik umat Islam untuk dilaburkan secara lebih produktif dalam instrumen-instrumen kewangan Islam yang bertujuan untuk membiayai program-program kemanusiaan. Pandangan progresif para ulama sedang diterokai untuk memikirkan kaedah yang membolehkan sumber wakaf dan zakat berperanan dan turut dapat dilibatkan dalam program-program kemanusiaan.

28. Perangkaan tidak sekadar menunjukkan lapan puluh peratus pelarian terdiri daripada umat Islam, malah ia turut menunjukkan peratus terbesar pelarian berasal dari wilayah yang dikuasai dan didiami oleh majoriti umat Islam. Perangkaan juga menunjukkan, peratusan terbesar bantuan yang diperlukan adalah untuk program-program di wilayah dan negara yang majoriti penduduknya adalah umat Islam. Dan perangkaan turut pula menunjukkan peratusan bantuan yang diterima dari kalangan pemimpin, negara, institusi dan individu Islam adalah yang paling kecil.

29. Sesungguhnya adalah menjadi tanggung jawab kepada setiap kita yang telah dilimpahkan dengan kekayaan dan kelebihan untuk tampil membantu golongan yang sedang menanggung derita kesusahan. Bahawa ALLAH tidak hanya menguji tahap kesabaran di kalangan mereka yang dilanda derita, malah ujian lebih besar daripada ILAHI adalah kepada mereka yang memiliki kuasa dan memiliki kekayaan. Bagaimanakah di Padang Mahsyar nanti dapat diberikan justifikasi, jika yang super kaya menggunakan kekayaan mereka membina mahligai-mahligai untuk dibangga-banggakan, sedangkan jutaan insan masih tidak memiliki bumbung untuk berteduh. Bagaimanakah pula dapat diberikan justifikasi, jika yang super power menggunakan kuasa untuk melakukan bencana yang menjadi punca kepada kemusnahan alam dan penderitaan manusia. Di Padang Mahsyar nanti, setiap pemegang amanah akan disemak peranan masing-masing tentang tata cara mengurus sumber, sama ada telah diagihkan secara adil – secara saksama untuk kesejahteraan dan kebajikan ummah.

30. Ummah terutamanya, dan seluruh umat manusia wajib merenung secara mendalam semangat keinsanan yang telah dicerminkan oleh kaum Ansar di Medinah 1437 tahun yang lalu. SEMANGAT ANSAR ini wajib difahami, diterokai, dihayati lalu dijelmakan kembali. Sempena sambutan ulang tahun hijrah kali ini, marilah kita semai di dalam hati kita SEMANGAT ANSAR.

31. Semoga semangat pengorbanan kaum Ansar akan kita jadikan inspirasi untuk membina SEMANGAT ANSAR. Semoga kejayaan kita menghayati SEMANGAT ANSAR dan keikhlasan kita untuk menghulurkan bantuan akan mendapat petunjuk ILAHI dan semoga bumi kita dilimpahkan dengan rezeki dan rahmat dan dijauhkan dari sebarang bencana. Ameen, Ya Rabul Alameen.

Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan.

Wabillahi taufik, walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(Titah ucapan ini merupakan terbitan asal di laman sesawang sultannazrinshah.com)

Komen