Kisah British Membina Kapal Perang Menggunakan Duit Kita

110 tahun yang lalu dalam satu mesyuarat Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sultan Perak iaitu Sultan Idris Murshidul Azzam Shah Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar telah mencadangkan agar Negeri-negeri Melayu Bersekutu membiayai kos pembinaan sebuah kapal tempur (battleship) untuk Royal Navy sebagai usaha membantu mempertahankan kedaulatan Empayar British. Cadangan tersebut telah disokong oleh Sultan Selangor, Sultan Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan seterusnya dipersetujui oleh dua lagi pemimpin Negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu Sultan Pahang dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Majlis Negeri-negeri Melayu Bersekutu kemudiannya meluluskan bajet berjumlah £2,945,709 bagi tujuan membina kapal tempur tersebut. Nilai tersebut mengikut kadar inflasi hari ini adalah £342,062,920.27. Mengikut kadar tukaran matawang semasa, ia adalah bersamaan RM1,841,711,581.53 atau ringkasnya, RM1.84 bilion!

Membiayai kos pembinaan sebuah kapal tempur ketika zaman itu adalah sesuatu yang dikira luar biasa. Di zaman sebelum wujudnya senjata nuklear, kekuatan sebuah negara diukur melalui berapa buah kapal tempur yang dimiliki oleh tentera laut negara itu.

Kapal tempur hasil sumbangan Negeri-negeri Melayu Bersekutu itu dinamakan HMS Malaya. Ia satu penghormatan kepada rakyat Malaya. Tidak ada mana-mana jajahan koloni Empayar British lain, hatta Australia atau Kanada sekali pun yang mempunyai dana seperti Negeri-negeri Melayu Bersekutu untuk membiayai kos pembinaan sebuah kapal tempur.

Empayar British yang terharu dengan sumbangan besar Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah membalas dengan membiayai pembinaan Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, Perak.

HMS Malaya merupakan salah satu dari lima kapal tempur dalam kelas Queen Elizabeth. Ia antara kapal termoden pada zaman itu, mempunyai sistem persenjataan canggih serta kelajuan yang mengatasi mana-mana kapal tempur negara lain. Lapan meriam 381mm dan 14 meriam 152mm adalah antara persenjataan utama HMS Malaya yang mempunyai keupayaan berlayar sejauh 5,000 batu nautika dan dilengkapi 1,217 kelasi.

Pembinaan HMS Malaya dimulakan pada 20 Oktober 1913 oleh kontraktor Armstrong Whitworth di South Tyneside, United Kingdom. Tanggal 18 Mac 1915 iaitu tidak sampai dua tahun selepas pembinaan bermula, HMS Malaya telah dilancarkan buat pertama kali. Ia seterusnya ditauliahkan dalam perkhidmatan Royal Navy pada 1 Februari 1916. HMS Malaya berukuran 195 meter panjang dan lunasnya 27.6 meter dengan kekuatan enjin dari dua turbin wap yang menjana 75,000 kuasa kuda.

Ketika dalam pembinaan Perang Dunia Pertama telah meletus pada tahun 2014 dan susulan itu, HMS Malaya terus dikerahkan untuk misi perang bagi mempertahankan kedaulatan Empayar British. HMS Malaya merupakan satu dari 151 kapal perang Royal Navy yang terlibat dalam Pertempuran Jutland menentang 99 kapal perang Jerman. Dalam pertempuran itu, lapan bedilan meriam musuh telah mengenai HMS Malaya dan sejumlah 65 kelasi gugur.

Uniknya dalam Pertempuran Jutland, HMS Malaya adalah satu-satunya kapal perang Royal Navy yang mengibarkan panji Negeri-negeri Melayu Bersekutu berwarna merah, putih, hitam dan kuning yang juga merupakan warna-warna pada bendera Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Usai Perang Dunia Pertama, HMS Malaya telah berlayar ke tanah asal senamanya iaitu Tanah Melayu. Ketika berlabuh di Port Swettenham (kini Klang), satu perlawanan bola sepak dan ragbi telah diadakan di antara kelasi kapal HMS Malaya dan pasukan tempatan. Bagi mengingati peristiwa itu, HMS Malaya telah menghadiahkan sebuah piala yang dinamakan HMS Malaya dan kini ia kita kenali sebagai Piala Malaysia.

HMS Malaya meneruskan khidmatnya dalam Perang Dunia Kedua. Walaupun ketika itu ia sudah dianggap agak ketinggalan zaman, namun kehadiran HMS Malaya sebagai pengiring konvoi kapal dagang di Lautan Atlantik pernah membuatkan dua kapal perang Jerman membatalkan misi menyerang konvoi tersebut.

Penghujung 1944, pihak Royal Navy membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan HMS Malaya yang telah pun mencecah 28 tahun dan terlibat secara langsung dalam dua perang dunia. Walaupun tidak pernah bertempur di perairan Tanah Melayu, namun HMS Malaya telah memainkan peranannya sendiri dalam menjaga kedaulatan Empayar British.

Pelaburan berjumlah RM1.84 bilion oleh rakyat Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah mendatangkan hasil yang setimpal bersesuaian dengan tujuan asalnya.

Begitulah kisah ringkas bagaimana British membina kapal perang menggunakan duit kita. Duit yang ada digunakan untuk menghasilkan sebuah kapal tempur dan tempoh pembinaan yang diambil hanya tidak sampai 3 tahun dari mula dibina hingga HMS Malaya ditauliahkan dalam perkhidmatan.

Jadi apa pengajaran yang boleh kita kutip dari kisah ini?

Tiada apa. Melainkan kalau dibanding kisah zaman kolonial dan hari ini selepas negara kita merdeka dari jajahan Empayar British, maka kita akan lihat bezanya memberi duit kepada British untuk membina kapal perang berbanding memberi duit kepada bangsa sendiri untuk membina kapal perang.

Sayangnya apabila kita cuba membina kapal perang sendiri, RM6 bilion habis dibelanjakan tetapi kapal perang yang mula dibina sejak 2016 sehingga kini tidak ada satu pun yang siap. Hanya baru sebentar tadi Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein memaklumkan lagi dua tahun tempoh diperlukan untuk kapal pertama siap, dan ini juga sesudah belanja tambahan RM3 bilion diperlukan yang menjadikan kos keseluruhan mencecah RM9 bilion.

Sungguh ajaib. Satu masa dahulu kita dijajah tetapi atas sikap baik hati kita membiayai pembinaan kapal tempur dan hasilnya adalah HMS Malaya. Hari ini bila kita sudah bebas dari penjajah, duit kita lesap disakau bangsa sendiri yang sifatnya lebih teruk dari penjajah British.

Sia-sialah kita merdeka kalau begini.

Komen