Kebelakangan ini, tular di media sosial dakwaan sesetengah pihak tentang harga beras putih tempatan yang melambung tinggi.
Namun setelah diamati, sesetengah dakwaan tersebut ternyata meleset kerana beras yang didakwa naik harga bukanlah beras putih tempatan yang dikawal harganya.
Tahukah anda, sebenarnya kita boleh mengetahui jenis beras yang dijual di pasaran melalui warna label pada bahagian bawah pek beras tersebut?
Label untuk beras putih tempatan adalah berwarna ungu dan beras ini dikawal harganya pada kadar RM2.60 setiap kilogram.
Sementara warna label biru muda adalah khusus untuk beras putih import, jingga untuk beras import istimewa seperti basmati dan merah jambu pula untuk beras putih import (wangi) yang kesemuanya mengikut harga pasaran semasa.
pusteru semaklah warna label pada pek beras sebelum kita memilih untuk menularkan kononnya harga beras putih tempatan telah naik mendadak.
Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) telah memperuntukkan harga kawalan maksimum untuk beras putih tempatan pada RM2.60/kilogram.
Bermakna harga beras putih tempatan untuk pek 5 kilogram ialah RM13 dan untuk pek 10 kilogram ialah RM26.
Jika terjumpa beras putih tempatan pada harga yang melebihi harga siling tersebut kita hendaklah melaporkannya kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri atau Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Ingat, memang beras kita beli tapi penting juga untuk kita menjadi pengguna bijak dengan mengenali beras apakah yang kita beli.