Kemiskinan, Selepas Itu Apa?

Beberapa hari lepas saya sempat mengirimkan foto keratan akhbar melalui Whatsapp pada teman rapat saya. Setelah dibuka pesanan itu, dia terus tertawa lalu membalas kembali kiriman foto itu dengan ayat ringkas, “sama-samalah kita hustle untuk hasil”.

Saya fikir ramai sudah membaca keratan akhbar yang menunjukan jumlah angka had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) masyarakat Malaysia, di mana sebelum ini atau lebih tepat lagi sejak tahun 2005 berjumlah sebanyak RM980 naik mendadak ke RM2,208 menjelang separuh tahun 2020 apabila berlaku semakan semula.

Apa yang lebih menarik, dalam data yang dikeluarkan kategori bagi golongan B40 atau kelompok berpendapatan rendah, gaji bulanan mereka tidak melebihi RM2,500 sebulan atau RM1,849 secara purata.

Saya tercari-cari siapa kelompok sasar yang masuk dalam kategori itu, paling mengejutkan itulah gaji graduan negara kita secara tidak langsung mereka termasuk dalam kelompok berpendapatan rendah/miskin yang perlu diberi bantuan untuk mereka dapat keluar atau setidaknya bertahan dari kemiskinan.

Seorang pekerja yang punyai sijil lulusan universiti juga yang dikatakan antara kelompok berharga pada abad ini masih duduk dalam kelompok B40 mengikut ukuran terbaru jabatan perangkaan.

Ini bermakna bayaran gaji untuk kelompok ini setelah graduasi masih tidak boleh menyelamatkan diri dan keluarga mereka keluar dari kepompong kemiskinan (jika dari keluarga miskin).

Memburukkan lagi situasi, kelompok sebilangan besarnya meminjam wang pendidikan untuk melanjutkan pelajaran. Oleh itu mereka telah memikul dua beban: (1) hutang pendidikan, dan (2) kos sara hidup yang tinggi.

Namun, ada lagi perkara yang lebih tragis harus kita renungkan apabila menilai data PGK negara iaitu bagaimana dengan nasib kelompok yang langsung tidak ada sijil pendidikan tinggi? Dalam erti kata mudah mereka yang berhenti belajar setelah selesai  SPM ataupun STPM.

Bagaimana agaknya bayaran gaji mereka? Jika pendapatan asas bagi graduan hanya sekitar RM2,200 sudah tentu kelompok ini dibayar lebih rendah jumlahnya dari itu. Lalu kategori apa yang harus diletakkan untuk mereka? Miskin tegar? Dhaif?

Kedua-dua masalah ini memberi mesej yang jelas pada kita bahawa negara tidak pernah serius dalam mewacanakan hal jurang pendapatan (income disparity) juga tidak serius menyelesaikannnya walaupun kita sudah merdeka hampir 63 tahun.

Selain polisi dan dasar negara yang lemah untuk menyelesaikan kemelut ini, para pemodal (dengan idea kapitalisme, neo-liberalisme)  pula dengan tenang mengeksploitasi tenaga buruh dengan membayar upahnya pada kadar rendah demi untuk keuntungan mereka tahun demi tahun.

Tahun 2019 sebenarnya sudah ada usaha menaikkan gaji minimum rakyat Malaysia itupun hanyalah ke tangga RM1,100 hingga ke RM1,200. Bayangkan berpuluh tahun masyarakat hidup dan bekerja pada bayaran yang teramat rendah. Kadar kenaikan gaji asas sangatlah lembab menyebabkan kesan inflasi barangan keperluan terasa menyiksakan.

Menaikkan sejumlah itu saja sudah cukup terseksa kerana banyak bantahan dari pemodal besar juga syarikat-syarikat besar kononnya akan menjejaskan perjalanan perniagaan mereka.

