Kisah Cinta Orang Kaya Yang Tak Kesampaian

“Orang kaya juga gagal bercinta. Tetapi sekurang-kurangnya mereka tidak gagal sepenuhnya”

Kita seringkali dipertemukan dengan seorang watak perempuan maha lemah-lembut, tidak berdaya dan layak dipijak-pijak jantan pandai menabur janji seperti Menteri dalam kebanyakan drama cinta Melayu. Seribu kali si Jantan menipu, seribu kali si perempuan setia dimakan dan sedia memaafkan. Luar biasa!

Mungkin watak sebegini dijelmakan sebagai bukti kewujudan aktor-aktor dalam dunia sebenar. Watak perempuan yang sering diperdaya ini misalnya, selalu lahir dalam kelas sosial bawahan. Kita semua tahu, kewujudan orang-orang bawahan adalah untuk membesarkan kelompok besar yang diperintahkan. Golongan ini ditakdirkan untuk menerima arahan, bersabar dengan pengulangan janji-janji palsu, diperdaya berulang kali dan sama sekali tidak dibenar melawan.

Maka, tidak hairan sifat-sifat alamiah sebegitu terbawa-bawa ke dalam dalam episod percintaan. Perempuan kelas bawahan sering dicurangi -didustakan-ditinggalkan lelaki bernafsu kuda tanpa berdaya berbuat apa-apa.

Tetapi ini semua tidak akan berlaku sekiranya kamu seorang perempuan berkarisma lahir dari kemilauan wang dollar dan harta bertumpuk sepasang ibu bapa yang takkan pernah surut.

Izinkan saya bercerita. Ianya sebuah kisah mengenai seorang perempuan berstatus kayangan. Lahir dalam dunia mirip syurga. Seluruh hidupnya disimbah cahaya kehormatan yang tak perlukan perlawanan. Beliau seorang yang berkarisma (sudah tentu kerana statusnya), martabatnya dijulang siang-malam dan dikagumi manusia-manusia yang disihir akan cita-cita mencium nikmat kejayaan. Malah, setiap kata-katanya bernilai seluas alam — langsung diangkat sebagai simbol perempuan moden yang berjaya, independen dan elegan.

Namanya, biarlah disembunyi di balik dinding langit. Yang maha utama adalah kisah percintaannya. Apakah berakhir di altar atau kalah tidak berdaya berbuat apa-apa?

Seperti takdir klasik watak-watak kayangan lain, panahan cinta telah menemukan dia dengan manusia berkulit putih dan berambut brunette sejati. Lelaki mat saleh yang dicintainya itu memegang jawatan maha penting dalam sebuah bank paling berjaya, paling kapitalis-hisap darah ternama di dunia.

Cinta berputik ketika antara dua merpati ini dipertemukan dengan urusan kerja. Semakin lama mereka berurusan, semakin cinta berghairah. Tidak ada apa lagi selain kiamat dapat memisahkan mereka berdua walaupun percintaan bertaraf puluh ribu kilometer. Ingat saudara-saudari, bila wang dalam poket tidak berkurang malah berganda setiap minit, sejauh apa pun jarak yang memisahkan, wang pasti mendekatkan.

Perempuan berstatus kayangan tahu segalanya tentang si lelaki mat saleh. Dia tahu, lelaki yang berjawatan tinggi sepertinya bercita-cita tinggi.

Malah dia tahu apa jenis ‘bisnis’ mega yang sedang berlaku antara kekasih hatinya, kepala besar Negeri tumpah darahnya, orang kuat bank segala bank dan seorang pemuda gemuk kuat parti.

Lebih dari itu, perempuan berstatus kayangan amat tahu setiap transaksi melibatkan wang berbilun-biliun yang ‘dilaburkan’ hasil dari kerja kuat keringat para buruh, petani, cikgu kemahiran hidup, pekerja industri dan seluruh warga kelas pekerja Negeri. ‘Bisnis’ ini sudah tentu khabarnya bertujuan memakmurkan semua rakyat jelata.

Sehinggalah pada suatu hari, lelaki mat saleh kekasih hatinya telah membuktikan yang dirinya sama tidak guna dengan mana-mana lelaki bernafsu kuda di setiap belahan dunia.

Setalah hampir 10 tahun bercinta, dia berbuat keputusan meninggalkan perempuan berstatus kayangan di altar untuk mengahwini seorang supermodel seksi dari negeri terpaling demokrasi.

Hati siapa tidak pecah, saudara-saudari?

Tetapi di sinilah titik perbezaan antara watak perempuan Melayu lemah-lembut tidak berdaya dalam drama cinta Melayu dengan perempuan berstatus kayangan.

Saat perempuan Melayu dalam drama cinta menangis teresak-esak dalam kamar tidur redha kerana katanya itu ketentuan Ilahi, perempuan berstatus kayangan baru sedar akan senjata yang dimilikinya.

Dia baru sedar yang setiap pelaburan, transaksi bernilai biliun-bilun yang dia lihat ketika jantan mat saleh itu kekasih hatinya adalah milik kerja kuat keringat para buruh, petani, cikgu kemahiran hidup, pekerja industri dan seluruh warga kelas pekerja Negeri. Tiba-tiba baru dia sedar, ‘bisnis’ yang berlaku antara jantan mat saleh, kepala besar Negeri, ketua Bank antara Bank dan lelaki gemuk kuat parti itu adalah sebuah perompakan genius yang cuma membulatkan perut kaum kerabat keluarga mereka sahaja. Dan saat inilah dia sedar dunia akhirat, bahawa perompakan atas nama bisnis dan pelaburan yang disaksikan itu adalah jenayah nyata yang jahat, kejam dan syaitan.

Maka dengan itu, sebagai satu-satunya perlawanan yang mungkin pernah wujud dalam dirinya, perempuan berstatus kaya memberi kata dua kepada jantan mat saleh sebelum dia mengecap nikmat klimaks di malam pertama bersama supermodel negeri terpaling demokrasi —  Sama ada dia mendapat apa yang dimahukannya dengan kadar segera. Atau jantan mat saleh perlu berdepan dengan keadilan setelah bukti, data, setiap detil transaksi bisnis dipecahkan kepada seluruh dunia.

Dalam keadaan begini sulit, haru biru antara kerimasan cinta dan cita-cita, jantan mat saleh mengambil keputusan menyerahkan duit sebanyak 10 juta dollar milik kerja kuat keringat para buruh, petani, cikgu kemahiran hidup, pekerja industri dan seluruh warga kelas pekerja Negeri kepada perempuan berstatus kayangan dalam bentuk sebuah kediaman persis tanah yang dijanjikan Tuhan kepada umatnya di London.

Ketika hatinya sedikit remuk dan kusut saat mengingati apalah yang sedang dibuat jantan mat saleh bersama isteri barunya pada malam perkahwinan, si perempuan berstatus kayangan sedang melewati, berjalan-jalan cuba menikmati keasyikan dan kedamaian kediaman rumah barunya di London.

Tak mengapalah jika percintaan hampir 10 tahun sedikit gagal.

Yang utama, sebagai perempuan yang diangkat sebagai model, idea seorang wanita moden yang berjaya, independen dan elegan, biarlah keinginan hidup bersama cinta hati tak kesampaian. Asalkan, kemenangan paling atas setinggi langit berjaya diraihkan.

Komen