Kemurnian Kepolisian Yang Kita Citakan

Saya pasti sewaktu kita semua di bangku sekolah dahulu, majoriti di antara kita pernah menulis menjadi anggota polis adalah cita-cita kita apabila dewasa nanti. Polis adalah satu pekerjaan yang tidak asing bagi kanak-kanak. Mungkin kerana anggota polis bekerja dengan mengenakan uniform, menaiki kereta yang mempunyai siren dan dianggap hero oleh semua anak kecil kerana pekerjaan polis ialah “untuk menangkap orang jahat”.

Tular minggu lalu kejadian di mana Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal telah pergi menziarahi seorang wanita yang telah mencuri beberapa barangan di sebuah pasaraya antaranya ialah ubat untuk melegakan demam untuk kanak-kanak juga makanan ringan untuk kanak-kanak. Menurut ACP Nik Ezanee di dalam satu temubual di sebuah stesen televisyen, apabila beliau meneliti laporan kes dan mengkaji keadaan yang berlaku, beliau merasakan sesuatu yang tidak kena mengenai hal ini. Ternyata wanita tersebut mempunyai masalah kesempitan hidup dan ACP Nik Ezanee pergi melawat beliau sambil membawa barangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa barangan lain.

Kejadian ini menjadi perbualan hangat netizen. Terdahulu pada akhir tahun 2020, ACP Nik Ezanee juga telah menghadiahkan sebuah telefon bimbit kepada seorang remaja berusia 14 tahun yang bekerja sambilan di sebuah gerai burger. Telefon kepunyaan remaja tersebut telah dicuri berserta wang berniaga sewaktu beliau pergi ke tandas.

Tindakan ACP Nik Ezanee ini sedikit sebanyak memberikan kesan yang positif dan perspektif yang baik dari masyarakat terhadap pihak polis. Dengan motto “one good deed a day” , ternyata ia memberikan impak yang cukup mendalam kepada semua pihak. Ia juga memberikan gambaran sebenar kenyataan polis dan masyarakat berpisah tiada.

Apabila saya melihat ACP Nik Ezanee, beliau mengingatkan saya kepada 3 orang sosok polis yang 2 daripadanya sangat dekat dengan saya. Pertama sekali beliau mengingatkan saya kepada watak pegawai polis yang paling saya minati iaitu Horatio Caine di dalam siri CSI: Miami. Mungkin kerana perwatakan tegas dan rasional serta swag yang ada pada beliau sama seperti Horatio Caine. Beliau juga mengingatkan saya kepada 2 orang pak cik saya yang salah seorang telah pun bersara dengan pangkat terakhir sebagai Sarjan dan seorang lagi masih berkhidmat sebagai ASP di Ibupejabat Polis Kontinjen Melaka.

Saya membesar di dalam keluarga yang boleh dikatakan keluarga polis. Arwah datuk saya juga seorang anggota polis. Namun tidak banyak yang dikongsikan oleh beliau mengenai pengalaman beliau sewaktu berkhidmat kecuali kehidupan di berek polis. Saya juga mempunyai ramai kawan di kalangan anggota dan pegawai polis terutamanya di bahagian Cawangan Khas. Maklum sahajalah apabila aktif di bidang politik ini dan bertugas di Pusat Khidmat ADUN, sememangnya akan ramai kenalan polis. Sahabat-sahabat saya ini banyak berkongsi tentang pengalaman mereka. Begitu juga dengan kedua orang pak cik saya yang saya sebutkan tadi. Salah seorang daripada mereka bertugas di balai polis Pelabuhan Klang sebelum bersara pada 3 tahun yang lalu. Antara kes yang selalu beliau terima ialah berkaitan dengan kes kongsi gelap dan pendatang asing tanpa izin.

Terkenal dengan gelaran “cikgu” di kalangan masyarakat setempat, pak cik saya selalu bercerita bagaimana dia berasa sayu dan sedih melihat keadaan pendatang asing tanpa izin yang ditangkap sewaktu mendarat di pantai berdekatan sebelum dibawa untuk tahanan di balai pak cik saya bertugas. Sebagai seorang anggota polis yang menjaga keselamatan negara, pak cik saya dan beberapa orang anggota di balai tersebut tidak lari dari mempunyai perasaan simpati kepada tahanan pendatang asing tanpa izin ini, lebih-lebih lagi yang datang membawa anak kecil. Pada waktu inilah tergambar di minda wajah anak masing-masing, ujar beliau. Beberapa kali juga pak cik saya dan anggota yang lain bersama-sama mengumpul duit dan membelikan susu serta kelengkapan untuk bayi dan kanak-kanak yang ada sama di dalam tahanan bersama ibubapa mereka. Keadaan hidup yang sempit menyebabkan mereka datang ke negara kita sebagai pendatang tanpa izin dengan harapan ingin kehidupan yang lebih baik. Namun tindakan mereka itu adalah menyalahi undang-undang negara kita. Namun sedikit rasa simpati dan perikemanusiaan tidak mencacatkan kehidupan. Sikap ini adalah sama dengan sikap yang telah ditunjukan oleh ACP Nik Ezanee.

