KPM TANGANI ISU KEKURANGAN GURU

Pendidikan adalah salah satu aspek penting dalam pembangunan negara demi mendidik generasi muda masa kini sebagai pemimpin dan pewaris masa hadapan.

Justeru apa-apa isu mengenai pendidikan adalah dekat di hati kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira lapisan dan latar.

Isu kekurangan guru antara salah satu isu pendidikan yang perlu ditangani segera demi memastikan proses mendidik anak bangsa tidak terjejas.

Mengikut laporan Kementerian Pendidikan Malaysia, bilangan kekurangan guru telah dikenal pasti dengan peratusan tertinggi direkodkan di Sekolah Kebangsaan (SK).

Kekosongan bilangan guru di semua sekolah di SK ialah 4.8%, diikuti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) 3.69% dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sebanyak 1.94%.

Namun Menteri Pendidikan, Puan Fadhlina Sidek menyifatkan kekosongan yang berlaku di semua sekolah ini bersifat sementara.

KPM sangat komited untuk mengisi jawatan kekosongan guru dan akan diselesaikan mengikut keperluan sekolah, opsyen dan situasi pendidikan semasa.

Dalam sesetengah kes seperti di SJKC, kekurangan berlaku untuk guru Bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani, tetapi terdapat lebihan kepada opsyen Matematik, Sains dan Bahasa Cina.

Kementerian Pendidikan telah berbincang dalam beberapa sesi libat urus hala tuju pendidikan bersama SJKC dan SJKT sepanjang tahun ini bagi memastikan kebimbangan setiap pemegang taruh ditangani dengan wajar.

Kementerian Pendidikan bersama-sama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) juga sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan isu kekurangan guru di semua jenis sekolah dapat diatasi secepat mungkin.

Komen