Tetapi yang paling dirisaukan terhadap unjuran baru PGK ini, adakah statistik yang dibentangkan ini hanyalah sebagai statistik semata. Perbahasan mengenai income disparity (jurang pendapatan) tidak dibincangkan sehinggalah ke hari ini.

Pelajar ataupun pemikir ekonomi masih tidak membincangkan secara jelas mengenai penumpukan sumber yang ada di kelas atas sehingga kini setelah PGK itu dibentangkan. Salah satu sebab kesempitan ini berlaku adalah kerana penumpukan harta bagi kelompok itu lalu tidak dibahagikan dengan betul.

Selain itu, terdapat juga beberapa persoalan yang tidak disinggung oleh mereka termasuklah:

  1. Apa yang akan dilakukan pada dasar kerajaan untuk mengurangkan kategori B40 yang sekarang semakin membesar?
  2. Adakah gaji minimum yang dulu ditetapkan masih relevan atau perlu dikaji semula?
  3. Apàkah langkah mengurangkan jurang pendapatan? Terutama kelompok kaya dan miskin?
  4. Instrumen apa terbaik untuk perbaiki ekonomi sekarang?
  5. Bagaimana dengan kadar inflasi bila purata pendapatan tidak meningkat?

Satu lagi hal yang merungsingkan, mengapa wacana ekonomi yang memberikan kesan kepada kita semua tidak menjadi perhatian warga berbanding isu-isu semisal rasisme?

Jawapannya jelas, kurangnya pendedahan sains sosial seperti sosiologi, idea pembangunan dan literasi politik menyebabkan hal ini berlalu pergi dengan pantas, tidak diberikan perhatian serius baik dari penggubal dasar mahupun masyarakat kerana kesedaran mereka tidak dijernihkan dan mungkin ada yang langsung tidak memahaminya lalu dipindahkan tumpuan mereka pada isu sepele.

Sebab lainnya pula, kita sering dikaburkan oleh idea dominan. Kita antusias dan ghairah membaca perihal ekonomi Islam sehingga tidak menyedari ekonomi yang beroperasi menguras dan mengurus ekonomi sehingga ramai yang terjunam pendapatan sepanjang dekad. Jadi keghairahan berbicara mengenai ekonomi Islam yang kita fikirkan sebagai alternatif sebenarnya membuatkan kita dibuai oleh idea utopia. Realitinya kita terpuruk sedang yang lain terus menebuk, menumpuk dan bertepuk.

Jangan semua seronok berbicara soal ekonomi Islam yang selalu mahukan yang halal tapi isu income disparity disenyapkan, ini pun bukan satu perkara yang halal. Ekonomi Islam itu bukan untuk halal haram saja tetapi juga untuk pastikan keadilan ekonomi terutama pada yang miskin.

Secara realiti tidak ada model ekonomi Islam dalam dunia sehingga berjaya membangun ekonomi negara dan masyarakat yang adil dengan jurang pendapatan yang rendah dan kemakmuran boleh diraih merata.

Namun ciri kemakmuran yang merata itu berjaya ditunjukan oleh sistem welfare capitalism di daerah Skandinavia. Carilah ekonomi Islam jenis itu. Tiada dan tidak mungkin ada kerana dari awal ia wujud sebagai jenama “Islam”  semata tetapi isinya hanya sebagai  tunggangan modal kapitalis.

Hal ini serius dan perlu ada respon segera, jika tidak ramai lagi yang akan “masuk miskin”. Apabila ini berlaku akan timbul lagi pelbagai masalah. Saya percaya dari segi ekonomi negara kita lebih makmur berbanding negara jiran kita semisal Indonesia. Jadi perubahan itu tidak mustahil.

Jadi sekiranya kita mengaku negara yang kita duduki ini merupakan negara Islam dan majoritinya ialah muslim sebenar, ayuh dibincangkan hal ini supaya semua orang dapat beragama dengan tenang.

Abu Dzar pernah berpesan, “bilamana kemiskinan masuk melalui satu pintu, agama akan pergi melalui pintu lainnya”.

Komen