Perikemanusiaan. Tolak ansur. Budi bicara. Ini adalah sifat-sifat yang perlu di dalam kehidupan seharian kita demi menjamin hidup yang sejahtera. Namun ia tidak memberikan satu kebenaran atau lesen untuk kita melanggar undang-undang yang telah ditetapkan. Bagaimana pun sifat-sifat empati sebegini sangat mengharukan di kala kita semua sedang menghadapi kesusahan terutamanya pada saat ini di mana dunia diserang pandemik COVID-19.

Di sebalik kisah-kisah ini, terpalit juga kisah anggota polis dan pegawai polis yang melakukan kesalahan sama ada dalam bentuk salah guna kuasa, rasuah dan pelbagai lagi. Tular beberapa minggu lalu video seorang anggota polis melakukan kekasaran kepada seorang penunggang motorsikal di satu sekatan jalan raya. Tidak lupa juga beberapa kontroversi kini yang melanda Polis DiRaja Malaysia apabila mereka seolah-olah mempunyai double standard dalam mengenakan tindakan terhadap mereka yang ingkar kepada SOP Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang telah ditetapkan. Namun pada pandangan saya salah laku rasuah adalah musuh utama Polis DiRaja Malaysia. Pada tahun 2018, Ketua Balai Polis Setapak telah ditahan dan didakwa dengan pertuduhan rasuah yang melibatkan rumah-rumah urut haram di kawasan setempat juga sarang pelacuran dan perjudian. Beliau telah ditahan bersama beberapa orang anggota yang lain.

Seorang lagi pak cik saya yang kini masih berkhidmat sebagai pegawai polis pernah berkongsi pengalaman apabila beliau terpaksa melakukan siasatan dan mengambil tindakan terhadap sahabat baik beliau sendiri, juga seorang pegawai polis, kerana salah laku rasuah. Pada waktu itu pak cik saya bertugas di bahagian tatatertib dan kebanyakan siasatan yang beliau kendalikan adalah berkaitan dengan rasuah. Beliau pernah memberitahu saya siasatan ke atas anggota dan pegawai polis adalah siasatan yang paling menyedihkan dan mengecewakan beliau kerana melihat mereka yang sepatutnya menjaga keselamatan negara tewas kerana kuasa dan wang. Tanggungjawab dan amanat yang telah diamanahkan kepada mereka, diabaikan. Ikrar yang dilafazkan sewaktu mula menyertai Polis DiRaja Malaysia telah dilupakan.

Setiap anggota dan pegawai polis membawa harapan masyarakat di dalam negara ini untuk menjaga keselamatan, keamanan dan juga kesejahteraan. Tidak dinafikan anggota dan pegawai polis menjadi inspirasi dan aspirasi kepada masyarakat terutamanya anak-anak kecil – sama seperti kita satu masa dahulu seperti yang saya nyatakan pada awal penulisan ini yang majoriti pasti pernah mengatakan hasrat ingin menjadi anggota polis sewaktu kecil. Setiap salah laku yang dilakukan oleh anggota dan pegawai polis akan meragut kepercayaan masyarakat kepada keseluruhan sistem yang ada. Dengan itu usaha dan sifat anggota serta pegawai polis seperti ACP Nik Ezanee dan ramai lagi yang lain akan terkubur dan Polis DiRaja Malaysia akan sentiasa di pandang serong oleh masyarakat sebagai satu organisasi yang korup. Saya berharap di antara satu anggota atau pegawai yang korup akan ada 10 anggota atau pegawai yang baik, jujur dan amanah. Lebih baik lagi, harapan saya tiada lagi anggota atau pegawai yang korup dan banyak anggota dan pegawai yang jujur, amanah dan mempunyai empati yang rasional akan lahir di dalam Polis DiRaja Malaysia.

Semoga kisah kebaikan ACP Nik Ezanee menjadi tauladan dan pedoman untuk seluruh anggota dan pegawai polis di negara kita ini. Saya pasti ada banyak lagi kisah kebaikan anggota dan pegawai polis yang lain yang tidak ditularkan namun memberikan impak kepada masyarakat setempat mereka. Semoga kisah-kisah begini akan menjadi pemangkin kepada generasi muda untuk berkhidmat sebagai anggota dan pegawai polis. Paling tidak kisah begini akan menjadi teras kehidupan kita di dalam negara ini, iaitu berbuat baik kepada semua tidak kira siapa sahaja tanpa melanggar peraturan dan undang-undang yang termaktub di negara kita.

“One good deed a day, that is all we need in out community”.

Komen