La Luna: Kebencian Yang Memusnahkan Generasi Akan Datang

Tayangan filem La Luna di Netflix nampaknya mendapat sambutan yang luar biasa. Filem ini mencuri tumpuan umum kerana beberapa adegan yang bersifat terbuka dilabel ‘liberal’ oleh segelintir jurucakap agama. Tuduhan ini makin berat bila watak Tok Hassan, Ketua Kampung Bras Basah, didakwa sebagai tidak menghormati golongan agama.

Babak yang buat saya fikir panjang dan mendalam adalah ketika pihak berkuasa sedang mencari suspek yang membakar kedai La Luna. Kebanyakan penonton beranggapan Pa’at yang membakar kedai tersebut kerana marah akan isterinya.

Namun, plot twist berlaku apabila Salihin berjumpa Tok Hassan bagi menerangkan insiden tersebut. Salihin menunjukkan laiter rokok yang dijumpainya di tempat kejadian. Ternyata, laiter itu adalah milik Tok Hassan.

Dengan bersahaja, Tok Hassan menerangkan bahawa dia membakar kedai itu atas rasa benci ke atas La Luna yang telah mencabar autoritinya sebagai pemimpin di Kampung Bras Basah tersebut. Meskipun Salihin memberitahu anaknya, Azura berada di dalam La Luna sewaktu kebakaran, Tok Hassan mengatakan “tapi kalau aku tahu Azura ada dalam kedai itu… aku tidak akan teragak-agak bakar kedai laknat itu juga”.

Babak La Luna dibakar ini seolah-olah ingin menunjukkan betapa buruknya kesan sikap benci melampau atas dasar agama dan kuasa yang boleh memusnahkan sebuah masyarakat tanpa mengira tua atau muda.

Dari sisi yang berbeza, ia juga menunjukkan betapa kejamnya sifat benci itu sehingga generasi muda juga menjadi mangsa, seperti ketidakpedulian Tok Hassan yang tidak kisah nasib Azura yang hampir terkorban di dalam kedai walaupun diberitahu Salihin.

Perkara ini yang sedang berlaku dalam masyarakat Malaysia. Kebanyakan agamawan dan ahli politik menyebarkan mesej kebencian untuk menebalkan lagi perbezaan dan perpecahan dalam masyarakat. Ungkapan yang tidak diisi dengan fakta berbanding sentimen emosi, telah menjadi perangkap untuk menjauhkan masyarakat daripada pemikiran rasional dan pandang ke hadapan.

Akauntabiliti Senjata Mujarab

Ramai sebenarnya individu berwatak Tok Hassan dalam masyarakat kita. Mereka ini menunjukkan kekuatan agama sebagai lesen besar untuk menjadi hero dalam memperjuangkan isu agama dan kaum. Ironinya, kebanyakan mereka ini gagal membuktikan kelayakan untuk dihormati rakyat atas kemampuan sendiri.

La Luna juga menonjolkan bahawa senjata mujarab untuk menjatuhkan golongan penunggang agama dan penyebar kebencian adalah membudayakan sikap akauntabiliti dan telus. Sikap ini yang ditonjolkan oleh Ustaz Fauzi yang berani menegakkan prinsip untuk tidak menandatangani petisyen penutupan La Luna di Kampung Bras Basah semata-mata melayan nafsu kebencian Tok Hassan.

Ironinya, tidak ada pula golongan agamawan dan ustaz-ustaz Islam di luar sana yang menyanjung dan berbicara tentang sikap teguh Ustaz Fauzi menegakkan kebenaran yang dipesongkan Tok Hassan.

Mereka lebih gemar mengecam bertubi-tubi cerita kedai coli yang melondehkan perangai sebenar Tok Hassan.  Itulah kanta dan pemikiran kebanyakan agamawan di Malaysia yang tebal dengan prejudis.

Penguatkuasa Empati Dan Berintegriti

Apa yang uniknya, cerita La Luna juga mempamerkan betapa pentingnya mempunyai anggota penguatkuasa seperti watak Salihin yang penuh empati dan memahami keperluan masyarakat. Watak ini cukup berbeza dengan beberapa filem yang sering menunjukkan sikap keras dan autoriti pihak berkuasa dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Kebijakan pihak berkuasa memahami sosiobudaya masyarakat dapat mengimbangi aturan kehidupan rakyat yang lebih harmoni dan saling bertolak ansur. Pihak berkuasa yang rapat dengan masyarakat dan berani mengambil keputusan untuk mengambil tindakan tegas walaupun berdepan dengan pemimpin tertinggi.

Realiti di Malaysia lebih menyedihkan berbanding cerita La Luna. Meskipun golongan agamawan secara terang-terang membakar sentimen kebencian, memalsukan kebenaran sehingga terpedaya dengan lelaki Maghribi kononnya cicit nabi, dan membuat kesalahan seksual, masyarakat sendiri mengambil sikap berdiam diri. Ada pula pengikut yang mempertahankan kejahatan ini atas nama agama dan kaum.

Penyelewengan anggota penguatkuasa yang mengambil rasuah, salah guna kuasa dan berlagak samseng pula semakin tersebar di media sosial. Lalu rakyat mempersoalkan sejauh manakah keamanan negara boleh terjaga dengan baik jika penguatkuasa sendiri gagal mempunyai etika dan sikap peduli akan kehidupan rakyat yang kian mencabar.

Beberapa realiti ini sebenarnya menjadi faktor kemajuan dan perpaduan negara tidak mencapai tahap yang lebih baik. Ada yang meletakkan solusi bahawa pelaksanaan undang-undang yang ketat boleh mengatasi masalah kebencian kaum dan agama di Malaysia. Tetapi, solusi inilah yang membuatkan isu penyebaran kebencian semakin berleluasa dalam masyarakat Malaysia.

Selamatkan Generasi Akan Datang

Hakikatnya, kekerasan melawan kekerasan atau api melawan api hanya mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada keharmonian masyarakat. Ubat yang diperlukan sekarang adalah usaha membangunkan masyarakat yang berjiwa besar, mempunyai empati yang tinggi, dan mengangkat integriti untuk menambah baik aturan hidup secara bersama di kawasan setempat. Begitu juga usaha melahirkan pihak berkuasa yang empati dan menegakkan prinsip akauntabiliti sewaktu menjalankan tugas.

La Luna bukan sekadar kedai coli, tetapi satu teladan bagaimana besarnya masyarakat yang mempunyai nilai kepercayaan yang tinggi dan saling bantu-membantu dapat menumbangkan kekerasan dan penipuan pemimpin yang tidak bertanggungjawab. Malah, tindakan masyarakat yang membetulkan keadaan buruk kampung ini juga telah menyelamatkan generasi muda untuk hidup lebih aman dan makmur.

Kalau kedai coli di Kampung Bras Basah boleh menumbangkan penunggang agama dan pemimpin salah guna kuasa, tidakkah ada peluang untuk masyarakat Malaysia bersatu-padu demi meningkatkan kesejahteraan mengatasi kelompok yang sama dalam realiti hari ini?

Jika generasi hari ini masih terperangkap dengan penunggang agama yang membawa sentimen kebencian, janganlah kita membiarkan generasi masa hadapan merasai sakitnya hidup dalam masyarakat yang dipenuhi dengan sentimen kebencian kaum dan agama yang memusnahkan pemikiran mereka.

Komen