Lima Langkah Penyelesaian, Keselamatan Dan Kemanusiaan Pelarian Rohingya

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin

Pada masa COVID-19, Malaysia digemparkan dengan percubaan pelarian Rohingya untuk masuk ke perairan Langkawi dengan berjaya dipatahkan oleh pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) begitulah seperti yang dilaporkan Jeneral Tan Sri Affendi Buang. Ini membuktikan kecekapan dan kemampuan pertahanan negara yang jitu. Dalam masa sama di Selayang terdapat ura-ura yang kononnya pelarian Rohingya ingkar Perintah Kawalan Pergerakan, sedang pula warga Malaysia berdebar menghadapi COVID-19. Ini membuatkan segelintir warganet marah dan pelbagai sentimen rasisme, xenofobia juga fitnah berlegar.

Ada sarjana menyuarakan soal ber-hak-nya Malaysia mengutamakan keselamatan, ini benar kerna Malaysia tidak menandatangani Perjanjian Pelarian Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1951. Tetapi saya mahu sentuh isu ini lebih mendasar dan sistematik.

Pelarian merupakan cabaran geopolitik dalam dunia globalisasi. Kadangkala ia boleh menggugat kestabilan sosio-ekonomi negara jiran. Namun mahu tidak mahu apabila berlakunya konflik, krisis kemanusiaan akan pasti melimpah (spill over) ke negara jiran dan kita seharusnya mempersiap-siagakan polisi untuk menghadapinya. Perkara ini pernah pun dibangkitkan oleh Dato Seri Najib Razak dalam kenyataannya pada Mac 2018 di Sydney dalam persidangan counter terrorism.

Sayang sekali ketidak-rapian polisi akan menyebabkan masalah seperti kita hadapi kini. Pokoknya kita yang tidak bersedia rapi tapi yang ditunding jari kepada pelarian ini.

Jadi ada beberapa perkara yang amat penting diberi perhatian.

Pengambilan

Kerajaan misalnya harus menimbangkan pengambilan para pelarian. Berapa jumlahnya, bagaimana dan apa prosedurnya. Persoalan yang perlu dijawab perlu atau tidak untuk diambil secara sah.

Jika tidak melalui jalan sah, jalan seludup akan berleluasa sehingga menyebabkan perhambaan moden, penipuan dan sebagainya. Kajian dijalankan oleh UKM memang terdapat penyeludupan Rohingya dan keberkaitannya dengan pemerdagangan manusia. Bahkan seperti saya nyatakan di atas kesan spill over akan tetap berlaku.

Semasa COVID-19, perlukah meraka dibenar masuk atau dibiar mati di laut? Jika dibenar masuk tentunya saringan wajib dijalankan. Bagaimana pula mereka jika didapati positif COVID-19 dan bagaimana rawatan mereka?.

Pengambilan mereka juga harus didokumentasi. Dengan teknologi terkini misalnya Artifial Intelligence, pendaftaran IP telefon pihak berkuasa seharusnya mampu menjejaki pergerakan mereka.

Proses mengambilan ini juga harus dikira untuk bérapa tempoh mengikut penyelesaian ke-5 diambil.

Di sebahagian negara misalnya Sweden dan Jerman mereka mengambil pelarian secara terpilih. Hanya yang berbakat dan berguna sebagai sumber tenaga manusia sahaja diambil. Namun, pada hemat saya hal ini tidak sesuai dilakukan untuk pelarian Rohingya yang rata-rata datang dari latar kemiskinan dan kurang pendidikan.

Penempatan

Mengendalikan penempatan baru tersusun untuk Rohingya yang berada di Malaysia. Ini termasuk pengiraan apakah mereka perlu ditempatkan dalam bandar atau pulau transit.

Penempatan kem pelarian ini harus diselia dengan pengawasan keselamatan yang tinggi dan perlunya diadakan pertukaran polis/tentera berkala bagi mengelakkan korupsi dan rasuah. Kes samseng dan jenayah pelarian Vietnam di Pulau Bidong harus dijadikan iktibar dimana kawalan harus lebih diperketatkan, dan pihak penguasa harus ada engagement dengan ketua komuniti.

