KOS PENYAKIT TIDAK BERJANGKIT (NCD) DI MALAYSIA

Penyakit Tidak Berjangkit (Non Communicable Diseases, NCD) adalah sejenis penyakit tidak berjangkit yang lazimnya terdiri dari penyakit kardiovaskular, diabetes, kanser dan lain-lain.

Walaupun ia tidak berjangkit, penyakit NCD bagaimanapun merupakan penyebab utama kematian global, dengan purata kematian akibat NCD sekitar 41 juta nyawa setiap tahun atau bersamaan 74% dari kematian global.

Setiap tahun juga sekitar 17 juta kematian akibat penyakit NCD berlaku sebelum penghidapnya mencapai umur 70 tahun, majoriti darinya berlaku di negara berpendapatan rendah atau pertengahan.

Malaysia juga tidak terlepas dari ancaman penyakit NCD dan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa mendedahkan bahawa hampir RM10 bilion atau 16.8% dari perbelanjaan kesihatan negara dibelanjakan bagi menangani penyakit NCD.

Kos penjagaan kesihatan untuk tiga kategori penyakit NCD di Malaysia adalah RM3.93 bilion untuk penyakit kardiovaskular, diabetes (RM4.38 bilion) dan kanser (RM1.34 bilion).

Kos kehilangan produktiviti (iaitu hayat bekerja yang dipersia kerana keuzuran) pula mencecah sehingga RM5.32 bilion untuk kardiovaskular, diabetes (RM5.74 bilion) dan kanser (RM1.82 bilion).

Angka ini sangat membimbangkan apatah lagi Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 juga mendapati 50 peratus rakyat malaysia sekurang-kurangnya menghidap satu penyakit tidak berjangkit iaitu tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi.

Malaysia juga dilaporkan mencatatkan kes diabetes tertinggi di ASEAN dengan peningkatan ketara daripada 11.2% pada 2011 kepada 18.3% pada 2019.

Justeru Kementerian Kesihatan Malaysia akan melancarkan langkah intervensi dan usaha advokasi mengenai bahaya penyakit NCD, terutamanya berkaitan diabetes dan kardiovaskular.

Slogan “Satu sudu teh dah cukup, kurang lebih baik, tiada terbaik” adalah antara pelan advokasi gula yang sedang diusahakan KKM termasuklah sesi libat urus dengan penjaja dan peniaga kecil untuk menawarkan minuman tanpa gula kepada masyarakat.

Komen