Hak Asasi Dan Pendidikan

Ramai yang alergik dengan perkataan ini. Mereka sangka pelarian ini menuntut hak sama rata dan warga negara. Ini tidak tepat. Sebaliknya, mereka meminta pendidikan asas dan insurans nyawa.

Pada tahun 2017, plan ini pernah dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Zahid Hamidi. Dimana kerajaan bersedia memberikan plan insuran, pendidikan pra-sekolah dan sekolah rendah dengan silibus Myanmar kepada pelarian ini. Namun harus juga difikirkan untuk sekolah menengah dan pasca itu.

Selain itu hak asasi juga termasuklah bekalan makanan dan air serta elektrik yang asas. Untuk mengelakkan manipulasi bantuan dan mengurangkan kos kerajaan harus bersedia bekerjasama dengan NGO tempatan dan agensi antarabangsa seperti UNHCR dalam merangka gerak kerja. Asal tidak ada penipuan, duplikasi sumbangan, mengurangkan kos kerajaan dan sebagainya. Pembahagian kerja antara NGO-INGO (international NGO) dan kerajaan kena adil dimana kerajaan haruslah hanya pemudahcara dan bantuan haruslah dari NGO. Plan bantuan itu harus bersifat jangka-panjang bukan one-off. Jika one-off bahaya untuk masa hadapan dan akan memanjangkan lagi krisis.

Pendidikan juga termasuk program tidak formal untuk memperkenalkan adab dan tatasusila dan undang-undang negara. Program ini juga termasuk mengajar bahasa kebangsaan. Model ini telahpun dijalankan di Sweden, Perancis , Kanada dan Jerman. Ini kerana pelarian Syria atau Iraq di Barat antaranya masih gagal memahami undang-undang dan budaya Barat serta masih mahu hidup ‘gaya Islam’ mereka . Program begini ada pro-kontra terutama di Barat. Misalnya beberapa budaya seperti bertudung dan azan tidak diterima oleh masyarakat di Perancis.

Kes Rohingya mungkin sedikit berbeza memandangkan agama yang sama dan cuma saja mereka harus belajar memahami dan menghormati budaya dan undang-undang Malaysia.

Tenaga Kerja Manusia

Strategi yang bijak adalah bagaimana sebuah ancaman boleh diubah pada peluang. Di dalam plan 2017 itu juga , Datuk Seri Zahid Hamidi ada merancang untuk memberi latihan tenaga kerja separa mahir dan kurang mahir dan disalurkan pada sektor pertanian dan buruh. Ini adalah baik. Kita juga boleh mengurangkan kos import tenaga asing dari Bangladesh dan Nepal dan memberi peluang dengan kos lebih efektif. Misalnya dalam projek BRI kita boleh bernegosiasi untuk mengurangkan peratus buruh China dan menggantikannya dengan teaaga Rohingya tanpa perlu import.

Tentunya semua ini dengan pemantauan. Apa yang berlaku di Cameron Highlands dan pasar Selayang apabila mereka tidak diselia dengan baik dan mereka berjaya menguasai rantaian pasaran (market chain) setempat. Sekiranya mereka diselia dan dipantau, perkara ini dapat dielakkan dan dikurangkan.

Penyelesaian Konflik Secara Struktural

Maksud di sini perlunya negara-negara ASEAN+Australia dan PBB menyelesaikan masalah ini secara multilateral. Negera Myanmar harus ditekan dan dihadapkan kepada keadilan antarabangsa. Setiausaha PBB António Guterres pada tahun 2018 menyatakan krisis ini salah satu krisis kemanusiaan paling dahsyat dalam dunia. Masakan tidak, mereka dirogol, dibunuh dan dibakar hidup-hidup. Perdana Menteri ke-7 Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah memberi tekanan kepada Myanmar.

Syukur pada 2019, Mahkamah Keadilan Dunia ICC telah menerima pembukaan kes pembersihan etnik Rohingya ini. Walaupun begitu tentu sekali ia mengambil masa. Jadi sementara itu peranan negara sekitar untuk menekan dan mencadangkan penyelesaian dan pembinaan semula penempatan dan hak asasi Rohingya di Myanmar. Kemudian barulah kita hantar pulang mereka .

Dengan ini pada hemat saya , kita berjaya mengimbangi keselamatan domestik negara dan isu kemanusiaan.

Komen